10 Asas Bahagia

Oleh: mymuslimin.com

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud: “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” 

Daripada ayat di atas, kita dapat simpulkan bahawa bahagia itu bukan dengan adanya wang ringgit yang banyak, harta yang melimpah ruah, serta anak-anak yang banyak dan berjaya.

Bahagia itu apabila kita mempunyai jiwa dan hati yang tenang dengan banyak berbuat kebaikan di dunia ini. Hadis Rasulullah SAW bersabda yang menerangkan hal ini yang maksudnya: “Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.” Riwayat Ahmad (18006)

Di dalam buku nukilan Dr A’id al-Qarni yang bertajuk “Don’t be Sad”, kebahagiaan itu menurut para sahabat adalah sesuatu yang tidak banyak menyibukkan, kehidupan yang sangat sederhana dan rendah daya belinya. Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan adalah ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya. 

Antara 10 Asas Bahagia yang disenaraikan Dr. ‘A’idh al-Qarni untuk dimanfaatkan kita ialah:

Hiduplah untuk hari ini – Hiduplah di hari ini seperti tiadanya hari esok. Ini bukanlah seperti pepatah orang muda “You only live once” atau disingkatkan YOLO itu. Hiduplah seperti kita hanya ada hari ini, membawa maksud melakukan segalanya dengan bersungguh-sungguh kerana takut petang nanti kita sudah tiada nyawa, sudah diangkat oleh Allah yang Maha Esa. 

Dengan pendeknya terasa kehidupan, maka apabila kita beribadat, kita melakukannya secara sungguh-sungguh, apabila bekerja, kerjanya sungguh-sungguh, bila bersedekah, bersedekahnya sungguh-sungguh kerana inilah peluang terakhir untuk mengumpul pahala yang ditawarkan Allah SWT di dunia ini.  

Segerakan taubat dan ibadat umpama hari ini ialah hari terakhir kita bernafas

Daripada Ibnu Umar RA, dia berkata, Rasulullah SAW memegang kedua bahu saya lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang melewati suatu daerah.” Ibnu Umar berkata: “Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu esok pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi hari jangan tunggu sehingga ke petang hari. Gunakanlah kesihatanmu untuk (persediaan) sakitmu, dan kehidupanmu untuk kematianmu.” (Riwayat Bukhari, Hadis ke-40 Matan Arbain An-Nawawiyah)

Usah dikenang dosa dan kesilapan lalu – Terlalu mengingatkan dosa yang telah kita lakukan dan menyalahkan diri sendiri akan membuatkan kita sedih, risau dan tiada bermaya untuk mengharungi kehidupan. Sikap ini juga akan menimbulkan rasa kurang percaya kepada besarnya keampunan Allah SWT. 

Syaitan sentiasa membuat kita merasakan kita tidak layak untuk dimaafkan kerana dosa kita terlalu banyak sedangkan Allah SWT itu Al-Ghaffar dan Al-Ghaffur, Tuhan Yang Maha Pengampun. 

Jangan bersedih dengan dosa yang lama, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi: “Telah berfirman Allah SWT: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (Riwayat Tirmizi)

Jangan terlalu memikirkan dan merancang masa depan – Ini kedengarannya bertentangan dengan sikap orang moden yang sentiasa ingin merancang masa depan yang stabil. Ini juga tidak bermakna umat Islam perlu mengambil perkara sambil lewa atau malas berusaha. Sebaliknya, sebagai seorang Islam, kita perlu berusaha sedaya-upaya, tetapi kita perlu percaya bahawa usaha kita bukanlah penentu kejayaan atau hasil yang akan kita tuai. Setelah berusaha, serahkan kepada Qada’ dan Qadar Allah, bertawakkallah kepada-Nya. 

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 1 yang bermaksud, “Ketetapan Allah pasti datang, maka janganlah kamu meminta agar dipercepat (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan”. 

Daripada Umar bin al-Khattab, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung itu pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)

Jangan menunggu pujian daripada sesiapa – Segala yang kita lakukan di bumi ini perlu diniatkan semata-mata kepada Allah SWT. Tidak perlu menunggu pujian jika telah melakukan perkara yang baik kerana Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar dan setiap perbuatan baik itu akan dicatat. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 40 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.”

Dunia ini penuh dengan kekecewaan, lantas jika kita telah melakukan sesuatu yang baik, janganlah menunggu pujian daripada sesiapa tetapi berharaplah kepada reda Allah. InsyaAllah, hati kita akan bahagia.

Menerima kejadian yang berlaku – Sebagai umat Islam, kita perlu mempercayai bahawa segala yang berlaku mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Qada’ dan Qadar Allah SWT. Tiada apa yang berlaku di dalam dunia ini tanpa pengetahuan, kebenaran dan perancangan Allah SWT. لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ yang bermaksud: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata. Lantas, jangan kita bersedih, marah, berduka cita atas semua yang berlaku. Sebaliknya, kita perlu menerimanya dengan reda dengan penuh kesabaran. 

Bersyukur kepada Allah – Bahagia akan muncul dengan adanya kesyukuran. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 114 yang bermaksud: “Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.”

Perhatikan segala kurniaan Allah SWT yang telah kita nikmati selama kita hidup di dunia ini. Nikmat pancaindera, nikmat perkahwinan, nikmat bekeluarga. Adakah pernah terfikir bagaimana rasanya jika kita tiada lima jari di tangan?

Apabila kita mula berfikir tentang segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita hambaNya, tiada ruang untuk kita merasa tertekan dan tidak bahagia. Sesungguhnya kita ini bertuah menjadi hamba Allah, dan tugas kita hanyalah untuk menyembah Dia. 

Mereka yang bersyukur itu lebih bahagia

Di dalam buku Dr A’id Al-Qarni memberi contoh, seorang pemuda berkaki ayam berkata “Aku akan bersyukur kepada Tuhanku apabila Dia memberikan aku kasut,” dan mereka yang berkasut menangguhkan syukurnya sehingga dia dapat membeli kereta mahal. Kita sebagai manusia sering menggunakan kurnia Allah sebaik sahaja kita mendapatkannya tetapi apabila kita bersyukur, kita sering berhutang dan melambatkannya. Kita meminta pelbagai perkara kepada Allah SWT, tetapi kita tidak menurut perintahNya. 

Setiap kesusahan ada kesenangan – Dunia ini bukanlah syurga. Oleh itu, jangan diharapkan kesempurnaan kerana dunia ini sifatnya penuh dengan kekecewaan dan kepincangan. Namun, firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” Ayat ini menyakinkan manusia agar tidak putus asa dalam hidup, dan dalam bagaimana situasi sukar sekalipun, akan terdapatnya jalan keluar jika kita sentiasa mengingati Allah SWT. Peganglah pada janji Allah SWT dalam kita menelusuri kehidupan agar kita sentiasa tenang dan bahagia.

Jangan marah – Mereka yang bijak mengawal kemarahannya adalah manusia yang kuat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” Riwayat al-Bukhārī (6114). Banyak hadis Rasulullah SAW yang mengesyorkan manusia supaya bersabar kerana bersabar itu menguntungkan semua pihak. 

Hiaskan hidup dengan senyuman

Kisah Rasul-Rasul yang diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran juga penuh dengan sifat kesabaran dalam menghadapi ujian kerana dengan Allah menyayangi mereka yang sabar. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” Kesabaran Nabi Yusuf (as) berkesudahan dengan baginda menjadi Raja Mesir dan ditemukan kembali dengan bapa dan keluarganya. Kesabaran Nabi Ayub (as) menghadapi kesakitan dan kehilangan telah dibalas oleh Allah SWT dengan kesembuhan dan anak yang ramai. Kesabaran Rasullullah SAW dalam menyebarkan Islam telah berjaya menjadikan kita penerima Islam sebagai agama seluruh alam. 

Orang yang bahagia itu pandai mengawal emosi dan cerdas menguruskannya untuk kebaikan diri dan orang sekelilingnya. 

Jangan Kerana Benda yang Remeh Hidup Kita Musnah  – Daripada Abu Hurairah (ra) beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya).” (HR Tirmizi No: 2318) 

Jangan kita sibuk hal orang lain yang tidak akan memberi manfaat kepada diri kita. Elakkan diri daripada menghabiskan berjam-jam sehari melakukan perkara remeh seperti berdebat di media sosial dengan mereka yang tidak dikenali tanpa penghujungnya, atau melihat dan menilai kehidupan orang lain yang tiada kaitan langsung dengan kita. Akhirnya jiwa kita juga yang kacau bilau.  

Sebaliknya, untuk mencari bahagia, sibukkan diri dengan melakukan perkara baik yang akan memanfaatkan kita di dunia dan akhirat. 

Dunia hanyalah persinggahan – Benar-benar faham bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sebelum kita dibawa ke dunia yang kekal selama-lamanya. Di sinilah kita perlu membuat amalan-amalan soleh berdasarkan Al-Quran dan Hadis Rasulullah, dan melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kita ke syurga yang dijanjikan Allah SWT dan mengelakkan neraka yang sangat azab seksaannya.

Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi, insya Allah.

Dalam mencari bahagia, kita perlu tahu tujuan kehidupan kita dan bersungguh-sungguh berusaha mencapainya. Hidup tenang-tenang sahaja dan tidak terkesan dengan gemerlapan dunia.  والله أعلمُ

Don’t Be Sad by Dr A’id al-Qarni

Cara Mencapai Rasa Syukur Kepada Allah

Sifat Kehidupan Dunia

Bahagia: Hakikat dan Cara Kita Meraihnya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: