Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan setiap perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita akan sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk:
“Semarakkan Cinta Negara”.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Cinta kepada negara adalah tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas anugerah tanah watan ini kepada kita.
Negara yang aman dan makmur merupakan suatu nikmat yang sangat besar dan tidak ternilai harganya. Negara adalah amanah yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya. Sesungguhnya, keamanan yang dikecapi dan keselesaan yang kita nikmati, semuanya adalah kurniaan daripada Allah SWT atas sifat ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raaf, ayat 58 yang dibacakan tadi membawa maksud: “Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.”
Negara Madinah dan para penduduknya adalah model unggul yang perlu kita teladani dalam memupuk kecintaan terhadap tanah air. Bermula dengan semangat persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar sehinggalah termeterainya Piagam Madinah menjadi asas penting kepada keharmonian dan kemakmuran negara biarpun dihuni dengan pelbagai bangsa dan keturunan. Sesungguhnya perpaduan sangat penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat dan negara dapat diteruskan oleh sesebuah pemerintahan.
Justeru, usaha-usaha mengukuhkan pembinaan negara sejahtera melalui wadah kebersamaan Keluarga Malaysia adalah sangat tepat untuk dipergiatkan dalam persekitaran yang sangat mencabar, apatah lagi ketika kita menghadapi keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil. Perpaduan yang dihayati, dan keakraban yang kukuh dalam jiwa setiap lapisan masyarakat, tentunya menjadi semarak harapan buat negara untuk terus bergerak menuju kecemerlangan di masa hadapan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sungguh Rasulullah SAW telah membuktikan betapa tingginya rasa kecintaan Baginda kepada negara (Makkah dan Madinah). Antaranya, Baginda SAW akan bersegera untuk pulang ke Madinah setelah selesai melakukan tugasan di luar sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata yang bermaksud: “Ketika Rasulullah SAW pulang daripada permusafiran dan Baginda telah terlihat dataran-dataran tinggi Madinah, Baginda akan mempercepatkan untanya, dan jika Baginda menunggang haiwan lain, Baginda memecutnya (kerana kecintaan kepada Madinah).”
Tiadalah kerinduan, kegembiraan dan kebahagiaan yang dapat dikecapi seseorang melainkan merasa aman dan harmoni dalam tanah air yang dicintai. Kelangsungan kemakmuran negara terletak pada kesungguhan dan kecintaan kita berusaha membangun dan mensejahterakan kehidupan yang berpandukan syariat. Sebaliknya, jika kita gemar melakukan kerosakan dengan melanggar perintah dan undang-undang, ia bukan sahaja akan melanggar perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, tetapi pastinya ia akan membawa kerosakan dan kehancuran kepada negara.
Sesungguhnya pengorbanan dan perjuangan wira-wira tanah air terdahulu yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi mencapai kemerdekaan tanah air adalah bukti yang sangat nyata bahawa mereka sangat cintakan tanah air.
Selamilah dan hayatilah sejarah kemerdekaan negara dan hargailah warisan yang telah mereka tinggalkan untuk membina semangat mempertahankan kedaulatan negara dan memutikkan perasaan cintakan tanah air.
Ingatlah bahawa cinta kepada negara mesti disemai melalui kebersamaan seperti perasaan hormat di antara kaum, sumbangan tenaga dan idea serta perkongsian kebahagiaan sesama kita. Sebagai seorang muslim, tiada tujuan lain untuk kita cintakan negara melainkan kerana Allah SWT. Bumi yang kita pijak ini ialah tanah tumpahnya darah kita dan di sinilah perlunya kita memelihara keamanan untuk terus hidup dengan penuh kedamaian. Kita bertanggungjawab untuk menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan.
Ambillah pengajaran sebagaimana saudara-saudara kita di bumi Palestin khususnya di Gaza pada masa ini masih lagi bergelut dengan kehilangan nyawa dan harta benda. Namun, mereka sekali-kali tidak akan tunduk menggadaikan maruah tanah air kepada para penjajah Zionis Israel. Mereka berada di medan juang yang tidak berkesudahan, berjuang menentang penjajah yang sentiasa angkuh cemburukan kedamaian dan ketenteraman mereka. Justeru, semangat inilah yang harus kita teladani dalam mendepani cabaran melestarikan kemakmuran negara. Doakan mereka agar kemakmuran tanah air mereka dapat dikembalikan suatu masa nanti.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Nilai-nilai cintakan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban dan ketaatan kepada Raja dan negara, perlu dipertingkatkan bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air. Dalam hal ini, ibu bapa, pemimpin masyarakat, media massa, institusi pendidikan dan seumpamanya sangat dituntut untuk memainkan peranan dalam memupuk dan mendidik semangat cintakan negara. Sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita yang cintakan negara untuk menghalang unsur negatif yang sedang menyelinap masuk ke dalam pemikiran masyarakat.
Di samping itu, pamerkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian, pemikiran, percakapan dan tindakan bagi membela dan mempertahankan kepentingan negara. Sumbangkan sebarang pendapat dalam apa yang kita rasakan baik dan sihat untuk negara. Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik, yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.
Perpaduan sesama kita pastinya menjadi sumber kekuatan umat Islam. Sungguh menggusarkan sejak kebekangan ini berlaku terlalu banyak pertelingkahan sesama kita di media-media sosial yang menunjukkan bahawa perpaduan sesama kita masih longgar dan belum ampuh. Kadang kala pertelingkahan tersebut berlaku pada perkara yang sangat remeh. Masing-masing mahu menegakkan hujah sehingga tidak berlapang dada dengan pandangan dan nasihat orang lain. Kebiasaan ini kita mesti ubah. Marilah kita bersatu padu tanpa mengira latar belakang dan kedudukan demi memastikan Islam dan umatnya sentiasa dihormati dan disanjungi oleh bangsa dan penganut agama lain bukan sahaja di dalam negara tetapi negara-negara lain.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Semarakkan cinta kepada negara melalui kebersamaan dalam semua aspek kenegaraan seperti perasaan hormat tanpa mengira perbezaan kaum, sumbangan tenaga dan idea serta kongsikan kebahagiaan sesama kita.
Kedua: Kelangsungan kemakmuran negara terletak pada kesungguhan dan kecintaan kita untuk berusaha membangun dan mensejahterakan kehidupan berpandukan syariat.
Ketiga: Pamerkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian, pemikiran, percakapan dan tindakan bagi membela dan mempertahankan kepentingan negara.
Marilah bersama kita renungkan Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 126 yang bermaksud : “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk buruk tempat kembali.”
Tarikh Dibaca: 14 Muharram 1444H/ 12 Ogos 2022M
Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Gambar: Masjid Putra, Putrajaya
Leave a Reply