Pesanan Saidina Abu Bakar As-Siddiq – Carilah 5 Penerang Kepada 5 Kegelapan

Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra) adalah sahabat akrab Rasulullah SAW yang telah berada dan berjuang di sisi Rasulullah SAW di sepanjang perjuangan Baginda SAW menegakkan syiar Islam. Setelah wafatnya Rasulullah SAW tanpa meninggalkan sebarang wasiat tentang siapakah sahabat yang dipilih untuk meneruskan kepimpinan Baginda SAW, Saidina Abu Bakar telah diangkat sebagai khalifah pertama Khulafa Ar-Rasyidin melalui sistem syura’, dan beliau telah memimpin khalifah selama 2 tahun beberapa bulan sebelum beliau wafat pada tahun ke 13 Hijrah. Saidina Abu Bakar (ra) terkenal dengan sifat jujur, pekerti yang baik dan sikap yang terpuji, sehingga digelar As-Siddiq oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Antara pesanan Saidina Abu Bakar As Siddiq (ra) yang perlu diingat sepanjang zaman ialah bahayanya lima kegelapan dan bagaimana untuk melindungi diri dengan mencari penerangnya.

Dunia ialah tempat penuh ujian kepada manusia

Pertama, cinta akan dunia itu adalah kegelapan dan lampu penerangnya adalah taqwa. 

Dunia ini penuh dengan tipu daya, noda dan dosa. Firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

MaksudnyaKetahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.– Surah al-Hadid (20)

Andai manusia itu leka dalam mengejar dunia, kerugian yang akan ditanggung di akhirat terlalu dasyat sehingga tiada jalan keluarnya. Lantas, carilah penerang kepada kegelapan dunia iaitu taqwa.  

Dari Abu Hurairah (ra), katanya: Rasulullah SAW ditanya tentang sesuatu yang paling banyak menyebabkan manusia masuk ke dalam syurga, beliau menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” (HR. At Tirmidzi No. 2004) Apa itu taqwa? Taqwa ialah apabila seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan dalam masa yang sama mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunnah.

Kedua, berbuat dosa itu adalah kegelapan, dan lampu penerangnya adalah taubat. Abi Hurairah (ra), Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya.” (Riwayat al-Nasa’ie (11594). Dosa sekecil mana jika terus menerus dilakukan tanpa bertaubat, mampu menggelapkan hati dan menjauhkan jiwa daripada Allah SWT. 

Ketiga, kubur itu adalah kegelapan, dan lampu penerangnya adalah bacaan لا إله إلا الله محمد رسول الله.  Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.” Hadith riwayat Abu Daud: (3316) Muslimin dan muslimat digalakkan untuk memperbanyakkan membaca Al Qur’an kerana ia akan menjadi penolong di hari kiamat. Al-Qur’an yang dibaca akan datang sebagai penerang di alam kubur sekaligus penghalang dari api neraka. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Bacalah Al-Qur’an kerana sesungguhnya di hari kiamat nanti ia akan menjadi syafa’at kepada orang-orang yang mengikutinya.” (HR. Muslim)

Penuhkan hidup dengan amal soleh

Keempat, akhirat itu adalah kegelapan, lampu penerangnya ialah amal soleh. Telah banyak diterangkan di dalam Al-Quran bahawa amal soleh itu akan menjadi lampu kepada manusia di akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 82: وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.” Apakah amal soleh? Amal yang dapat memberi manfaat besar untuk diri kita dan orang lain. 

Kelima, titian sirat itu adalah kegelapan dan lampu penerangnya adalah yakin. Yakin dengan Islam dan Iman, dan segala janji Allah SWT kepada hambaNya. Setelah Allah mengadili manusia, dihisab, dan ditimbang seluruh amalnya, maka mereka akan diperintahkan untuk melintasi sebuah jambatan yang terbentang di antara syurga dan neraka, jambatan yang dinamakan titian sirat dalam keadaan sekeliling yang amat gelap tanpa lampu atau cahaya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, ” Mereka berada dalam kegelapan sebelum meniti jambatan” (H.R.Muslim)

Namun, untuk orang-orang yang beriman, Allah telah menjanjikan cahaya di akhirat, sehingga mereka dapat meniti titian sirat dengan mudah. Cahaya inilah yang disebut Allah dalam Al-Qur’an Surah Al-Hadid ayat 12 {يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ } [الحديد: 12] maksudnya: “Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman laki-laki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping kanan mereka” (Q.S.Al-Ḥadīd; 12) 

Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada 5 pesanan Saidina Abu Bakar As-Siddiq (as) dalam mengejar kecemerlangan di dunia dan di akhirat, dan berjaya memasuki syurga untuk menikmati alam abadi yang Allah SWT janjikan. 

Sumber:

Sifat Kehidupan Dunia

What is Taqwa?

Melakukan Dosa tetapi Hati Tenteram

Cahaya Orang Mukmin di Hari Kiamat

Memohon Syurga

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: