Sifat marah ialah sifat semulajadi yang ada pada setiap manusia. Bukan semua orang mempunyai tahap sabar yang sama. Jika marah tidak dibendung di dalam diri, ia akan mengakibatkan banyak masalah lain di dalam kehidupan seseorang.
Banyak teknik bersabar yang boleh digunapakai dan Islam menganjurkan 4 cara ini mengikut sunnah Rasulullah SAW.
4 Nasihat Rasulullah SAW dalam Mengawal Kemarahan
1. Duduk jika sedang berdiri, baring jika sedang duduk.
“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” Sunan Abi Daud (4782)
2. Mengambil Wudhu
“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.” Sunan Abi Daud (4784)
3. Jangan Membuat Sebarang Keputusan Besar
“Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.” Sahih Muslim (1717)
4. Diam
“Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.” Al-Adab al-Mufrad (245)
Menahan Marah itu Ternyata Lebih Baik
Allah SWT di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 134 menyenaraikan sifat-sifat orang yang bertaqwa yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.” Surah Ali ‘Imran (134)
Sebagai insan yang sudah matang dan dewasa, kita perlu peka kepada diri dan perasaan kita. Maksudnya, kita perlu tahu apa yang akan mencetuskan kemarahan, dan apakah yang menyebabkan hati kita sejuk segera. Mereka yang Cerdas Emosi bijak mengawal kerana mereka mengenali diri dan reaksi mereka kepada situasi. Berusahalah untuk mengenali diri kita sendiri, dan mengawal diri untuk keharmonian diri dan mereka di sekeliling kita. Insya Allah.
Leave a Reply