Kerohanian untuk Dijual di Era Globalisasi

Oleh Mohd Abbas Abdul Razak & Machouche Salah

Ada kalanya, kemodenan dan kerumitannya boleh mendorong orang di dunia moden menjadi gila. Walau pada hakikatnya, mereka yang tinggal di kawasan bandar dikelilingi dengan anugerah sains dan teknologi, ada detik di dalam hidup mereka, di mana mereka berfikir dan merasakan yang kesemua peralatan elektronik yang memenuhi kehidupan mereka adalah tidak bermakna. 

Dalam keadaan tertentu dalam kehidupan, tidak kira sama ada seseorang itu hidup di suasana moden di bandar atau di kawasan pedalaman, mereka mengalami pengalaman insani yang agak serupa. Walaupun dunia luaran keduanya agak berbeza disebabkan jurang ekonomi, dunia dalaman dan dinamiknya lebih kurang sama. Sebagai manusia, ada masanya dalam hidup mereka akan mengalami beban psikologi seperti tekanan, kemarahan, kemurungan, kehilangan dan sebagainya. Apabila adanya sesuatu yang mendidih dan menggelegak di dalam jiwa mereka, manusia akan mencari penyelesaian segera kepada masalah tersebut.  

Tatkala manusia berada di dalam situasi terdesak, jiwa akan mencari Tuhan, falsafah atau teknik kawalan minda untuk membebaskan mereka daripada keadaan yang teruk dan menyedihkan yang mereka alami. Oleh kerana ramai yang tidak mengetahui cara dan kaedah untuk menenangkan hati, minda, dan jiwa sendiri, mereka akan mencari bantuan daripada ahli yang pakar.   

Manusia mendambakan pengisian rohani untuk mengimbangi kehidupan mereka

Guru dan Penyembuh Rohani Palsu 

Melihat ramai yang berada dalam keadaan terdesak telah membuka peluang kepada guru penyembuh rohani palsu, guru agama penipu dan mereka yang seangkatan dengannya untuk mengeksploitasi kelemahan manusia bagi kepentingan masing-masing. Kehadiran guru-guru rohani palsu ini merupakan fenomena sedunia. Dengan mengikuti laporan media, ia akan menyedarkan kita bahawa ianya merupakan fenomena yang wujud dalam semua agama utama dunia.

Bagi kebanyakan orang yang digelar kononnya guru rohani, sama ada wang, kuasa atau seks boleh menjadi faktor motivasi di sebalik ikhtiar mereka untuk mendekati pelanggan atau pengikut mereka. Untuk segelintir, kesemua ini ialah faktor motivasi mereka.

Mencari rohani 

Anehnya, apabila bercerita mengenai jantina, kebanyakan guru-guru palsu ini ialah lelaki. Pada asasnya, guru-guru ini memperkenalkan diri mereka sama ada sebagai perusahaan berseorangan atau sebagai institusi yang mempunyai tenaga kerja yang besar yang mengambil beribu-ribu pengikut dan sukarelawan. Beberapa perusahaan rohani yang besar membuka rangkaian di seluruh dunia dengan banyak pusat di seluruh dunia.

Untuk perusahaan sebegini, penjualan rohani boleh menjadi perniagaan lumayan yang mampu menghasilkan duit dan aset berjuta-juta. Aktiviti utama yang dijalankan oleh individu dan organisasi yang mempromosikan kerohanian terutamanya tertumpu pada salah satu daripada yang berikut; ilmu kerohanian dan pencerahan, menjual azimat untuk menghalau roh jahat, mantera yang mengubah hidup, yoga seumur hidup, teknik meditasi atau menyediakan perkhidmatan eksorsisme bagi mereka yang dirasuk roh jahat.

Teknik-Teknik yang Digunakan Oleh Guru Rohani Palsu

Untuk membuat pelanggan dan pengikut mereka teruja, kebanyakan guru rohani palsu ini menggunakan teknik kawalan minda. Dalam kaedah ini, mereka akan menggunakan slogan dan istilah yang menarik untuk mengekalkan pengikut di bawah kawalan mereka.

Penguasaan subjek seperti agama, falsafah dan psikologi membantu guru-guru rohani palsu ini untuk mencapai matlamat mereka. Dari segi bahasa, mereka menggunakan jargon puitis penuh falsafah. Pendek kata, mereka mengelirukan apa yang jelas dan nyata bagi meyakinkan pengikut mereka bahawa mereka bercakap tentang sesuatu di luar alam biasa kehidupan duniawi ini. 

Pengumpulan Kekayaan

Agak menarik untuk dijelaskan di sini bahawa ramai guru rohani palsu ini mengenakan jumlah bayaran yang besar untuk perkhidmatan mereka. Mereka mengajar teknik kawalan minda, menyampaikan kuliah awam, menghasilkan pembentangan video, menghasilkan rancangan TV, karya sastera, dan sebagainya. 

Melalui semua strategi pemasaran ini, mereka mengumpul berjuta-juta kekayaan. Ramai guru-guru seperti ini memiliki jet peribadi sendiri dan helikopter. Bukan setakat itu, dana yang dikutip sebagai sumbangan daripada pengikut mereka akan disalurkan ke akaun palsu. Dengan kehadiran akaun-akaun tersebut, guru-guru palsu ini akan membeli rumah agam yang cantik bernilai jutaan dolar. 

Bukan semua yang dilihat itu benar 

Semua aktiviti rahsia mereka ini selalunya ditutup daripada pengetahuan jabatan hasil kerajaan, pengetahuan umum dan pengkritik dengan mewujudkan kumpulan orang terpilih. Mereka yang berada di dalam kumpulan ini dipilih sendiri dalam kalangan pengikut yang setia. Berada di dalam kumpulan yang istimewa ini, ahli menikmati pelbagai hadiah, wang dan kesenangan duniawi yang lain.  

Kerohanian di dalam Era Globalisasi 

Globalisasi yang bermula beberapa dekad lalu, tidak menunjukkan tanda-tanda untuk perlahan. Hari demi hari, globalisasi membawakan lebih banyak barang ke dalam hidup manusia. Ianya telah membawa impak yang positif dan negatif kepada kemanusiaan. Sekarang, globalisasi telah meresap ke dalam setiap sektor hidup manusia. 

Pengunaan internet dan media sosial telah mempercepatkan proses globalisasi. Pada masa ini, hampir semua aktiviti manusia dikaitkan dengan globalisasi. Perubatan, farmasi, pendidikan, perniagaan, hiburan, makanan dan minuman, fesyen dan banyak lagi industri berada di bawah pengaruh globalisasi.

Pengambilan konten berada pada tahap tertinggi dengan kehadiran media sosial

Dalam menyaksikan trend globalisasi dalam semua perniagaan, guru rohani palsu mengambil kesempatan daripada situasi itu. Mereka mendekati masyarakat dari semua peringkat; yang kaya dan miskin, daripada yang berpendidikan tinggi kepada yang berpendidikan rendah melalui klip video, risalah, penulisan dan sebagainya yang disiarkan di media sosial. Mereka yang lapar dan dahaga akan Tuhan, yang mencari kerohanian yang lebih tinggi, yang mencari pengalaman yang meninggikan jiwa, yang mencari falsafah hidup yang baru, dan lain-lain, akan menjadi pengikut buta kepada guru rohani tersebut.

Dengan ketaksuban untuk mengalami sedikit kuasa mistik dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan mereka, tanpa banyak soal, pengikut yang sedemikian menyerahkan kecerdasan dan pertimbangan kritis mereka kepada ajaran guru rohani palsu ini.

Guru Rohani Tulen  

Di zaman dahulu, sebelum datangnya kemodenan dan globalisasi, terdapat ramai guru agama yang hebat, penyembuh rohani, ahli mistik, mereka yang bijaksana, dan sebagainya, yang hidup di dunia ini dengan niat suci untuk berkhidmat kepada Tuhan dan kemanusiaan. Malah pada hari ini, nama-nama mereka muncul dalam banyak tradisi dunia.

Personaliti yang hebat ini kami anggap sebagai “Permata Kemanusiaan”, diingati dengan cara yang istimewa oleh ramai orang di seluruh dunia kerana sifat jimat cermat mereka, pengetahuan, cinta, kebijaksanaan, tidak mementingkan diri, rendah hati, dll. Melalui tindakan yang mereka tunjukkan kepada dunia, kehidupan teladan yang menjauhkan diri daripada segala daya tarikan duniawi dan perkara-perkara fana. Dalam falsafah hidup mereka, mereka tidak mahu menyerahkan jiwa mereka untuk mengharapkan jawatan tinggi yang boleh dikurniakan oleh pemerintah negeri.

Kasih sayang dan kebijaksanaan yang dikongsi oleh mereka sentiasa menarik minat ramai orang daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan. Malah pada hari ini, di dunia Islam, nama-nama seperti Al-Ghazali (1058-1111), Jalaluddin al-Rumi (1207-1273), Junaid al-Baghdadi (830-910), Rabiah al-Adawiyah (713-801) dan ramai lagi tidak terkira banyaknya dari Timur Tengah dan Benua India dipandang dengan penuh penghormatan. Khususnya, nama al-Ghazali dan al-Rumi bukan sahaja terkenal di kalangan orang Islam, tetapi juga di Barat.

Jalaluddin al-Rumi (1207-1273)

Rumi mempunyai ramai peminat di Barat atas cinta beliau kepada Tuhan dan kemanusiaan. Banyak petikan kata beliau memberi inspirasi dan motivasi dalam memahami rahsia kehidupan dan ketika terungkapnya peristiwa dalam kehidupan seseorang. Di bawah ini, kami ingin berkongsi dua daripada petikan inspirasi beliau: 

“Semalam aku pandai, jadi aku ingin mengubah dunia. Hari ini aku bijak, jadi aku mengubah diriku sendiri.”

“Tingkatkan kata-kata, bukan suaramu. Hujan menghasilkan bunga, bukan guruh.”

Seperti di dalam dunia Islam, St. Thomas Aquinas (1225-1274) dan St. Teresa Calcutta (1910-1997) dikenali sebagai figura ikonik dunia Kristian. Biografi Aquina dan dan dedikasi total beliau kepada perjuangan agama Kristian adalah satu yang menarik untuk dibaca. 

Ada satu ketika dalam hidupnya, abang-abangnya telah mengupah seorang pelacur dan mengurung pelacur tersebut di dalam bilik tempat Aquinas berada. Ini dilakukan dengan harapan Aquinas akan membatalkan ikrarnya untuk membujang. Tetapi itu tidak berlaku, Aquinas melarikan diri dengan terjun dari tingkap, menyebabkan kecederaan pada sebelah kakinya. Setelah melarikan diri, dia memasuki sebuah biara dan kemudian menjadi seorang biarawan.

Dalam merealisasikan cinta yang mendalam Aquinas kepada Tuhan, adik beradiknya telah meninggalkan idea untuk menyuruh Aquinas menikmati kesenangan dunia. Satu perkara menarik yang perlu kita nyatakan di sini tentang Aquinas ialah beliau mempelajari banyak karya ulama Islam zaman pertengahan, khususnya Al-Ghazali dan Ibn Rushd (1126-1198). Selain itu, beliau adalah salah seorang tokoh dalam agama Kristian yang membuat dakwaan bahawa kebijaksanaan bukan sahaja terdapat di kalangan orang bijak dalam agama Kristian tetapi juga dalam kepercayaan bukan Kristian.

Saint Teresa dari Calcutta, yang lebih dikenali sebagai “Mother Teresa” adalah seorang lagi tokoh terkenal dalam agama Kristian yang mendedikasikan seluruh hidupnya kepada orang miskin dan yang memerlukan di Calcutta. Sebagai mengiktiraf sumbangan besar dan kejayaannya dalam menjalankan kerja-kerja amal, beliau telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1997. 

Dalam agama Buddha masa kini, Dalai Lama ke-14 yang nama sebenarnya Tenzin Gyatso (1935-), telah mengembara ke seluruh dunia dan membawa mesej keamanan, toleransi, saling menghormati, dan hidup bersama. Untuk banyak kerja baiknya untuk sebab kemanusiaan, dia telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1989. Keperibadian yang disebutkan di atas hanyalah sedikit dalam senarai panjang guru rohani tulen era zaman pertengahan dan moden dunia ini.

Mesej yang Boleh Dipelajari Anak Muda Islam

Anak-anak muda Islam hari ini seharusnya mempunyai minda yang terbuka untuk mempelajari semua yang bermanfaat untuk kewujudan mereka di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian, untuk kelangsungan hidup duniawi mereka, mereka dibenarkan meminjam idea walaupun daripada mereka di luar akidah Islam.

Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Hikmah adalah harta orang mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mendapatkannya.” Dalam Islam, seseorang dibenarkan untuk belajar falsafah, hikmah, sains, dan teknologi, daripada orang lain, selagi ianya tidak memudaratkan akidah Islam mereka.

Dalam mempelajari hikmah, peningkatan rohani dan lain-lain daripada guru rohani Islam, tidak ada jalan pintas. Semua perkara kerohanian yang diajar oleh guru rohani Muslim harus lulus ‘ujian litmus’ Al-Quran dan Sunnah. Tambahan pula, ilmu harus menjadi titik tolak dalam memulakan perjalanan kerohanian ke arah penghalusan budi pekerti dan pencerahan rohani.

Dalam mempelajari hikmah dan peningkatan rohani daripada guru kerohanian Islam, seseorang perlu melepasi ‘ujian litmus’ Al-Quran dan Sunnah.

Tanpa ilmu dan pemahaman yang betul, menyelami lautan kerohanian boleh menyebabkan seseorang hanyut daripada petunjuk Tuhan yang sebenar. Selain itu, mereka harus cukup bijak untuk mengesan sebarang bentuk indoktrinasi dan pencucian otak oleh guru rohani.

Jika ada, mereka harus memilih untuk meninggalkannya terus. Jika mana-mana guru agama menuntut jumlah yang terlalu tinggi untuk ilmunya, orang muda harus mengelak daripada terjebak ke dalam perangkapnya. Mereka harus sedar bahawa guru seperti itu termasuk dalam kategori mereka yang disebut dalam Al-Quran sebagai mereka yang akan menjual agama mereka dengan harga yang menyedihkan. ***

READ THE ENGLISH VERSION HERE: Spirituality for Sale in the Era of Globalisation

Source: IIUM Today

One thought on “Kerohanian untuk Dijual di Era Globalisasi

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: