Dubai bukanlah ibu negara Emiriah Arab Bersatu tetapi bandar ini cukup popular sebagai destinasi percutian pelancong Asia, Eropah, Afrika dan Amerika. Bandar ini juga terkenal sebagai pusat perdagangan di Timur Tengah. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai mengambil masa lebih kurang 7 jam dan beza masa di antara Malaysia dan Dubai ialah 4 jam ke belakang waktu Malaysia, 6 pagi di Malaysia bersamaan 2 pagi di Dubai. Matawang Dubai ialah Emirates Dirham (AED) yang bernilai RM1.25 setiap 1AED.
Dubai mempunyai musim panas dan musim sejuk di mana musim panasnya ialah di sekitar bulan April hingga Ogos, di mana kepanasan boleh memuncak sehingga 50°C. Tempoh paling selesa untuk melawat Dubai ialah di antara Disember hingga Februari yang bersuhu di sekitar 14°C sehingga 20°C.
Memandangkan ramai yang sudah memperbaharui pasport untuk mula mengembara, mymuslimin mencadangkan Dubai sebagai destinasi percutian.
6 perkara yang boleh anda lakukan di Dubai.
1. Safari Padang Pasir
Safari padang pasir menawarkan kelainan yang mengujakan. Bayaran untuk menyertai safari ini ialah sekitar AED150 sehingga AED300 seorang bergantung kepada syarikat dan pakej yang dipilih. Kenderaan pacuan empat roda akan menjemput tetamu di hotel dan kemudian membawa mereka terus ke padang pasir untuk mengalami pengembaraan menelusuri padang pasir yang berbukit bukau dengan aksi-aksi lasak yang membuatkan penumpang sama ada teruja atau pening kepala. Pemandu akan membuang sedikit angin daripada tayar bagi memudahkan pengendalian kenderaan ketika di padang pasir. Sila pakai tali pinggang keledar dan pegang palang di atas kepala kerana pemanduan ini tidak seperti menaiki kereta biasa. Selepas lebih kurang 30 minit mengalami pemanduan lasak, tetamu akan dibawa ke kem di tengah-tengah padang pasir untuk aktiviti seterusnya.

Kem-kem safari ini selalunya menyediakan aktiviti seperti menaiki unta, melihat pertunjukan burung helang, memakai pakaian orang Arab untuk bergambar dan mencuba henna atau lukisan inai di tangan. Untuk mereka yang pertama kali menaiki unta, hati-hati ketika turun dari unta. Naiknya mudah tetapi ketika turun sila pegang kuat-kuat! Sesiapa yang menyukai aktiviti lasak lain, anda bolehlah menyewa ATV yang disediakan untuk merasai pemanduannya di padang pasir.

Makan malam juga tersedia di dalam pakej-pakej ini dengan hidangan termasuk kebab, shawarma, salad Arab, baba ganoush, roti Arab dan sebagainya. Dan apabila malam menjelma, tetamu akan dihidangkan dengan tarian pusing “whirling dervish” yang pastinya memukau di bawah langit Dubai yang agak dingin di malam hari.
2. Bot dan Muzium
Di Dubai segalanya mahal, terutama makanan. Jika anda mahu menikmati bandar ini dengan berjimat, anda boleh memilih untuk menaiki Metro ke bandar Deira dan kemudiannya merentasi sungai Dubai (Dubai Creek) dengan bot kayu. Tiket bot untuk perjalanan satu hala hanya berharga AED1. Cantik juga permandangan Dubai dari sungai ini. Dubai Muzium yang terletak di Bur Dubai juga boleh anda lawati dengan harga AED3 untuk tiket masuk. Muzium ini menarik dilawati untuk anda mengenali sejarah Dubai dan bagaimana bandar kecil ini dibangunkan untuk menjadi begitu gah seperti yang kita lihat sekarang. Makanan-makanan di sekitar bandar Deira juga sedikit murah berbanding di pusat membeli-belah lain di Dubai.
3. Bandar Dubai Lama
Deira merupakan kawasan Dubai Lama yang terdapat di dalamnya pasar rempah dan pasar emas yang popular, juga dikenali sebagai Spice Souk dan Gold Souk. Tempat ini lebih menyerlahkan pengalaman Timur Tengah dengan tawaran pelbagai jenis rempah ratus, kekacang, wangian, bunga-bunga dan sebagainya. Janganlah malu bertanya tentang kegunaan rempah ratus yang dijual sebelum membelinya. Pekedai di sini pun sudah biasa dengan pengunjung dari Malaysia. Gold Souk atau Pasar Emas berdekatan sahaja dengan Pasar Rempah dan di sini anda boleh jumpa emas pelbagai rupa. Nak sekilo, dua kilo, berapa kilo, semua pun ada. Baju diperbuat daripada emas juga dipamerkan. Andai tiada bajet untuk membeli emas, ambil saja gambar-gambar menarik sebagai kenangan.


4. Burj Khalifa
Burj Khalifa adalah bangunan tertinggi di dunia setakat ini dengan berketinggian 828m. Mudah sahaja untuk ke Burj Khalifa, anda hanya perlu pergi ke Dubai Mall, ikut tanda ke Dubai Fountain dan anda boleh tatap bangunan ini sepuasnya. Jika ingin naik ke ke tingkat 124-125 menara ini, harganya dalam lingkungan AED124-AED234 dan jika nak ke tingkat 125, 124 dan 148, harga tiket pun meningkat daripada AED389 ke AED543. Pemandangan dari atas Burj Khalifa tentunya cantik sekali. Tetapi untuk yang tidak berhajat untuk naik ke atas, saksikan pertunjukan air pancut berhadapan dengan Burj Khalifa yang bermula pada pukul 9 malam dan diulang setiap setengah jam dengan lagu yang berlainan.

5. Membeli-belah
Dubai memang terkenal sebagai syurga membeli-belah bagi yang mempunyai poket besar dan kalau diteliti nama bandar ini sendiri pun sudah jelas maknanya, Do-Buy. Dubai Mall bersaiz 50 padang bola dan menawarkan barangan mewah dan berjenama kepada pengunjungnya. Pusat membeli belah lain dengan harga berpatutan termasuklah Al Ghurair di Deira, Mall of the Emirates yang menempatkan tempat Dubai Ski, Burjuman di Bur Dubai, Ibn Battuta Mall yang berada di hujung laluan Metro dan kalau rajin lagi boleh menjenguk ke Global Village yang cukup besar untuk berbelanja. Untuk membeli abaya atau jubah kepada kaum suri, Naif Souk di Deira mempunyai pelbagai pilihan. Nak berbelanja di Dubai, periksa tarikh DSF (Dubai Shopping Festival) untuk mendapat pelbagai potongan hebat.

6. Taman Quran
Taman Quran Park atau Dubai’s Quranic Park menawarkan wawasan yang indah tentang Al-Quran, untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai Islam kedamaian, kasih sayang dan toleransi yang disarankan Al-Quran. Terdapat banyak ciri-ciri menarik yang dibina di sekitar taman seluas 64 hektar ini. Temui tumbuhan berbeza yang disebut dalam kitab suci, nikmati pemandangan hijau yang subur, termasuk taman Islam, taman padang pasir dan kawasan khas yang didedikasikan untuk Andalusia di Sepanyol. Anda juga boleh mengalami pengalaman berjalan di tengah-tengah air, umpama Nabi Musa menyeberangi Laut Merah ketika dikejar Fir’aun. Terdapat juga ‘gua-gua’ yang dibina dengan pelbagai bentuk media untuk bercerita tentang kisah yang terdapat di dalam Al-Quran. Dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 9 malam tanpa bayaran masuk, taman ini terletak di kawasan Al-Khawaneej, lebih kurang 30 minit daripada Dubai Mall.

Dubai sentiasa menaiktaraf dirinya untuk menjadi relevan sebagai destinasi pelancongan di Timur Tengah. Banyak lagi tempat-tempat menarik yang terdapat di bandar ini seperti Dubai Frame, Museum of the Future, Dubai Miracle Garden, Dubai Marina dan banyak lagi. Dan jarak Dubai dari Abu Dhabi hanyalah 1 jam 20 minit jika anda ingin menyambung percutian ke sana selepas menerokai bandar Dubai.
Leave a Reply