Oleh: mymuslimin.com
Peminat buku kini mempunyai satu lagi destinasi mesti-pergi dengan pembukaan Bukit Jalil Tsutaya Books di Pavilion Bukit Jalil pada 7 Julai 2022. Dengan keluasan 2,880 meter persegi, Tsutaya Books menawarkan lebih 264,000 buku, barangan gaya hidup dan peralatan tulis halus, serta cafe bagi pengunjung memesan minuman dan makanan ketika menikmati pengalaman di premis tersohor ini.
Berasal dari Jepun, ini merupakan cawangan pertama Tsutaya di Asia Tenggara/Malaysia. Tsutaya Books telah membuka lebih 1,400 cawangan di seluruh dunia dan salah satu matlamat pembukaan Tsutaya ialah mengenengahkan gaya hidup yang mengujakan para pengunjungnya. Rata-rata mereka yang datang ke sini bukan sekadar ingin mencari dan membeli buku tetapi Tsutaya menawarkan konsep gaya hidup yang merangsang minda dan kreativiti sepanjang pengunjung berada di ruang mereka.

Tsutaya Books hanyalah satu aras sahaja tetapi rak buku dari lantai-ke-siling yang dibina khas akan membuatkan peminat buku teruja ketika memburu judul yang dicari. Sudut-sudut di Tsutaya Books begitu bergaya dengan pencahayaan yang bijak menjadikan destinasi ini instagrammable, lantas memberi nilai tambah kepada para pengunjung yang gilakan buku serta gemarkan ruang yang unik, cantik dan menarik. Di sini juga ditampilkan barangan koleksi istimewa yang dibawa khas dari Jepun seperti kipas tangan, beg-beg unik mesra alam, kraftangan, gelas, cawan, figurin dan bermacam lagi.


Tsutaya Books menghidangkan sejumlah 13 bahagian termasuk cafe yang membawa pelanggan merasai pengalaman menarik dan menikmati gaya hidup yang ingin ditampilkan. Bahagian-bahagian Tsutaya Books termasuk Bahasa, Komik, Kemanusiaan, Kesusasteraan, Pelancongan, Seni, Majalah, Gaya Kerja, Gaya Hidup, Makanan, Kanak-kanak dan Barangan Gaya Hidup.

Buku-buku di Tsutaya dipilih susun mengikut kecendurangan gaya hidup dan tidak diasingkan mengikut bahasa dan Tsutaya menawarkan buku-buku berbahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Jepun.
Tsutaya menawarkan sistem mata bagi ahlinya melalui Aplikasi yang boleh dimuat turun di Google App dan di App Store.