Ketahui Adab Menziarah Orang Sakit

Oleh: mymuslimin.com

Tatkala kita semua berdepan dengan pendemik Covid yang berlaku di seluruh dunia semenjak dua tahun yang lepas, jumlah mereka yang sakit di sekeliling kita semakin meningkat. Sebagai muslimin, kita perlulah cakna dan menjalankan tanggungjawab kita untuk menziarahi saudara kita yang diuji dengan kesakitan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (HR Bukhari dan Muslim)​

Menurut Imam Syafi’i, apabila seseorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, ringankan langkah bagi menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai oleh Allah SWT. 

Namun begitu, mengunjungi orang yang sakit perlulah dipelajari adabnya terlebih dahulu. Jangan kita terjah sahaja sehingga mengganggu-gugat perasaan dan ketenteraman orang yang sedang sakit. 

20 Adab Menziarahi Orang Sakit

  1. Mulakan dengan berniat untuk menziarahi orang sakit mengikut sunnah Rasulullah SAW, kerana Allah SWT.
  2. Membersihkan tangan sebelum berjumpa dengan pesakit dan ketika ancaman Covid masih berleluasa kini, elakkan daripada bersalaman dengan pesakit untuk tidak memberi risiko penularan.
  3. Elak menziarahi pesakit sekiranya anda tidak sihat. Jangan berkeras untuk pergi sehingga memudharatkan pesakit. 
  4. Disunatkan duduk berdekatan dengan kepala pesakit bagi memudahkan komunikasi, elakkan daripada duduk di atas katil pesakit.
  5. Elakkan bercakap terlalu kuat dan terlalu lama sehingga mengganggu ketenteraman pesakit
  6. Elakkan memakai wangian yang kuat baunya atau merokok sebelum bertemu pesakit. 
  7. Senyapkan telefon bimbit agar tidak mengganggu pesakit.
  8. Jangan menjawab panggilan telefon atau memberi tumpuan kepada telefon ketika menziarahi pesakit.
  9. Adalah sunat untuk mendoakan pesakit agar cepat sembuh. 
  10. Jangan duduk terlalu lama sehingga mengganggu pesakit yang mungkin ingin tidur atau berehat.
  11. Keluarlah dari bilik sekiranya doktor atau jururawat ingin memeriksa keadaan pesakit. 
  12. Janganlah kita menggunakan tandas pesakit sekiranya bilik itu mempunyai tandas.
  13. Bawalah buah tangan yang bersesuaian. 
  14. Jangan makan makanan yang dihadiahkan atau yang disediakan untuk pesakit. Jika kita melakukannya, pahala ziarah akan hilang.
  15. Berdoalah untuk pesakit dan ceritakan kelebihan sakit yang dialami para sahabat, rasul, nabi dan orang beriman untuk mengurang kebimbangannya. 
  16. Janganlah kita menangis dan bermuka risau di hadapan pesakit.
  17. Jangan kita bercerita tentang penyakit orang lain yang sama atau seumpama penyakit yang dihadapi orang yang kita ziarah sehingga menyebabkan kematian orang itu, kerana ini akan memberi kemurungan kepada pesakit.
  18. Berikan nasihat dan motivasi yang baik yang boleh menaikkan semangat dan menceriakan pesakit.
  19. Jika kehadiran anda membuatkan pesakit lebih tertekan, tunggulah sehingga pesakit stabil sebelum melawatinya.
  20. Berkongsilah kisah yang baik-baik dan ceria, agar dapat membawa bahagia kepada pesakit lawatan anda.

Semoga kita semua terhindar daripada penyakit yang merbahaya, dan ingatlah, jangan diratapi setiap penyakit, kerana semuanya adalah ujian dari yang Maha Esa. Sama-sama kita panjatkan doa untuk kesejahteraan semua muslimin yang hidup dan yang telah meninggalkan kita.

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Rujukan: 

Khairul, G, (2018). 30 Wasiat Imam Syafi’i, Edisi Kemas Kini. Kuala Lumpur, Malaysia: Publishing House Sdn. Bhd.  

Adab-Adab Menziarahi Pesakit Mengikut Perspektif Islam, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: