Dengan berkeluasan hanya 18km persegi, Pulau Pangkor bukanlah sebuah pulau yang besar untuk dijelajahi. Namun, pulau ini sering menjadi tumpuan pengunjung yang ingin merasai suasana bercuti di pulau tanpa perlu berbelanja besar atau mengambil masa yang lama untuk tiba ke destinasi.
Untuk ke Pulau Pangkor, perkhidmatan feri disediakan dengan harga tiket hanya RM20 bagi perjalanan pergi dan balik. Kekerapan feri ialah setiap sejam dan penumpang boleh mengambil feri samada dari jeti di Lumut ataupun di Pulau Marina.
Tiket feri boleh dibeli di jeti dengan menggunakan komputer yang disediakan di kaunter tiket. Masukkan nama dan nombor kad pengenalan sebelum anda diberi nombor giliran untuk membayar dan mengambil tiket feri di kaunter pembayaran.

Mymuslimin.com menyenaraikan 7 aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Pangkor balik hari.
Sewa kenderaan – Perjalanan feri hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja dan setibanya di Pulau Pangkor, ramai pengusaha motosikal dan kereta sewa akan mengerumuni untuk menawarkan perkhidmatan kenderaan sepanjang anda berada di sana. Harga sewa motosikal dalam lingkungan RM15 untuk tempoh 24jam dan sewa kereta pula sekitar RM50-65 sehari. Janganlah mengharapkan kereta sewa berkilat baru, asal boleh bawa pusing pulau, cukuplah! Tiada dokumen yang perlu ditandatangani, bayar sahaja dan kunci di tangan anda! Sekarang, berbekalkan satu peta mudah, mari kita pusing Pulau Pangkor!
Masjid Seribu Doa – Masjid Al-Khairiah atau dikenali sebagai masjid cina ini terletak di Jalan Sungai Pinang Kecil yang jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja dari jeti feri. Masjid ini dibina di kawasan yang rata-ratanya penduduk cina, lantas masjid ini dihias bermotifkan oriental, mengambil merah sebagai warna utama. Apa yang menariknya, setiap sudut yang dilihat di masjid ini terdapat seribu doa yang diambil daripada ayat-ayat suci Al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan juga doa daripada ulama muktabar. Asmaul Husna di tiang masjid ini pula ditulis dalam kaligrafi cina yang ringkas tetapi sangat menarik. Perkarangan masjid dihiasi dengan pelbagai doa, dilengkapi dengan pohon-pohon buluh yang meredupkan suasana. Masjid Al-Khairiah dibuka untuk solat Jumaat pertama kalinya pada tahun 2020.



Kota Belanda – Kota Belanda di Pulau Pangkor ialah peninggalan gedung abad ke-17 yang dibina oleh penjajah Belanda untuk menyimpan biji timah. Gedung ini boleh dilihat dari jalan utama. Menurut sejarahnya, gedung ini pada mulanya dibina menggunakan kayu oleh pihak Belanda, kemudian diperkukuhkan dengan binaan batu-bata. Selepas 20 tahun beroperasi, pada tahun 1690, orang Melayu yang dipimpin oleh Panglima Kulup telah memusnahkan gudang tersebut untuk menghalang Belanda daripada terus memonopoli perniagaan bijih timah. Namun Belanda tidak mahu berundur malah menempatkan lebih kurang 60 askar termasuk 30 orang Eropah untuk mempertahankannya sekitar tahun 1743 ke 1748. Akhirnya pihak Belanda membuat keputusan untuk membina sebuah lagi gedung di Sungai Perak pada tahun 1784 dan meninggalkan gudang ini terbiar begitu sahaja. Jabatan Muzium telah membaikpulih sebahagian daripada gedung ini untuk tujuan pelancongan pada tahun 1973. Kota Belanda ini ialah merupakan satu lokasi yang cantik untuk bergambar sebagai kenangan.





Pantai Cantik -Untuk menikmati pantai cantik hijau kebiruan, carilah Teluk Nipah, Teluk Penyu dan Pasir Bogar. Terdapat tempat-tempat makan berhadapan dengan laut yang boleh dicuba. Jika ingin mencuba aktiviti lasak, jetski atau aktiviti snorkeling di pulau-pulau berhampiran boleh disewa. Jika tidak berhajat untuk berlasak, duduk-duduk bermalasan di tepi pantai ini pun sudah cukup mengujakan kerana keindahan air lautnya yang memukau dan mendamaikan. Tidak perlu bergegas, ambil masa dan nikmati keindahan air laut dan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi pantai di Pulau Pangkor ini.




Masjid Terapung – Satu lagi tempat menarik di Pulau Pangkor ini ialah Masjid Al-Badr atau dikenali sebagai Masjid Seribu Selawat kerana terdapat ukiran ayat-ayat suci al-Quran dan selawat Nabi di keseluruhan dinding masjid dan siling di ruang solat. Masjid yang siap dibina pada awal Januari 2017 ini telah menarik ramai pelancong dan umat Islam untuk mengunjungi dan beribadat di dalamnya. Masjid yang bertemakan warna biru ini memberi suasana yang tenang lagi mendamaikan ditambah lagi apabila ianya dibina terapung di atas air yang membiru.



Produk Hasil Laut – Pembelian ikan bilis mata biru memang menjadi kemestian kepada kaum suri kalau ke sini. Ditawarkan dengan harga yang berpatutan, ramai yang membeli ikan bilis di sini dalam kadar yang banyak. Sotong kering, ikan masin, sate ikan dan bagai-bagai hasil laut lagi boleh dibeli untuk dibawa pulang sebagai stok dapur atau buah tangan.


Kedai Bebas Cukai – Pulau Pangkor merupakan pulau bebas cukai di mana anda boleh membeli pelbagai barangan dengan harga yang murah dan berpatutan. Produk-produk coklat dan manisan, peralatan dapur, pinggan mangkuk, minyak wangi dan sebagainya boleh didapati dengan harga yang lebih murah berbanding di kedai biasa. Tetapi, untuk menikmati harga tanpa cukai ini pengunjung perlu bermalam di Pulau Pangkor sekurang-kurangnya satu malam. Mereka yang balik hari akan dikenakan cukai sebanyak 10% sewaktu anda ingin menaiki feri. Jadi, jika membeli barang di sini dan anda balik hari, tinggalkanlah sedikit wang tunai untuk melangsaikan cukai yang tertunda, kad debit dan kredit juga diterima.



Berdekatan dengan jeti banyak kedai makan dan kedai cenderahati yang boleh dikunjungi untuk membeli-belah sebelum kembali ke tanah besar. Pastikan masa pada tiket anda, dan feri boleh dinaiki setengah jam sebelum masa berlepas.