Oleh: Norana Johar
Pendapatan yang barakah tidak dapat diterangkan secara logik akal. Mengapa mereka yang berpendapatan tidak sebanyak mana pada pendapat ramai tetapi cukup segalanya, tidak terasa kesempitan rezeki? Manakala, mereka yang secara zahirnya memperoleh lebih tetapi seringkali terasa tidak cukup dan ditimpa keresahan? Apabila seorang muslimin keluar mencari rezeki, Islam menggariskan adab-adab yang perlu dipatuhi. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengelak daripada perkara-perkara yang akan menjejaskan keberkatan pendapatan.
Tidak Jujur Dengan Masa – Pejabat-pejabat mengambil banyak inisiatif untuk merakam masa bekerja dalam usaha untuk mengekang pekerja daripada ‘tuang’ atau mencuri masa. Dari sudut pandang pekerja, mengambil sedikit masa bekerja untuk ‘rehat’ itu bijak, seolah-olah mereka dapat ‘mengenakan’ syarikat. Namun, perlakuan ini akan menjejaskan keberkatan pendapatan si pelakunya. Jika dalam perjanjian kita dengan syarikat memerlukan kita bekerja 7 jam sehari dengan 1 jam rehat, lantas, 7 jam itu perlu kita penuhi kecuali jika kita sudah mendapat persetujuan syarikat untuk bekerja kurang dari itu. Tidak perlu mengeteh lama-lama, borak panjang dengan rakan di sebelah sehingga memakan masa bekerja yang diperuntukkan. Dan jangan buat kerja sambilan dalam masa pejabat kerana masa itu hak syarikat yang kita uruskan. Apabila berjanji, kita tepati, supaya pendapatan yang kita perolehi itu diberkati Allah swt.
Ambil Duit Kelepet – Duit kelepet atau rasuah ini boleh menggamit dalam pelbagai cara. Ketika diri diberi bajet tunai RM1000 contohnya untuk menguruskan sesuatu, dan kita hanya membelanjakan RM800 dan mengambil RM200 untuk diri sendiri tanpa pengetahuan syarikat. Kita membuat invois dengan harga yang tinggi, dan membuat persetujuan dengan pelanggan di belakang dengan harga sedikit murah agar kita mendapat manfaat secara individu. “Kenapa semua nak beri syarikat? Saya yang penat bekerja!” alasan ini tidak munasabah untuk digunapakai kerana perjanjian pekerjaan kita masih dengan syarikat. Jika inginkan semua pendapatan datang ke kita, bukalah bisnes sendiri dan berdoalah agar pekerja kita tidak ada perangai yang sama dengan kita dulu.
Culas Solat – Ada masa lagi ni… ada masa lagi ni… ada masa lagi ni, dan akhirnya Asar sering dilakukan di hujung waktu, begitu juga Zohor. Lebih parah lagi ada yang berfikir, balik nanti boleh qada’. Apabila kita mengutamakan kerja dan tidak memberi prioriti kepada solat, tentu sekali ini akan menjejaskan keberkatan pendapatan kita. Ingatlah bahawa segala rezeki yang kita perolehi datangnya dari Allah swt yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Tidak Bersyukur – Kurangkan merungut, lebihkan bersyukur. Jangan kita menganggap usaha kita itu penentu rezeki yang datang, dan jangan kita rasakan apa yang kita dapat itu tidak setanding dengan apa yang kita kerjakan. “Kenapa dia yang dapat promotion, bukan aku! Ini tidak adil!” Rezeki itu milik Allah yang Allah telah janjikan kepada hambaNya. Dengan bersyukur, kita berusaha menambah rezeki dan keberkatan Allah swt, insyaAllah.
Surah Ibrahim, Ayat: 7
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ (٧)
Ertinya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
Pegang Duit Ketat-Ketat – Bersedekahlah dalam apa cara sekalipun, walaupun pendapatan kita tidak sebanyak mana. Menghulur sedikit wang kepada ibubapa, bantu adik-beradik yang memerlukan, kadang-kadang belanja kawan makan, sedekah sedikit duit ke masjid, beri makan kucing jalanan, dan macam-macam lagi, semuanya dengan niat ikhlas bersedekah kerana Allah ta’ala. Tidak akan miskin mereka yang bersedekah, itu janji Allah.
Surah Al-Baqarah Ayat: 245
مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقْرِضُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا فَيُضَـٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضْعَافًۭا كَثِيرَةًۭ ۚ وَٱللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْصُۜطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (٢٤٥)
Ertinya :Barangsiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.
Jangan Rancak Berdosa – Elakkan diri daripada melakukan dosa yang kecil ataupun yang besar. Walaupun perhubungan antara lelaki dan wanita ditempat kerja itu diharuskan, kita masih lagi perlu menjaga diri agar tidak melampaui batas pergaulan. Tundukkan pandangan, jangan bergurau senda keterlaluan, kurangkan mengumpat, kurangkan berborak kosong, kurangkan memaki hamun susuk-susuk yang tidak kita gemari, pendek kata, jangan kita rancak berdosa.
Barakah itu hadir apabila kita bertakwa kepada Allah swt, melakukan perkara yang disarankan dan meninggalkan perkara yang dilarang, dalam kita mencari pendapatan kehidupan. Bermula dari melangkah keluar rumah dengan doa yang baik, kita luruskan niat untuk mencari pendapatan yang halal dan berkat untuk diri dan keluarga, dan elakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak mendapat redha Allah. Kita jaga pendapatan kita.
Leave a Reply