Brunei Buka Sempadan 1 Ogos 2022, Jom Kita!

Oleh Shah Shamshiri

Negara Brunei Darussalam akan membuka sempadan darat dan lautnya pada 1 Ogos depan tertakluk kepada keadaan semasa jangkitan COVID-19. Berita ini telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Dua, Dato Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah menurut laporan portal Borneo Network.

Dengan berita gembira ini, insyaAllah warga Malaysia akan dapat mengembara dan menikmati apa yang ditawarkan oleh negara jiran ini. Kepada mereka yang belum pernah sampai ke sana mungkin boleh memasukkan Brunei ke dalam senarai mesti-pergi tahun ini.

Biarpun tidak banyak yang kerap dikongsikan tentang negara Brunei Darussalam, ia sebenarnya ada tarikan tersendiri. Semuanya berkat kemakmuran industri gas dan minyak yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara ini sejak hampir seabad yang lalu.

Terletak di antara dua negeri Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak, Brunei juga berkongsi pulau Borneo dengan Indonesia selain Malaysia. Terbahagi kepada empat daerah iaitu Brunei-Muara, Tutong, Belait dan Temburong, ibu negaranya Bandar Seri Begawan tersergam di kawasan Brunei-Muara, kawasan dengan jumlah populasi terbesar.

Sungguhpun tidak luas, Brunei mempunyai beberapa tarikan pelancong yang mungkin berbeza dengan jiran-jiran serumpunnya. Salah satu tempat paling popular adalah kawasan perkampungan air yang dikenali sebagai Kampong Ayer.

Kampong Ayer

Menurut sejarah, peradaban Brunei dikatakan bermula di perkampungan air ini di mana para penghuninya dahulu terdiri daripada nelayan dan pelaut. Sehingga hari ini, perkampungan air tersebut kekal menjadi salah satu kebanggaan penduduk dan kerap dikunjungi para pelancong. Seperti kota-kota lain, perkampungan air ini dilengkapi dengan sekolah, hospital dan semua keperluan awam yang lain. Perbezaan ketara hanyalah ia terletak di atas laut dan penduduknya bergerak menggunakan bot dan kenderaan air yang lain. Dipulihara dengan baik oleh kerajaan tempatan mereka, kawasan ini dijangka berkekalan untuk kepentingan sejarah.

Jauh ke kawasan pedalaman perkampungan air, para pelancong yang mengikuti persiaran sungai akan menemui kawasan hutan paya bakau yang juga merupakan habitat monyet bekantan atau nama saintifik dan Bahasa Inggerisnya, proboscis monkey atau ‘long-nosed monkey’.

Kawasan hutan paya bakau

Haiwan ini tinggal di hutan bakau ini dan biasanya tidak akan meninggalkannya kerana makanan utamanya adalah dedaun dan buahan yang tumbuh di pohon-pohon bakau ini. Pengunjung yang bertuah akan dapat melihat monyet-monyet ini selain hidupan liar di sekitarnya seperti ajnas burung dan unggas serta reptilia lain. 

Dari kawasan perkampungan air, kawasan bandar utama di Bandar Seri Begawan juga harus dikunjungi.

Di sini jugalah terletaknya masjid Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) yang merupakan salah satu tarikan pelancongan paling gah di Brunei. Dibuka pada September 1958 masjid ini adalah salah satu daripada masjid paling dikenali di Asia Tenggara dengan kubah emasnya yang tersohor.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS)

Di sebelah masjid itu pula, di tengah-tengah kolam buatan sekelilingnya tersergam replika kapal diraja dari abad ke-16. Pemandangan indah masjid dan kapal diraja ini sering diabadikan di dalam poskad dan juga cenderahati Brunei yang lain kerana kecantikan persekitarannya.

Satu lagi tempat kegemaran pelancong yang juga penuh berinformasi adalah bangunan Bangunan Alat Kebesaran DiRaja yang telah dibina untuk memperingati jubli perak hari pertabalan Sultan Brunei, Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. Ia menempatkan himpunan alat kebesaran diraja dan barang berkaitan dengan keluarga diraja Brunei.

Selain itu terdapat juga satu lagi mercu tanda Brunei yang sangat dikenali iaitu The Empire Brunei. Ia bukanlah sekadar sebuah resort mewah biasa tetapi boleh dianggap lebih dari itu.

Terbina indah di kawasan Jerudong ia merupakan sebuah penginapan mewah yang terletak sekitar 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Ruang dalam The Empire

Seperti namanya, ia melambangkan kebesaran sultan mereka yang juga sentiasa menyambut kedatangan tamu dengan penuh mesra di samping menawarkan pemandangan terindah Brunei di sekelilingnya. Dengan lebih 500 buah bilik yang terdiri daripada suite serta vila eksklusif, resort ini sememangnya menjadi pilihan ramai pelancong dan penduduk tempatan.

Berada di kawasan pantai, ia juga sangat luas dan mempunyai pawagam, gelanggang boling, padang golf, gelanggang bola keranjang dalaman berhawa dingin, gelanggang badminton dan lima kolam renangnya sendiri! Terdapat juga pelbagai sukan air lain yang disediakan untuk para tamu. 

Kawasan pantai The Empire

Dan untuk melengkapkan perkhidmatan terdapat aneka pilihan tempat makan tempatan, Asia dan barat untuk dicuba. Ini menjadikannya destinasi harus pergi kalau ke Brunei.

Satu lagi tarikan yang harus dikunjungi adalah taman tema permainan Jerudong Park Playground. Satu-satunya taman tema di situ, ia menawarkan pelbagai permainan menarik seperti rollercoaster, lapangan golf mini, ampiteater dan banyak lagi. 

Suasana malam di Jerudong Theme Park

Secara umum, Brunei ada tarikan tersendiri dan ini hanyalah secebis gambaran tentang apa yang boleh dinikmati andai ke sana. Jadi apabila sempadan dibuka nanti, cubalah menjelajah sendiri negara unik ini.

Gambar: Piter Sipayung

Sumber: Getaran.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: