Kisah Duit & Kewangan Keluarga – Bukan Mudah Untuk Dibawa Berbincang

Oleh: mymuslimin.com

Kewangan atau lebih tepat masalah kekurangan wang adalah antara masalah paling besar dalam kebanyakan rumahtangga. Punca utama yang menyumbang kepada parahnya masalah ini ialah kerana topik ini sensitif dan kurang dibincangkan secara terbuka. Ramai pasangan yang lebih rela sapu masalah kewangan keluarga di bawah karpet dan berpura-pura seolah-olah semuanya baik-baik sahaja.

Masalah kewangan yang tidak dapat dibendung dan ditutup akan menyebabkan perhubungan menjadi tegang kerana kebanyakan pasangan tidak memiliki kemahiran untuk berbicara tentang isu duit. 

Sebaik-baiknya bab kewangan dan cara mengurusnya perlu diatasi di awal perkahwinan agar kedua pasangan jelas tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan dalam mengurus duit keluarga. 

Mymuslimin menyenaraikan perkara yang jangan dibuat agar masalah kewangan tidak menjadi penyebab rosaknya perkahwinan.

Pentingkan Duit Berbanding Perhubungan

“Abang, si x tu kaya gila. Apa isteri dia nak pun dapat tau,” cerita si isteri kepada suaminya. Tanpa disedari hati suami pecah seribu mendengar ayat tersebut kerana seolah-olah si isteri mengejek kemampuannya untuk menyediakan duit yang banyak supaya boleh berbelanja tanpa risau, sedangkan suami tadi telah berusaha memberikan yang secukupnya walaupun tidak mewah. 

Dalam Islam, seorang suami itu perlu memberi nafkah kepada pasangannya mengikut kemampuan suami. Firman ALLAH SWT dalam Surah Talaq (7) yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” 

Pembelian beg berjenama, pakaian yang mahal, dan barang kemas seperti emas dan perak tidak termasuk di dalam nafkah yang perlu dilunaskan di dalam Islam. Lantas, jangan bersedih hati jika suami tidak dapat menghadiahkan barangan berjenama di hari-hari istimewa. Yang pentingnya keperluan kehidupan dipenuhi dengan konsisten. Insya Allah bila suami sudah semakin stabil dalam kareer, dia akan mencuba memenuhi impian tersebut. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Allah SWT tidak memandang kepada seorang wanita yang enggan berterima kasih kepada suaminya sedangkan dia memerlukan suaminya” Riwayat al-Nasa’ie (9086) dan al-Baihaqi (7/294) Di dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegur wanita yang tidak berterima kasih kepada suaminya. 

Ada juga sebilangan isteri yang suka post di media sosial tentang bagaimana duit isteri itu milik dia dan tak boleh dikongsi-kongsi keluarga walaupun dalam keadaan suaminya sedang mengalami krisis ekonomi. Walaupun sekadar berkongsi artikel atau menulis dalam nada bergurau, ia tidak sihat untuk perkahwinan. Walaupun begitu, perlu diingat bahawa apabila isteri bekerja, tanggungjawab nafkah suami kepada isteri itu masih sama dan tidak berkurangan. Namun, isteri janganlah sombong diri dan bongkak hanya kerana mempunyai pendapatan yang baik.

Ketika pasangan menganggap duit atau harta lebih berharga daripada pasangan dan perkahwinan itu sendiri, natijahnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Oleh itu, sentiasalah mempertimbangkan keadaan dan perasaan pasangan apabila berbicara.

Sembunyikan Hutang atau Pembelian

Jangan buat-buat tidak peka, ramai sahaja yang melakukannya. Perkara ini sering terjadi dan semakin berleluasa di masa kini kerana wujudnya pembelian di atas talian. Hanya lengkapkan satu dua langkah, esok lusa barang sampai ke pejabat. Pasangan tidak perlu tahu berapa duit yang telah dibelanjakan atau apakah benda yang telah dibeli; yang penting nafsu berbelanja dapat dipuaskan. Sikap berbelanja kurang berhemah ini akan menyebabkan ekonomi keluarga terbeban walaupun pasangan tidak mengetahuinya kerana akhirnya baki akaun akan menyusut atau beban hutang semakin bertambah jika tidak berhati-hati menguruskan kewangan. Sifat boros tidak disukai oleh Islam sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ (26-27) yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Berhati-hati dengan ketagihan pembelian di atas talian

Tidak Berbincang Sebelum Membeli

“Sayang.. abang dah beli PS5!! Yes!!,” gembiranya suami menyampaikan berita sedangkan berita ini membuat isteri berduka kerana bukan sahaja duit telah dibelanjakan tetapi duit tersebut perlu digunakan untuk tujuan yang lebih penting seperti cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan, tuisyen anak yang akan sampai di hujung bulan yang sama. “Abang, cantikkan sofa baru kita,” isteri teruja ketika memberi kejutan kepada suami yang memang terkejut sampai biru mukanya sebab dia tahu mereka belum mampu untuk membeli sofa bernilai RM5 ribu itu. Atau encik suami membeli tiket kapalterbang ke luar negara, dan kemudiannya meminta isteri menyediakan duit hotel dan belanja ketika di sana tanpa persetujuan awal isterinya. Yang pasti, semua perkara akan menjadi lebih baik dan teratur perbincangan dilakukan sebelum membuat apa-apa perbelanjaan besar. 

Tidak Endah Perihal Butiran

Pasangan perlu tahu ke mana duit mereka pergi kerana dengan mengetahui fakta ini, duit boleh diurus dengan lebih teratur dan bermanfaat. Tiba-tiba bajet sudah kurang walaupun masih berada di minggu ketiga dan seluruh keluarga diminta betul-betul berjimat di minggu terakhir kerana bajet seluruh bulan telah digunakan dengan banyak di minggu pertama dan kedua. Nak makan steak mahal, jom! Nak pergi bercuti di resort best di Port Dickson, jom! Kawan-kawan minta belanja, jom! Akhirnya duit berkurangan tanpa kita tahu ke mana duit kita melayang, dan akhirnya keluarga kita juga yang akan menderita. Lebih parah apabila terpaksa berhutang sementara menunggu gaji seterusnya.

Terlalu Mengawal Pengaliran Wang

Boros itu ternyata tidak baik tetapi terlalu mengawal penggunaan duit juga tidak sihat. Pasangan yang terlalu mengawal duit sampaikan tidak ada ruang untuk menikmati pendapatan yang dicari pasti merimaskan. “Nak beli baju sampai RM50? Dah, tak payah. Cari yang bawah RM50 sudah.” “Tak perlulah minum kopi mahal ni, saya buatkan kopi di rumah sahaja.” Ada juga isteri yang hanya beri suami duit poket tetap RM15 sehari ke tempat kerja atas alasan takut suami boros. Kedekut juga ada kesannya! Setiap insan yang bekerja itu ingin menikmati hasil pendapatannya tetapi jangan berlebihan. Jangan berlebih belanja, jangan terlebih kedekut. 

Menggunakan Duit untuk Menyakiti Pasangan

“Amboi, dahlah pokai… lagi nak keluar makan dengan kawan-kawan.” isteri memerli suami, “Kalau bukan guna duit saya, takkan kita senang macam ni, “ suami pula menyakitkan hati isteri. Menggunakan hal duit untuk menyakitkan hati pasangan adalah perbuatan keji. Adalah menjadi tugas suami untuk memberi nafkah makan dan pakai kepada isteri dan keluarga, namun jika isteri reda menggunakan duit sendiri untuk menambah pendapatan keluarga juga tiada masalahnya. Alangkah elok kalau berbincang agar masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan apabila duit telah dibelanjakan untuk sesuatu perkara, elakkan mengungkit yang menyakitkan hati. 

Kerana mulut hati binasa

Tidak Memahami Perspektif Pasangan Tentang Pengurusan Duit 

Mereka yang pernah mengalami kesusahan hidup dari kecil akan lebih cermat membelanjakan wang mereka agar tidak merana lagi seperti dahulu. Ada juga yang memang dilahirkan siap dengan sudu perak tersedia di mulut dan merasakan nilai RM1000 itu seperti RM10 sahaja dan berbelanja tanpa berkira-kira. Ada juga yang sudah tidak mahu bersusah lagi dalam hidup dan berbelanja sesuka hati dengan pendapatan tinggi yang diterima hari ini tanpa memikirkan masa depannya. Dengan mengenali dan memahami sudut pandangan masing-masing berkaitan duit, anda dan pasangan boleh berbincang dan akan lebih cakna menguruskan kewangan keluarga. 

Berbincang Tentang Duit Ketika Suasana Tegang 

Sila periksa keadaan hati masing-masing sebelum ingin memulakan perbincangan mengenai duit. Elakkan berbincang ketika hati tengah panas kerana tentunya seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak. Masalah kekurangan duit boleh bertukar hinaan ketika hati sedang panas. “Dahla tak hensem, pokai pulak!,” tentu sekali terbakar hati suami mendengarnya dan tentu sekali perbincangan akan bertukar menjadi pertengkaran. “You tak habis-habis beli makeup, minggu ni je dah seribu! Muka macam tu je lagi!, “ dan pertengkaran akan hangat kalau masing-masing mempunyai banyak peluru untuk digunakan. 

Segala masalah boleh diselesaikan dengan perbincangan yang matang dan perancangan yang baik, insya Allah

Secara ringkasnya, pasangan perlu bersama-sama menetapkan peraturan dan sempadan apabila berurusan dengan kewangan keluarga, contohnya jangan berbelanja lebih daripada satu jumlah untuk diri sendiri sebulan. Untuk pembelian lebih daripada jumlah yang ditetapkan, persetujuan pasangan diperlukan. Buat tabung-tabung yang perlu diisi untuk pelbagai tujuan seperti bercuti, insuran, pendidikan anak-anak, rumah baharu, bantuan ibu bapa dan sebagainya. Kedua-dua pasangan perlu jelas dengan tanggungjawab masing-masing dan ajar diri sedaya upaya untuk mengikut peraturan supaya keharmonian keluarga dapat dikekalkan. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian juga akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang imam bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hadis ini mengingatkan setiap setiap ahli keluarga, pemimpin dalam rumah tangga iaitu suami dan ayah perlu memainkan peranan membawa rumah tangga meraih keredaan Allah SWT.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: