Mereka yang kerap melakukan dosa dan kejahatan serta sewenang-wenangnya melanggar syariat Islam pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kecuali bagi mereka yang telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh ketika masih hidup di dunia ini. Selain itu, apabila kita kerap melakukan dosa dan kejahatan, ini akan membawa akibat buruk ke dalam kehidupan kita sama ada kita sedar atau tidak.
Disenaraikan di sini 10 akibat buruk akibat dosa yang ditulis oleh Dr A’id Al-Qarni dalam bukunya Don’t Be Sad.
1. Terbentuklah penghalang antara Allah dan orang yang zalim.
“Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.” (Al-Mutaffifiin 83:15)
2. Apabila manusia itu berterusan melakukan dosa dan kejahatan, mereka akan menjadi putus asa, kehilangan harapan untuk diselamatkan.
3. Mereka yang kerap melakukan dosa dan kejahatan sering berada dalam keadaan tertekan dan cemas di dalam hidup mereka.
“(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah 9:110)
4. Ketakutan menyelubungi hati mereka yang sering berbuat dosa dan kejahatan.
“Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.” (A-li’Imraan 3:151)
5. Hidup mereka yang kerap melakukan dosa akan dihimpit kesempitan.
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Taha 20:124)
6. Hati mereka yang kerap berdosa akan menghitam dan mengeras.
“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).” (Al-Maaidah 5:13)
7. Wajah mereka yang sering melakukan dosa dan kejahatan akan kehilangan cahaya dan hilang seri.
“(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”. (A-li’Imraan 3:106)
8. Dunia mereka yang sering melakukan kejahatan dan dosa akan menjadi sempit.
“Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.” (Al-Maaidah 5:66)
9. Manusia tidak menyukai dan sering menghina mereka yang melakukan kejahatan.
10. Kemurkaan Allah, berkurangnya iman dan bertambahnya musibah, adalah nasib yang akan menimpa mereka yang zalim, yang tidak mengendahkan hukum-hukum Allah.
“Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.” (Al-Baqarah 2:90)
“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Al-Mutaffifiin 83:14)
“Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” (Al-Baqarah 2:88)
Janganlah kita menormalisasikan dosa di dalam kehidupan seharian kita. Carilah ilmu yang bermanfaat dan jauhilah diri daripada melakukan maksiat dan peliharalah hati kita daripada titik-titik noda dan dosa yang memudharatkan.
Sumber: Don’t Be Sad by Dr A’id al-Qarni
Leave a Reply