Teks Khutbah Jumaat – Lindungi Harta, Awasi Scammer

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Khatib mengajak kepada seluruh kaum muslimin marilah bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan mereka yang bertakwa di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Lindungi Harta, Awasi Scammer”.

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Memelihara harta adalah salah satu daripada Maqasid as-Syariah. Perbuatan mengambil harta dan merampas hak orang lain adalah batil dan haram serta berdosa dan kita sangat dilarang melakukannya. Perbuatan tersebut akan mengancam keharmonian dan pastinya akan membawa mudarat yang besar dalam kehidupan umat Islam dan seluruh masyarakat. Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 29 yang dibacakan tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil seperti mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan salah satu yang semakin menjadi- jadi adalah penipuan melalui siber atau scammer. Kemajuan teknologi maklumat disalah guna untuk melakukan jenayah penipuan dalam talian semakin berleluasa dan telah memperdaya ramai mangsa. Penjenayah yang dikenali sebagai scammer berniat jahat merampas harta dan wang milik mangsa dengan cara memujuk, menipu, menakut-nakutkan, memperdaya dan memeras ugut mangsa-mangsa tersebut.

Paling meresahkan dan menyedihkan apabila kebanyakan penjenayah yang telah ditangkap terdiri dalam dalam kalangan orang Islam sendiri. Bukanlah sikap orang muslim itu menzalimi dan menipu orang lain sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abdullah bin Umar Radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita mestilah mengambil peduli mengenai bentuk-bentuk jenayah dalam talian seperti macau scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, love scam atau parcel scam dan jenayah (e-dagang). Wujud juga jenayah dalam bentuk penipuan panggilan seperti, kononnya mereka melakukan penculikan ahli keluarga kita untuk meminta wang tebusan, penipuan cabutan bertuah dan penipuan memenangi peraduan atau percutian.

Apa yang membimbangkan ialah, kes-kes jenayah dalam talian ini semakin meningkat saban tahun. Bagi tahun 2022 sahaja, sehingga Julai lalu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan ialah sebanyak 13,137 kes. Manakala jumlah tangkapan adalah sebanyak 6,947 kes. Jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan ialah melebihi RM427 juta adalah sangat menakutkan.

Modus operandi penjenayah ini sentiasa berubah. Mereka sangat licik melakukan penyamaran sebagai ahli keluarga, sahabat handai, orang kenamaan dan sebagainya sehingga menjadikan mangsa percaya dan terpedaya dengan pujukan mereka. Malah, mereka juga menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis, pegawai pencegahan rasuah, pegawai kastam, wakil mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai bank dan lain-lain untuk mengugut mangsa supaya melakukan tindakan yang mereka suruh.

Antara punca yang menyebabkan mangsa mudah terpedaya ialah penjenayah ini dapat menyebut identiti mangsa dengan tepat. Mangsa juga langsung tidak diberi ruang masa untuk berkomunikasi dengan orang lain. Selain itu, mangsa juga diugut akan ditangkap, dituduh, direman dan dikenakan tindakan dibawah akta pengubahan wang haram (AMLA) yang menjadikan mangsa berasa takut sehingga sanggup mengikut arahan yang diberikan penjenayah.

Oleh itu, sekiranya kita menerima panggilan yang sedemikian, janganlah panik dan teragak-agak untuk menamatkan panggilan tersebut.

Buatlah catitan maklumat dan maklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga supaya mereka dapat membantu kita untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan laporkanlah segera kepada pihak berkuasa. Kita mesti mengambil tahu bahawa apa-apa urusan lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan rasmi kerajaan seperti urusan mahkamah, ianya sama sekali tidak akan dilakukan secara dalam talian sahaja sebaliknya perlu dijalankan secara bersemuka apatah lagi jika melibatkan urusan seperti pembekuan aset.

Rujuklah agensi atau pihak berkaitan secara terus sebelum melakukan apa-apa tindakan. Khatib mengingatkan bahawa jika kita melalui situasi ini, janganlah bertindak melulu dan bersendirian, berkongsilah dengan ahli keluarga atau mereka yang boleh memberikan nasihat terbaik untuk kita mengambil tindakan yang bijak.

Situasi ketidaktentuan ekonomi dunia turut menjadi penyebab kesusahan hidup masyarakat. Dalam kesempitan tersebut, penjenayah juga licik menawarkan pinjaman tidak wujud melalui aplikasi telefon dan khidmat penghantaran mesej seolah-olah ianya daripada pihak bank dan institusi kewangan. Mangsa yang terpedaya dikehendaki membayar wang untuk proses pinjaman tersebut yang sebenarnya tidak wujud.

Akibatnya, mangsa yang terdesak semakin dihimpit kesempitan wang.

Justeru, khatib sekali lagi mengingatkan kepada semua, janganlah sesekali percaya dengan sebarang tawaran pinjaman melalui kaedah ini kerana ianya adalah taktik penipuan penjenayah dalam talian.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Khatib mengingatkan agar kita jangan sekali-kali terlibat dengan aktiviti jenayah di dalam talian ini antaranya dengan bersubahat atau dipergunakan, menjadikan akaun bank kita sebagai akaun keldai yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun bagi mendapatkan habuan mahu pun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi peruntukan undang-undang. Kebanyakan mereka yang sanggup terlibat dengan akaun keldai atau akaun tumpang ini ialah golongan yang terdesak atau mengejar pendapatan lebih dan mempunyai tahap celik kewangan yang rendah.

Antara golongan yang sering menjadi mangsa adalah suri rumah, penganggur, pelajar dan warga emas. Mereka telah ditawarkan dengan habuan yang lumayan oleh sindiket tersebut. Berdasarkan statistik, sebanyak 205,544 akaun keldai telah dapat dikesan sejak tahun 2014, sebanyak lebih daripada 34,000 tangkapan telah dilakukan daripada tahun 2016 sehingga bulan Mac 2022. Kebanyakan yang didakwa adalah pemilik akaun itu sendiri sedangkan sindiket masih lagi bebas berleluasa dengan mencari mangsa lain pula sebagai keldai akaun.

Justeru, sebagai pemegang akaun bank, kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa jua transaksi dan maklumat perbankan peribadi kita.

Janganlah kita mendedahkan atau berkongsi apa jua maklumat perbankan peribadi dengan orang lain untuk apa-apa tujuan sekalipun, walau pun untuk tujuan permohonan pekerjaan mahu pun pinjaman dengan mana-mana pihak. Selidiki terlebih dahulu latar belakang dengan siapa kita berinteraksi.

Bersama-samalah kita menyedarkan ahli keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara supaya menjadi masyarakat yang bijak dan berhati-hati supaya tidak terjebak dengan akaun keldai ini sama sekali. Laporkan kepada pihak bank atau polis jika berlaku kehilangan kad bank atau penyalahgunaan akaun bank. Di samping itu, janganlah bersekongkol dengan pihak yang meminta kita melakukan aktiviti mencurigakan seperti membuat pindahan wang kepada orang yang tidak dikenali.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita dilarang oleh Islam daripada melakukan perbuatan mengambil harta dan merampas hak orang lain dengan cara yang batil. Ia akan membawa kesan buruk yang besar kepada kehidupan umat Islam dan seluruh masyarakat.

Kedua: Sentiasa waspada dengan sebarang panggilan telefon yang mencurigakan, segeralah melaporkan kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kita menjadi mangsa sindiket penipuan.

Ketiga: Lindungi data peribadi dan akaun bank supaya kita tidak terjebak dengan sindiket akaun keldai.

Marilah bersama kita renungkan Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Rakaman Khutbah Jumaat di Surau As Sobirin Damai Rasa Alam Rasa Kuala Lumpur

Tarikh Dibaca: 21 Muharram 1444H/ 19 Ogos 2022M

Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Gambar: Masjid Putra, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: