
Bagi mereka yang tidak biasa dengan makanan Indonesia, Makanan Padang atau Masakan Minang ialah masakan masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat. Makanan Padang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia kerana masakan begini memang kena dengan selera orang kita tidak kira bangsa apa. Ada cili, ada santan, ada nasi, siapa yang tidak suka.
Restoran Masakan Padang Asli Kampung Baru yang terletak betul-betul di tengah bandar Kuala Lumpur berlatarbelakangkan bangunan KLCC memang menjadi tumpuan warga kotaraya selama bertahun-tahun lamanya.

Restoran ini menawarkan beraneka lauk-pauk dan di antara yang menjadi kegemaran ramai ialah gulai tunjang (beef tendon), paru goreng, sambal tempe, gulai nangka muda, pucuk ubi rebus, ikan keli belado, taugeh goreng dan berpuluh hidangan lagi.

Gulai tunjang di sini lembut dan sedap betul bila diadun dengan sambal ijo, paru goreng dan ulam-ulam segar, isteri kalau melintas di depan pun mungkin tidak perasan. Paru goreng restoran ini garing di luar lembut di dalam, begitu asyik menikmatinya. Walaupun hidangan masakan Padang ini banyak yang berasaskan cili, tahap kepedasannya dalam skala 10, hanya sekitar 3 atau 4 kerana masakan di sini lebih menggunakan cili hidup berbanding cili padi atau cili kering kisar.

Kerana kedudukan restoran ini di tengah-tengah Kampung Baru, tempat meletak kereta adalah terhad terutama ketika makan tengahari. Mereka yang tidak pandai side parking, mungkin akan berdepan cabaran. Tempat kereta persendirian ada disediakan dengan harga sekitar RM4 sekali masuk.
Harga makan untuk dua orang dengan lauk yang kami ambil ialah sekitar RM20 seorang, siap air sirap ais. Anda boleh ambil lauk asing-asing dalam piring kecil atau campur semua dalam pinggan nasi, terpulang.
Masakan Padang Asli Kampung Baru
53, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru,
50300 Kuala Lumpur
Buka 10pagi – 8 malam (Sabtu tutup)
Gambar: mymuslimin
Leave a Reply