Bulan Muharram termasuk di dalam bulan yang dimuliakan Allah SWT berbanding bulan yang lain seperti yang dijelaskan di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah sebanyak dua belas bulan, seperti yang ditetapkan pada hari Dia menciptakan langit-langit dan juga bumi. Antaranya adalah empat bulan haram. Yang demikian itu adalah agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalam bulan-bulan tersebut (bulan haram).” Surah Al-Taubah (36)
Dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya masa itu beredar seperti keadaan asalnya pada hari Allah menciptakan langit-langit dan juga bumi. Setahun itu ada dua belas bulan, dan ada empat bulan-bulan haram. Tiga yang berturut-turut, iaitu Zul Qa’dah, Zulhijjah, dan Muharram, serta bulan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada (al-Akhir) dan juga Sya’ban.” Riwayat Al-Bukhari (184).
Hadis ini menjelaskan tentang bulan yang empat tersebut iaitu Muharram, Rejab, Zulqa’dah dan Zulhijjah. agar umat Islam dapat mencari keberkatan ibadah di dalamnya.
Di dalam bulan Muharram, terdapat satu hari yang begitu banyak fadhilatnya iaitu dikenali sebagai Hari ‘Asyura, yang bermaksud hari kesepuluh. Berikut merupakan kelebihan dan peristiwa istimewa di Hari ‘Asyura.
Hari yang Penuh Fadhilat
Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata yang maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura” – Riwayat al-Bukhari (2006)
Lantas, umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura di samping melakukan pelbagai ibadah yang disarankan pada bulan Muharram untuk memperolehi kelebihan dan manfaatnya.
Hari Nabi Musa AS Diselamatkan Manakala Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan.
Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata yang maksudnya: Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut. – Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)
Diampunkan Dosa Setahun Yang Lalu
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” Riwayat Muslim (1162)
Hari Diterimanya Taubat Adam AS
Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata : Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura. [Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]
Marilah kita sama-sama meraikan hari istimewa ini dengan berpuasa dan memanjat sepenuh-penuh kesyukuran ke atas nikmat pemberian Allah SWT yang telah kita kecapi, dan berazamlah untuk menjadi muslimin yang bertaqwa kepada Allah yang Maha Esa dan taat kepada pesanan Rasulullah SAW.
Hari ‘Asyura tahun 2022 ini akan jatuh pada hari Isnin 8 Ogos 2022. Untuk berbeza dengan cara kaum Yahudi yang juga berpuasa pada Hari ‘Asyura, umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelum (9 Muharram) yang diberi nama Hari Tasu’a pada 7 Ogos 2022 dan selepasnya 11 Muharram bersamaan 9 Ogos 2022.
Antara puasa sunat yang sangat digalakkan juga ialah Puasa Sunat Ayyamul Bidh pada 13-15 Muharram, tiga hari di tengah bulan Islam Hijriyyah. 3 hari ini akan jatuh pada 11-13 Ogos 2022. Semoga dipermudahkan oleh-Nya. Insya Allah.
Sumber:
Benarkah Pahala dan Dosa Diberatkan Dalam Bulan-Bulan Haram
10 Muharram Kelebihan dan Faktanya
Leave a Reply