Oleh: mymuslimin.com
Salam adalah perbuatan yang sangat dituntut oleh Islam. Salam yang dimaksudkan ini bukanlah berjabat tangan yang sering dilakukan oleh orang kita, tetapi mengucapkan السلام عليكم yang membawa maksud “selamat sejahtera ke atas kamu semua” tatkala berjumpa dengan muslimin yang lain.
Ketika Covid-19 masih lagi menular, lebih baik kita elakkan daripada berjabat tangan lebih-lebih lagi jika kesihatan kita tidak begitu baik. Namun, Covid atau tidak, mengucap Salam kepada sesama muslimin jangan ditinggalkan dalam apa jua keadaan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 61 yang bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”
Sebagai seorang Islam, apabila kita memasuki sebuah rumah yang berpenghuni ataupun kosong, maka ucapkanlah السلام عليكم ورحمة الله وبركاته atau السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين jika rumah itu tidak ada siapa-siapa di dalamnya.

Hukum memberi salam adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan, dan menjawabnya ialah wajib fardhu ain jika salam itu ditujukan kepada individu, dan jika ditujukan kepada kumpulan ia menjadi fardhu kifayah apabila ianya telah dijawab oleh salah seorang daripada kumpulan tersebut, menurut tulisan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang bab Salam ini.
Dan apabila salam telah diberi, kita perlu menjawab dengan yang sama atau yang lebih baik daripada yang diberikan kepada kita. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran pada Surah an-Nisa ayat 86 yang maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
Jadi apabila seseorang mengucapkan السلام عليكم, jawablah dengan السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Salam ini adalah ikrar kita untuk tidak menyakiti muslimin yang lain dengan perbuatan dan kata-kata kita.
Jika kita disampaikan salam daripada orang yang jauh melalui orang lain ataupun surat, adalah wajib kita menjawab salam itu dengan segera, menurut Imam Nawawi. Lantas, bila seseorang menerima pesanan salam melalui WhatsApp atau apa-apa medium komunikasi masa kini, hendaklah dia menjawabnya dengan kadar segera kerana hukum pada penulisan sama kedudukannya dengan pertuturan.
Marilah kita sama-sama mengucap Salam dalam menghidupkan ukhuwah sesama muslimin dan berlumba-lumbalah kita untuk menjadi insan yang memberi salam.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya manusia paling utama di sisi Allah adalah orang yang memulai salam atas mereka.” (HR. Abu Daud).
Sumber: Hukum Menjawab Salam Bertulis
Leave a Reply