TwtJodoh – Trend Terbaharu Mencari Pasangan

Oleh: Ida Natasha

Di zaman datuk nenek kita dahulu, para gadis hanya duduk di rumah menunggu keluarga lelaki masuk meminang. Apabila wanita sudah ramai masuk universiti dan menyumbang kepada ekonomi, pemikiran menjadi lebih moden, lantas lebih selesa memilih pasangan sendiri dan tidak lagi ingin bergantung kepada padanan keluarga. Sekarang, lain pula trendnya. Golongan muda zaman ini lebih proaktif dengan mengiklankan diri dengan tag TwtJodohMY di platform Twitter untuk mencari calon suami dan isteri. 

@TwtJodohMY merupakan akaun di platform Twitter yang akan mengulangciap calon-calon yang ingin mencari jodoh. Mempunyai pengikut seramai 86.3 ribu ketika artikel ini ditulis, TwtJodohMY mengalu-alukan mereka yang ingin mencari jodoh dengan menghubungi admin mereka. TwtJodohMY akan mengulangciap twitjodoh mereka yang menghubungi mereka secara percuma dengan syarat akaun Twitter calon tersebut aktif, gambar calon mesti diri sendiri dan bukan gambar orang lain serta bukan akaun Twitter baru yang mencurigakan. Yang paling penting ialah akaun ini bertujuan untuk menemukan mereka yang ingin mendirikan rumahtangga, dan bukan untuk mereka yang ingin suka-suka menguji diri di pasaran atau pendeknya ‘test market’.

Ramai yang ingin mencari jodoh untuk diri sendiri dan ramai juga mencarikan untuk teman-teman rapat dengan menyenaraikan maklumat diri dan ciri-ciri yang diidamkan daripada pasangan yang dicari. Sebagai contoh, saya seorang wanita berumur 26 tahun, tinggi 157cm, kurus, pakai cermin mata, bekerja swasta, solat 5 waktu, boleh mengaji dan memasak. Saya inginkan lelaki yang berumur lingkungan 27-35, tinggi 170cm ke atas (BMI normal), perwatakan menarik, kerja tetap, solat 5 waktu, sopan dan pandai membawa diri. Dengan mesej sebegini, calon yang sesuai akan mula menghubungi secara peribadi untuk memperkenalkan diri. 

Mencari cinta menggunakan teknologi

Twitjodoh semakin mendapat perhatian apabila ramai yang menggunakannya platform dan berjaya memperoleh pasangan sehingga mendirikan rumahtangga. Namun, tidak kurang juga yang kecewa kerana ada ciri-ciri yang mereka ada tidak sepadan dengan apa yang diiklankan di pasaran. Calon yang berbadan gempal, tiada mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, lelaki yang tingginya tidak seberapa, wajah juga tiada apa yang istimewa, serta memiliki kerja yang tidak sempurna, selalunya tidak memenuhi kriteria yang disenaraikan. Rata-rata, semua menyenaraikan mereka yang cantik, kacak dan berjaya, walaupun tidak dinyatakan secara literal.

Tiada salahnya mencari individu yang mempunyai sifat-sifat yang kita suka. Persoalan yang timbul ialah adakah dengan mencirikan individu yang dicari secara spesifik akan membuatkan kita bertemu jodoh yang kita idamkan? 

Jodoh itu ketentuan Ilahi, berdoalah kepada Dia yang Maha Kuasa

Walaupun kita berikhtiar, perlu diingat bahawa jodoh itu ketentuan Allah SWT. Kita perlu berdoa agar kita ditemukan dengan jodoh yang terbaik untuk kita dunia dan akhirat. Namun begitu, dalam keghairahan kita ‘memilih’, jika ada yang datang meminta, hati-hati untuk menolak sebelum diteliti dua perkara, agama dan akhlaknya. Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada yang meminang dan kalian reda dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.” (Riwayat al-Tirmizi) Mintalah nasihat daripada sosok yang berpengalaman dan tidak salah jika menjalankan sedikit penyiasatan untuk mengenali sebelum memberi kata putus.  

Ciri-ciri yang perlu ada pada lelaki dan perempuan telahpun diperincikan oleh Islam dan sekiranya ciri-ciri ini diambil perhatian, insya Allah akan membawa kebahagiaan. Bagi kaum lelaki, perhatikan empat perkara pada wanita. Rasulullah (saw) bersabda yang bermaksud: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Engkau akan bahagia.” Riwayat al-Bukhari (5090) & Muslim (3708). 

Manakala kaum wanita pula perlu mencari lelaki yang ada sifat qawwam. Qawwam ialah lelaki yang bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, bijak mengurus, sentiasa prihatin, mempunyai sifat kepimpinan, menjadi pengawal dan pembela isteri dan keluarganya secara berterusan, bukan ketika hendak memikat sahaja. Lelaki yang qawwam ini bertanggungjawab melindungi dan menjaga keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat selagi hayatnya dikandung badan. 

Jika sifat-sifat yang disenaraikan ini tiada pada calon isteri atau suami, mungkin boleh terus mencari dan berdoa kepada Ilahi. 

Lantas, persoalannya, perlukah sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda? Sebiji kereta, dan BMI tidak melepasi tahap biasa? Apa yang perlu diperhatikan ialah daripada sudut akidah serta agama calon pasangan kita, apakah solat lima waktunya dijaga dan dia menghormati ibu bapa? 

Semua individu mempunyai hak untuk mencari pasangan kerana Islam sangat mengesyorkan perkahwinan untuk mencari reda Allah. 

Mengiklankan diri di Twitjodoh ialah salah satu usaha tetapi niatnya masih perlu jelas iaitu untuk mendirikan rumahtangga dan jangan lupa untuk berdoa agar ditemukan dengan si dia. 

Disenaraikan doa-doa yang boleh diamalkan mereka yang sedang mencari pasangan hidup, supaya Allah mengurniakan kita dengan jodoh yang terbaik. 

قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ ‎‏

Maksudnya: Katanya, ‘Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan’”

Surah Ali Imran (38)

رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”

Surah al-Anbiya’ (89)

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Sebagai orang Islam, dalam kita menguruskan kehidupan, kita perlu benar-benar yakin dengan takdir dan Qadar Allah. Siapa sahaja yang dijodohkan dengan kita itu memang telah ditulis di dalam lembaran hidup kita, dan waima tiada jodoh, itulah ujian Tuhan ketika kita di dunia ini. Dan seandainya kita sabar menghadapi ujian tersebut, insya Allah kita semua akan bahagia dan berjaya dunia dan akhirat.

Untuk yang masih sendiri dan ingin mencuba, dmlah @TwtJodohMY, mana tahu jumpa.

Bacaan lanjut:

What is the ruling of using dating page to find our partner and uploading pictures on it? 

Jodoh Tak Lekat; Silap Siapa? 

Ketetapan Qadar Manusia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: