Oleh: Ida Natasha
Dalam memilih pasangan hidup, bukan lelaki sahaja yang perlu berkenan akan pasangannya. Wanita juga diberi pilihan untuk memberi kata putus samada setuju atau tidak untuk memeterai sesebuah perkahwinan. Bagi lelaki yang sedang aktif mencari pasangan hidup, mymuslimin.com menyenaraikan 7 perangai lelaki yang kaum Hawa senangi pada bakal pasangannya. Jika perlu memperbaiki diri, berusahalah mulai hari ini.
Pemurah – Wanita senang dengan lelaki yang tidak berkira dalam segala perkara terutama dalam hal kewangan. Bukanlah wanita mengharapkan tas tangan berjenama sebagai hadiah sentiasa, atau sering dibawa ke restoran mewah untuk menjamu selera, cuma lebih gentlemanly untuk lelaki berbelanja yang sepatutnya. Lelaki yang berkira memang melemaskan, ramai wanita yang akan angkat kaki, undur diri sebelum terjerat menjadi isteri.
Segak dan Berbau Wangi – Wanita lebih senangi lelaki yang segak dan pandai menjaga diri. Kacak itu zahir, segak bergantung usaha. Lelaki, tolonglah jangan malas mandi dan menjaga diri. Jika masih belum pernah tahu apa itu deodorant, silalah masuk farmasi. Jeans kalau dah lama tak berbasuh, pergilah ke dobi. Rasulullah SAW sangat mementing kebersihan diri dan menganjurkan beberapa amalan yang perlu dilakukan agar diri sentiasa dalam keadaan bersih dan wangi. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Ada 5 macam fitrah, yaitu khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kumis, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” [HR. Bukhari dan Muslim] Jangan dibiar diri natural dan tidak dikemaskini, dan laburlah sedikit wang untuk membeli minyak wangi.
Makan Sopan – Badan berisi sedikit tidak mengapa, suka makan pun sama , tetapi janganlah gelojoh ketika menjamu selera seolah makanan itu akan hilang jika tidak dihabiskan segera. Bersopanlah dengan makanan. Elakkan bercakap ketika makanan penuh dimulut atau terkocoh-kocoh memasukkan makanan ke dalam mulut dan menelannya. Hayatilah sunnah Rasulullah SAW dalam bab cara makan seperti mulakan dengan makanan yang hampir dengan kita, jangan makan banyak dan jangan bercakap semasa makan, dan jangan merungut tentang makanan.
Cool dan Kelakar – Wanita senangi lelaki yang tenang, bercakap bila perlu, berlawak bila pasti punchline akan mengena. Kelakar selalunya menjadi ciri yang dicari oleh wanita tetapi jika anda sentiasa membuat lawak dan lawaknya hambar pula, ini tidak menyenangkan. Wanita juga kurang senang dengan lelaki yang gemar bersembang umpama dialah Google dan tidak memberi ruang untuk orang lain berbicara.
Pandai Jaga Hati – Lelaki yang pandai menjaga hati ini sahamnya tinggi. Andai rupa lelaki kacak tetapi mulutnya lepas, saham pasti merudum. Hanya kerana ada mulut, tidak bermakna lelaki boleh berkata sesuka hati. Lelaki yang suka menilai fizikal wanita, suka mengkritik sini sana adalah melemaskan. Bukanlah wanita tidak boleh ditegur tetapi adalah lebih bijak jika lelaki pandai mencari ruang dan pandai memilih cara untuk menegur pasangannya.
Penuh Sifat Kepimpinan – Lelaki merupakan pemimpin dan ketua keluarga. Lantas, seorang lelaki itu perlu tegas, perlu tahu mengambil keputusan, tahu menyelesaikan masalah, tidak bergantung harap kepada orang lain serta lengkap dengan ilmu yang diperlukan untuk mengemudi keluarga sendiri kelak. Selain mempunyai pendapatan untuk menyara keluarga, lelaki mestilah melengkapkan diri dengan Ilmu-ilmu tauhid, ilmu-ilmu ibadah-ibadah wajib seperti solat dan puasa, ilmu membaca Al-Quran, dan sebagainya, agar apabila mendirikan rumahtangga, dia mampu membimbing isteri dan keluarganya untuk mencari redha Allah SWT.
Ringan tulang – Wanita senang dengan lelaki yang ringan tulang, senang membantu dalam pelbagai perkara kerana apabila berumahtangga, banyak aspek yang memerlukan pasangan bekerjasama dan apabila mempunyai pasangan yang tidak ‘duduk sahaja’, semuanya boleh ditanggung bersama.
Kacak dan kaya bukanlah kriteria utama yang dicari wanita. Jika anda mempunyai sifat-sifat di atas, cair hati dibuatnya.
Leave a Reply