Nak tahu dah sampai ke Watie Corner atau pun tidak, kedai ini terletak betul-betul di sudut jalan. Hanya mempunyai satu laluan masuk, Watie Corner mempunyai kurang daripada 20 meja yang tersedia untuk pelanggan. Restoran Watie Corner ini bertempat di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dan ia menawarkan masakan yang dimasak panas-panas dan dihidangkan di atas pinggan tradisional untuk pelanggan merasai suasana makan di kampung pada zaman dahulu kala.

Menu di Watie Corner agak ringkas. Ia menyediakan masakan masak lemak cili padi, asam pedas, masak kicap dan goreng kunyit, dan pelanggan hanya perlu memilih jenis protein untuk masakan yang dipilih. Pilihan proteinnya ialah ikan, ayam, daging, udang dan sotong. Semasa kami di sana lebih kurang pukul 12 tengahari, ikan sudah tinggal kepala sahaja.

Lebih berbaloi kalau mengambil hidangan set kerana set datang dengan nasi, lauk yang dipilih dan ulam yang disertakan dengan ikan masin dan sambal belacan. Satu set hanya berharga RM10. Kami telah mengambil satu lauk tambahan, sotong masak kunyit yang berharga RM8 sepiring. Teh ais dan Teh O, masing-masing berharga hanya RM1.




Hidangan yang disajikan di Watie Corner ini memang masakan kampung biasa-biasa belah Selatan yang dimasak secukup rasa dengan harga berpatutan. Jangan dikira berapa ketul daging yang ada dalam asam pedas itu, pasti cukup dimakan oleh seorang. Ulam, sambal belacan dan ikan masin ini menambah sedap kepada hidangan.
Kerana ruang di sudut jalan ini agak terhad, meja yang disediakan juga terhad. Jadi, jika restoran penuh, pelanggan kena menunggu di luar pintu sebelum mendapat giliran.
Proses pembayaran di Watie Corner juga tradisional seperti koleksi pinggan mangkuknya. Tukang kira mencongak jumlah bayaran tanpa bantuan kalkulator, dan semua transaksi di sini ialah tunai. Tiada e-dompet atau kad diterima.
Watie Corner
Jalan Nilai Santalia, Taman Desa Jasmin,
71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan
Buka 1130 pagi hingga 2 petang
Tutup Ahad
Leave a Reply