Teks Khutbah Jumaat – Ibadah Korban Menjalin Persaudaraan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi insan yang beroleh keuntungan di dunia dan di akhirat.

Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Ibadah Korban Menjalin Persaudaraan”.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Kita telah melangkah ke bulan Zulhijjah dan akan meraikan Hari Raya Aidiladha untuk kita memperbanyakkan takbir, tahmid dan tasbih kepada Allah SWT. Di samping itu, kita sangat dituntut untuk melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan pada hari raya dan hari-hari tasyrik. Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah sebagai cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Hajj ayat 34 yang ditelah dibacakan tadi yang bermaksud:

“Dan bagi setiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternakan. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu serahlah diri kamu kepada-Nya, sampaikanlah wahai (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah.”

Sesungguhnya ibadah korban tidak pernah diabaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Menyembelih binatang korban adalah sunnah yang sarat dengan hikmah dan keutamaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu amalan anak Adam di Hari Raya Aidiladha yang paling Allah SWT sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang korban), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya serta bulu-bulunya sebagai saksi atas ibadah korban tuannya, dan sesungguhnya darah binatang korban itu akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah binatang terbaik untuk dikorbankan.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah korban adalah sunat yang sangat dituntut menurut pendapat di dalam mazhab Syafie. Dalam memastikan ibadah korban yang kita lakukan mencapai matlamatnya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, antaranya:

Pertama: Fahami falsafah penyembelihan binatang korban itu adalah satu ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengeratkan perhubungan sesama manusia.

Kedua: Daging korban mestilah dibahagikan mengikut ketetapan hukum syarak. Golongan fakir miskin yang memerlukan adalah yang paling berhak untuk menerimanya. Sewajarnya, merekalah yang perlu diutamakan melebihi golongan lain.

Ketiga: Amatlah tidak wajar sama sekali kita merasa rugi dan kehilangan harta untuk melakukan ibadah korban. Kesannya menyebabkan kita pula yang berlebih-lebih untuk mengambil daging korban kita sendiri. Ingatlah maksud sebenar ibadah korban itu tentulah berkaitan dengan kesanggupan kita untuk mengorbankan harta demi membantu golongan yang sangat memerlukan.

Keempat: Pelihara dan tingkatkanlah adab ketika melakukan upacara penyembelihan binatang korban. Kita sangat dituntut untuk mengamalkan sifat ihsan terhadap binatang yang akan disembelih dengan memastikan alatan sembelihan dalam keadaan tajam, tempat sembelihan yang bersih dan tidak menyakiti haiwan tersebut seperti memijaknya. Tenangkan haiwan tersebut kerana ia juga termasuk dalam perkara ihsan kepada binatang korban.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah korban adalah lambang kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Setiap dari kita berperanan untuk memastikan manifestasi ibadah korban ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bukan sahaja meraih ganjaran pahala yang besar, bahkan memupuk keharmonian dan kesatuan hidup bermasyarakat. Justeru, sebagai penerima daging korban, beberapa perkara berikut perlu diambil perhatian supaya matlamat ibadah korban akan terlaksana, antaranya;

Pertama: Sentiasalah bersyukur dan mendoakan kesejahteraan orang yang memberi daging korban sebagai bukti menzahirkan betapa kehidupan umat Islam subur dengan budaya tolong-menolong kerana umat Islam yang termasuk dalam golongan fakir miskin sentiasa dalam pembelaan Islam.

Kedua: Amat tidak wajar sama sekali menolak pemberian daging korban andainya seseorang itu layak untuk menerimanya. Ada kalanya disebabkan terlalu banyak penerimaan daging korban, maka tidak mustahil akan berlaku lambakan daging korban yang boleh membawa kepada pembaziran. Maka manfaatkan daging korban untuk dimakan kerana ia hasil usaha orang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Ketiga: Sekiranya tidak menerima daging korban, usah berkecil hati lantas menghamburkan kata-kata yang tidak baik. Sesungguhnya segala pemberian rezeki adalah ketentuan dari Allah SWT. Ingatlah bahawa daging korban bukanlah segala-galanya kerana yang lebih utama adalah keikhlasan diri melaksanakan perintah Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Ibadah korban adalah cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW yang sarat dengan hikmah dan pengajaran.

Kedua: Adalah tidak wajar sama sekali kita merasa rugi akan kehilangan harta untuk melakukan ibadah korban kerana membantu golongan yang sangat memerlukan amatlah besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

Ketiga: Ibadah korban adalah lambang kebersamaan dan perpaduan (ukhuwah) dalam kalangan masyarakat dan kita berperanan untuk memastikan manifestasi ibadah korban ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:

Bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Tarikh Dibaca: 8 Zulhijjah 1443H/ 8 Julai 2022M

Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Gambar: Masjid Putra, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: