Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Teguhkanlah ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan perkara yang makruf serta meninggalkan perkara yang mungkar. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati hidup kita di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk:
“Pemuda Pewaris Agama, Nusa Dan Bangsa”.
Sidang Jemaah yang berbahagia, bulan Ogos pastinya menerbitkan rasa syukur dan gembira dalam hati setiap rakyat Malaysia apabila mengenangkan sejarah negara mencapai kemerdekaan.
Sejarah perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan Tanah Melayu menjadi peristiwa imbasan yang dimainkan di pelbagai saluran media. Inilah masa yang tepat untuk memutikkan semangat cintakan tanah air kepada generasi pemuda hari ini.
Sesungguhnya Allah SWT yang telah memberi pertolongan kepada kita agar mencapai kemenangan dalam perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Yakinlah, bantuan Allah SWT sentiasa ada bersama-sama hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 yang dibacakan tadi yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”
Kepada para pemuda, mereka perlu memiliki semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara. Mereka perlu sedar, di bumi merdeka inilah mereka menikmati kehidupan yang aman daripada kekacauan, bahkan jauh daripada kancah peperangan. Perlu kita sedari, bukan sedikit darah yang tumpah dan nyawa yang terkorban. Kini, menjadi tanggungjawab para pemuda pula untuk menyambung legasi kepimpinan hari ini dengan memastikan keamanan negara ini dapat dipelihara pada setiap masa.
Justeru, mereka harus dipersiapkan dan dididik dengan keupayaan memimpin berteraskan sifat al-qawiyy al-amin iaitu kuat dan berintegriti. Libatkan mereka di dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawan dan badan berorganisasi yang berupaya mengasah potensi dan keupayaan mereka dalam menjadi seorang pemimpin.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kehidupan sebagai seorang pemuda sebenarnya penuh dengan pelbagai ujian terutama runtunan keseronokan hawa nafsu yang sentiasa mempengaruhi fikiran dan menggoyahkan iman. Pelbagai anasir negatif yang berada di sekeliling mereka juga turut menjadi penyebab yang boleh menjerumuskan mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan akidah dan akhlak Islam.
Di sinilah peranan ibu bapa, guru dan para pemimpin untuk menjadi pembimbing mereka melalui pemantapan ilmu dan pembinaan jati diri dan identiti sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah SWT serta warganegara yang memiliki jati diri yang mulia.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “Ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT di hari akhirat, antaranya: Bermaksud : “Seorang pemuda yang hidup dalam ibadah (ketaatan) kepada Tuhannya.” Perkembangan ilmu para pemuda harus lebih tinggi dan ke hadapan daripada perkembangan dunia teknologi hari ini.
Mereka mesti berani bergerak ke hadapan dengan menceburi pelbagai bidang penting negara seperti industri pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan berteknologi tinggi, komputer, komunikasi, pengangkutan, seni bina, sains, teknologi dan lain-lain tanpa mengabaikan ilmu akidah, fiqh, ilmu hadis, ilmu tafsir, akhlak dan tasawuf yang menjadi teras pembinaan jati diri muslim yang kuat. Sewajarnya kita perlu rasa gusar dan risau dengan pendirian sesetengah anak muda yang sudah hilang minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Marilah kita berusaha untuk menyedarkan mereka bahawa tanpa ilmu bagaimana mereka berdaya untuk membawa negara ke mercu kejayaan pada masa hadapan. Para pemuda juga perlu menambahkan kemahiran mereka. Kemahiran dan kepakaran ini mesti dimiliki oleh mereka di segenap lapangan usaha dan kegiatan. Tanpa kemahiran ini mereka sudah tentu tidak akan dapat menjalankan apa-apa tugasan dan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.
Usahlah mudah berpuas hati dengan pencapaian dan pekerjaan yang diceburi pada masa ini sebaliknya binalah semangat untuk terus berusaha meningkatkan lagi pencapaian diri terutama dengan menguasai ilmu pengurusan dan ekonomi supaya suatu hari nanti mereka dapat menjadi aset penting negara yang dapat menceburi pelbagai bidang dalam sektor awam dan swasta.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu ujian besar kepada pemuda-pemudi negara. Mereka juga memikul amanah untuk terus melestarikannya pada masa akan datang. Jika kita semua memahami peranan untuk dilaksanakan bagi melahirkan generasi pewaris negara yang benar-benar hebat, khatib yakin dan percaya merekalah yang akan meninggikan syiar Islam, memartabatkan bangsa dan memacu negara menuju kecemerlangan dan kemajuan.
Marilah kita merenung kata-kata yang pernah diungkapkan mengenai pemuda oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi : “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Para pemuda perlu memiliki semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara. Persiapkan dan didiklah mereka dengan keupayaan memimpin berteraskan sifat al-qawiyy al-amin iaitu kuat dan berintegriti.
Kedua: Ibu bapa, guru dan para pemimpin mestilah menjadi pembimbing para pemuda melalui pemantapan ilmu dan pembinaan identiti sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah SWT serta warganegara yang memiliki jati diri yang mulia.
Ketiga: Ilmu dan kemahiran sangat penting dalam kehidupan. Bangkitkan kesedaran para pemuda bahawa tanpa ilmu dan kemahiran, mereka pasti tidak berdaya untuk membawa negara ke mercu kejayaan pada masa hadapan.
Marilah bersama kita renungkan Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 10 yang maksudnya: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Tarikh Dibaca: 7 Muharram 1444H/ 5 Ogos 2022M
Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Gambar: Masjid Putra, Putrajaya
Leave a Reply