Dah biasa dengan briyani Johor, jom kali ini kita ubah selera ke briyani Pakistan asli. Restoran yang terletak di lokasi mewah di Kuala Lumpur ini memang menjadi pilihan mymuslimin.com kerana harganya berpatutan dan rasanya yang mantap.
Restoran Briyani Asif terletak berdekatan dengan pusat membeli belah utama Pavilion Kuala Lumpur dan Farenheit 88 di Bukit Bintang. Tetapi, janganlah membayangkan restoran mewah pula. Untuk sampai ke sini, letaklah kereta di parking berdekatan, dan anda perlu berjalan kaki sebentar di kawasan barisan rumah kedai di belakang Farenheit 88 sebelum bertemu restoran ini.

Dah sampai Briyani Asif, tidak sahlah kalau tidak mencuba briyaninya. Briyani ayam (RM16.00), kambing (RM20.00) dan daging (RM20.00) di sini memang sedap. Beras basmati dimasak bersama daging pilihan, menghasilkan butir-butir nasi yang panjang gebu diadun sempurna dengan rempah ratus briyani. Kami mencuba briyani kambing yang datang dengan daging kambing yang lembut, lazat dan sedikit pedas.

Satu lagi hidangan mesti-cuba di sini adalah Naan mereka. Naan Keju Briyani Asif (RM6.00) memang mengancam dengan rotinya yang lembut dan keju yang lazat. Tahu-tahu dah makan empat keping sementara menunggu briyani sampai. Nakkan lauk tambahan, kami cadang Ayam Masala (RM10.00). Sekali rasa memang tersenyum dan hilang segala masalah sebab rasanya memang sedap benar.
Pilihan lain yang ada termasuk Briyani Udang, Lamb Shank, Kebab, Tikka Rusa, Karahi Daging, Ayam Butter, Mango Lassi dan banyak lagi!
Jadi, jika anda ke Bukit Bintang, langkah keluar dari Pavilion dan carilah Restoran Briyani Asif untuk hidangan briyani Pakistan yang cukup enak.
Nasi Briyani Asif
7 & 9, Jalan Padang,
Lorong Walter Granier,
Imbi, 55100 Kuala Lumpur
Buka 10 pagi sehingga 10 malam
Gambar: mymuslimin
Leave a Reply