Oleh: Ida Natasha
Umat Islam sangat disarankan untuk mendirikan perkahwinan kerana dengan berkahwin kita dapat menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya” Riwayat al-Tirmidhi (1655), al-Nasa’I (3218).
Perkahwinan itu sebenarnya menuntut lebih daripada cinta untuk berjaya kerana apabila dua individu hidup bersama, cabaran yang dihadapi tidak sama ketika belum berumahtangga. Apabila kita merelakan individu lain ke dalam hidup kita dan berkongsi suka, duka, dan segalanya, bermacam perkara boleh berlaku yang menyebabkan kita rasa sudah tidak serasi bersama, dan akhirnya memilih untuk mencari jalan keluar, meruntuhkan perkahwinan di tengah perjalanan.
Memutuskan untuk berpisah adalah pilihan yang sangat sukar lebih-lebih lagi bila pasangan sudah bercahayamata. Namun untuk meneruskan hidup bersama itu lebih menyeksakan kedua-dua jiwa. Sebelum berlakunya keadaan ‘umpama telur di hujung tanduk’ di dalam perkahwinan, kenali 7 masalah perhubungan yang sukar dipulihkan dan elakkan diri daripada terjerumus ke dalamnya.
Curang Bersiri
Kecurangan bukanlah satu masalah yang unik dalam perkahwinan. Oleh itu Islam menyarankan agar isteri sentiasa meminta keizinan suami untuk berurusan di luar rumah, waima untuk pergi ke kedai berdekatan sekali pun, dan suami diminta untuk menundukkan pandangan dan menjaga diri apabila isteri tiada di sisi. Malangnya, realiti zaman ini menyaksikan ramai pasangan yang telah berkahwin tergelincir dari landasan dan membuat perhubungan dengan orang lain. Tetapi, bukan semua kes akan melibatkan penceraian. Selalunya pasangan akan memberi peluang sekali atau dua kali untuk si curang memperbetulkan keadaan. Masalah kronik timbul apabila kecurangan ini dilakukan berkali-kali tanpa ada perasaan sedar diri atau ada ciri-ciri untuk kembali ke pangkal jalan. Hati yang sering diremukkan selalunya tidak akan dapat menzahirkan rasa cinta, lantas mencari jalan keluar untuk bahagia.
Penipu Tegar
Pasangan yang tidak jujur menimbulkan banyak prasangka dalam perhubungan. Tiba-tiba hilang dari rumah dan tidak tahu ke mana perginya. Bila ditanya, banyak berdolak-dalih dan tiada bukti sahih di mana dia berada. Kerahsiaan ini menyulitkan perhubungan kerana dalam hati pasangan terdetik, apakah perkara yang dia sembunyikan? adakah dia seorang yang curang? Dan ini akan merosakkan perhubungan dalam jangkamasa panjang.
Kaki Bangkang
Bukan semua perkara perlu dibawa bertengkar. Beralah itu lebih banyak faedahnya daripada bertegang urat, walaupun untuk perkara-perkara kecil. Dan apabila terdapatnya perbezaan pendapat, kedua-dua pihak mahu menang dan merasakan apa yang mereka rasakan itu betul. We can always agree to disagree, memilih untuk bersetuju berbeza pendapat. Benda-benda remeh yang dipanjang-panjangkan akan menyebabkan pasangan tidak dapat memaafkan pihak satu lagi dan ini akan membawa kesan negatif kepada perhubungan. Hidupkanlah Sakinah dalam perkahwinan bukan menjemput syaitan mengeruhkan keadaan.
Nafsu Tidak Seirama
Ini merupakan masalah besar yang selalunya akan menyebabkan perhubungan tidak mampu bertahan atau jika diteruskan akan membuatkan pasangan ini derita berpanjangan. Adalah menjadi tanggungjawab seorang isteri untuk melayan keinginan suami tetapi segala aktiviti di dalam bilik tidur ini hendaklah dilaksanakan dengan penuh adab dan penghormatan antara satu pasangan dengan yang lain. Keredaan dan keizinan pasangan itu penting untuk mencapai ketenteraman dan kepuasan yang diredhai Allah SWT. Allah SWT berfirman:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’ : 19)
Diriku Adalah Segalanya
Ah si narsisis… dia hanya nampak dirinya dalam semua sudut, di dalam semua aspek kehidupan. Pasangannya tidak diendahkan kerana narsisis melihat si dia umpama seorang yang melukut di tepi gantang, tidak penting dan tidak diperlukan. Jika pasangan anda seorang narsisis, perhubungan tentu akan merana kerana dalam perhubungan ini, tiada istilah kita, hanya dia.
Kutuk-Mengutuk
“Adoi badan you macam anak gajah,” kata si suami. “I suka muka yang macam Fattah Amin, apalah nasib dapat you,” kata si isteri. Penghinaan pasangan secara kerap dan berterusan adalah tidak sihat dalam perkahwinan kerana hati si penerima luluh setiap kali dikutuk orang yang disayang. Mungkin ramai yang merasakan ianya hanya gurauan sehinggalah kutukan itu singgah ke muka sendiri. Penghinaan akan meretakkan perkahwinan yang dibina kerana sedikit demi sedikit hati akan membenci pasangan yang tidak menghargai.
Sabda Rasulullah SAW lagi:
إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.
Riwayat al-Tirmidhi (2612)
Ruang Kongsi Ditutup Rapat
Komunikasi antara suami isteri itu sangat penting dalam melayari bahtera perkahwinan. Pasangan yang sentiasa menolak dan sentiasa menutup ruang dalam berkongsi perasaan dan pengalaman akan membuat seorang lagi terasa tidak diperlukan lantas menyoal mengapa perlunya dia berada di dalam perhubungan tersebut. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam perhubungan suami isteri. Baginda saw menghiburkan isterinya yang sedang bersedih, mengelap air matanya, memahami perasaannya, dan tidak pernah menguris perasaannya. Baginda saw juga mendengar apabila isterinya berkongsi perasaan, berhibur dan berlumba, mempertimbangkan cadangannya, tidak merendahkan isteri ketika terjadi musibah atau masalah dan Rasulullah saw sering meluahkan perasaan cintanya kepada isterinya. Wanita ini unik penciptaannya, lantas penjagaannya juga perlu dilakukan dengan penuh rasa cinta dan kelembutan.
Hakikatnya, perkahwinan adalah kontrak antara dua individu untuk meneruskan kehidupan bersama dan membina keluarga. Ianya satu perjalanan yang tidak mudah dan jika dibebankan dengan masalah di atas besar kemungkinannya tidak mampu bertahan. Sebelum retak menanti belah, elakkan daripada melakukan perkara-perkara tersebut.
Sumber: Tanggungjawab sebuah perkahwinan
Leave a Reply