
Oleh: mymuslimin.com
Kali ini mymuslimin.com menjamu selera di kafe comel yang terletak di deretan kedai di Denai Alam, Shah Alam, Selangor. Kenapa kami memilih cafe ini? Kerana seleksi sajian manisannya yang menyelerakan dan pelbagai jenis sehingga rambang mata untuk kami membuat pilihan.
Nama Ohh dipilih untuk restoran ini kerana ianya luahan rasa apabila seseorang seronok, gembira dan teruja, seperti perasaan kami apabila melihat deretan sajian manisan yang tersedia di kaunter kafe ini.


Untuk makan tengahari, kami memesan dua hidangan pasta terlaris di kafe ini, Pasta Lemak Cili Padi (RM28) dan Pasta Ayam Berempah Telur Masin Berkrim (RM25). Kedua-duanya tidak mengecewakan mata dan selera! Kontras warna udang harimau yang merah dengan kuning kunyit sos Pasta Lemak Cili Padi membangkitkan rasa dan adunan rasa lemak pedas cili padi akan membuat anda berkata Ohhh (mak ai) sedapnya!
Walaupun ada elemen pedas, pedasnya tidaklah sampai berair mata, cili dicampur secukup rasa. Pasta Ayam Berempah Telur Masin Berkrim juga tidak kurang hebat dengan ketulan ayam berempah yang garing dan berperisa. Puas hati! Saiz hidangan makan tengahari di sini juga berbaloi dengan harganya. Bagi kami, pasta di Ohh menepati citarasa pelanggan Malaysia dengan gabungan rasa tempatan ke dalam masakan Itali. Hebat!
Sajian hidangan makan tengahari yang lain termasuk Laksa Johor (RM22), Set Nasi Lemak (RM10), Fish & Chips (RM23), Aglio Olio (RM19), Pai (RM12-RM15).



Selesai sahaja makan tengahari, tak sabar nak merasai pencuci mulut di Ohh yang cantik-cantik belaka. Sajian manisan pertama yang kami cuba Adakah Tat Strawberi (RM12), sudahlah cantik, sedap pula dan tidak terlalu manis, sesuai dengan selera masa kini. Saiz sajian manisan di sini juga senang untuk dihabiskan.
Satu lagi tat yang kami cuba adalah Tat Coklat. Apa yang menarik mengenai tat di Ohh ini ialah pastri tatnya yang nipis dan rapuh. Tat Coklat ini dilapisi cairan karamel di dasarnya sebelum disempurnakan dengan krim coklat yang lazat. Awas penggemar coklat, takut beli satu tak cukup!
Satu lagi sajian yang popular di sini ialah Krim Puff Jepun Mini (RM4) yang datang dalam dua perisa, vanila dan coklat. Dua kali suapan, sudah habis satu puff. Krim di tengahnya lemak, sedap dan kurang manis, tidak muak walau dimakan banyak. Ohh juga dikenali dengan Crepe Duriannya yang mengancam, tetapi sayangnya ketika kami berkunjung, crepe sudah kehabisan.



Kami juga mencuba Kek Lobak Merah (RM10) dan Kek Lemon (RM10) yang mewakili kek versatil sepanjang zaman. Terdapat juga kek Sandwich Victoria, Apple Pie, Pandan Gula Melaka di dalam kategori yang sama.
Untuk yang menggemari pastri ala Eropah, Ohh menyediakan Eclair, Creme Brulee, Croissant, Kek Keju Terbakar, Puding Roti Mentega dan banyak lagi yang boleh dicuba.


Ohh Bakery & Cafe dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam.
48, Jln Elektron U16/E, Denai Alam, 40160 Shah Alam, Selangor
Buka 8 pagi hingga 9 malam
Leave a Reply