Oleh: mymuslimin.com
Sebagai orang Islam, kita perlu tahu bahawa Hari Jumaat merupakan hari agung yang dilimpahi banyak kelebihan, keistimewaan dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain.
Jumaat diibaratkan seperti penghulu segala hari, dan umat Islam, lelaki dan wanita digalakkan untuk mengambil berat dan cuba melakukan perkara-perkara sunnah apabila tibanya hari Jumaat untuk memperoleh kebesaran hari tersebut dan keberkatan Allah SWT.
Mymuslimin.com menyenaraikan 5 perkara sunnah dilakukan pada hari Jumaat. Mari kita sama-sama mengamalkan untuk Jumaat yang lebih bermakna.
Mandi Sunat Jumaat
Untuk muslimin yang akan menunaikan sembahyang Jumaat, lakukan mandi sunat Jumaat. Bagi mereka yang bekerja di pejabat bolehlah mandi apabila masuknya waktu Subuh dan bagi mereka yang berkesempatan untuk bersiap-siap dahulu di rumah sebelum ke masjid untuk sembahyang Jumaat, adalah lebih baik untuk mandi sebelum ke masjid. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat, dia hendaklah mandi.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 844) Selepas mandi, antara sunnah lain yang boleh dilakukan ialah berwangi-wangian, sisir rambut dengan baik dan memotong kuku.
Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW

Kita disarankan untuk berselawat kepada Rasulullah SAW setiap hari. Tetapi, apabila tibanya hari Jumaat, adalah lebih baik kita menggandakan selawat Nabi sebanyak mana yang mampu agar kita beroleh syafaat Nabi di hari akhirat nanti, insya Allah. Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Membaca Surah Al-Kahfi

Membaca Surah Al-Kahfi boleh dimulakan maghrib hari Khamis dan sepanjang hari Jumaat sebelum waktu maghrib. Dari Abu Said Al-Khudri ra, dari Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.” [Sunan Ad-Darimi 3273. An-Nasaei dan Al-Hakim] Surah Al-Kahfi mengandungi 110 ayat dan mempunyai empat kisah utama yang boleh dijadikan panduan dalam kita mengharungi kehidupan yang serba mencabar. Kisah Pemuda Kahfi (Ayat 9-26) yang diuji dengan aqidah dan keimanan, kisah pemilik dua kebun (Ayat 32-44) yang diuji dengan harta kekayaan, kisah Nabi Musa & Nabi Khidir (Ayat 60-82) yang diuji dengan ilmu dan kesabaran, serta kisah Raja Zulqarnain (Ayat 83-101) yang diuji dengan kekuasaan.
Berdoa di Hari Jumaat
Hari Jumaat ialah hari mustajab doa dan masa yang mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. [Riwayat al-Bukhari (6400)] Jangan kita sambil lewa di hari istimewa ini. Bersiap-siaplah kita dengan doa-doa yang kita ingin pohon kepada Allah SWT, insya Allah dimakbulkan-Nya.
Bersegera Ke Masjid
Santuni hari Jumaat dengan penuh rasa kesyukuran, keinsafan dan kegembiraan, dengan bersegera ke masjid untuk mendengar khutbah Jumaat dan menunaikan solat Jumaat.

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mandi seperti mandi janabah (mandi daripada hadas besar) pada hari jumaat, kemudian ia pergi ke masjid pada waktu yang pertama, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu kedua, maka pahalanya seperti berkorban seekor lembu. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu yang ketiga, maka pahalanya seperti berkorban seekor kambing. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu yang keempat, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor ayam. Siapa yang tiba di masjid pada waktu yang kelima, maka pahalanya seperti berkorban sebiji telur. Apabila imam telah keluar, para malaikat hadir untuk mendengarkan khutbah (dan tidak ada lagi yang mencatat setelah itu).” (HR Muslim No: 1403) Jangan sampai pahala seekor telur pun kita tidak dapat kerana keculasan kita menunaikan tanggungjawab.
Selain daripada yang lima yang disenaraikan, teruskan melakukan perbuatan sunnah lain seperti bersedekah dan berbuat baik di hari Jumaat yang penuh berkat ini.
Leave a Reply