Fenomena Penghijrahan Cerdik Pandai di Dunia Islam

Oleh Mohd Abbas Abdul Razak & Machouche Salah

Dunia Islam telah dibelenggu oleh beberapa isu nasional selama beberapa dekad. Isu kemiskinan, buta huruf, krisis kepimpinan, ketidakstabilan politik, krisis ekonomi dan lain-lain lagi. Fenomena penghijrahan cerdik pandai atau brain drain ialah salah satu daripada isu-isu yang tidak dapat diselesaikan di kebanyakan negara Islam yang tidak diberi perhatian serius. 

Kecuali dunia Islam menangani isu ini, ia tidak akan dapat menyaksikan perkembangan besar dalam bidang sains dan teknologi. Secara ringkasnya, apa yang dikenali sebagai fenomena penghijrahan cerdik pandai ialah penghijrahan pakar, profesional dan cerdik pandai dari negara Islam ke negara maju di Eropah dan Amerika.

Mencari kehidupan yang lebih baik

Kajian tentang topik ini jelas menunjukkan bahawa penghijrahan cerdik pandai berlaku kerana beberapa sebab. Kami ingin mengenengahkan beberapa faktor asas yang menyebabkan fenomena penghijrahan cerdik pandai berlaku di dunia Islam seperti krisis ekonomi, ketidakstabilan politik dan peluang untuk berkembang.

Krisis Ekonomi

Keadaan ekonomi yang lemah di banyak negara Islam mendorong golongan cerdik pandai dari negara-negara Islam untuk berhijrah ke negara di Barat yang lebih mewah. Dikenali sebagai ‘yang terbaik dalam masyarakat’, golongan pintar ini berhijrah ke negara Dunia Pertama di Barat untuk mencari pendapatan yang lebih baik serta faedah lain untuk diri dan keluarga mereka.

Pendapatan yang baik itu penting untuk kualiti hidup yang baik

Dengan peningkatan sumber pendapatan mereka, golongan cerdik pandai ini akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik di Barat. Perkara seperti pendidikan yang baik dan persekitaran hidup yang baik untuk keluarga mereka telah mendorong mereka untuk berhijrah. Selain itu, idea untuk menikmati empat musim berbeza dalam setahun juga menjadikannya menarik untuk meneruskan penghijrahan mereka.

Ketidakstabilan Politik 

Keadaan huru-hara dalam politik telah membawa masalah besar di banyak negara Islam, khususnya di Timur Tengah. Krisis kepimpinan yang mecetuskan peperangan dan keganasan di antara puak dengan letupan bom bukan sahaja menyukarkan kehidupan rakyat biasa tetapi juga kumpulan-kumpulan profesional di sekitar bandar utama di dunia Islam.

Tiada siapa yang ingin hidup dalam ketakutan

Memandangkan tiada penyelesaian kepada keadaan huru-hara ini di negara mereka, golongan berpendidikan tinggi, komuniti perniagaan, dan saintis berhijrah ke tempat yang lebih selamat untuk keluarga mereka di Barat. Selain faktor keamanan dan keselamatan, negara-negara di Barat juga mampu membayar gaji yang lebih lumayan berbanding apa yang mereka perolehi di tanah air mereka dahulu. Bukan itu sahaja, majoriti mereka juga diberi kerakyatan untuk tinggal di negara-negara di Barat tersebut. Hasil daripada ini, sebarang penemuan terbaru mereka dalam bidang sains dan teknologi akan diakreditasikan ke tanah air baru mereka dan bukan ke tanah asal mereka di dunia Islam.

Peluang untuk Berkembang

Keadaan ekonomi yang lemah di dunia Islam menggagalkan kerajaannya untuk menyediakan infrastruktur yang penting seperti pusat penyelidikan, koleksi buku yang bagus di perpustakaan, dan makmal sains yang serba lengkap untuk menjalankan eksperimen.

Dalam masa yang sama, untuk memudahkan urusan golongan bijak pandai dari dunia Islam ini, negara-negara di Barat menawarkan pusat penyelidikan sedia ada, makmal dan geran yang mencukupi untuk tujuan penyelidikan. Keistimewaan yang dinikmati oleh para profesional dan saintis Muslim ini akan membolehkan mereka untuk menjadi lebih maju dalam bidang pengkhususan dan penyelidikan mereka.

Langkah-Langkah Pencegahan

Sekiranya fenomena penghijrahan cerdik pandai ini dibiarkan, negara-negara Islam akan kehilangan cerdik pandai sains mereka kepada Barat. Dalam usaha mereka untuk membendung fenomena ini di negara mereka, kerajaan Islam mesti mengambil langkah pencegahan. 

Di bawah ini kami telah menyenaraikan beberapa langkah yang boleh diambil:

  1. Bagi mengelak fenomena penghijrahan cerdik pandai ini berlaku, negara-negara Islam mesti menghasilkan beberapa pelan strategik. Salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh negara-negara Islam ialah menghentikan semua peperangan dan serangan keganasan yang menjejaskan kestabilan negara mereka. Apabila perang berhenti, sejumlah besar belanjawan negara yang kini dibelanjakan untuk membeli persenjataan boleh digunakan untuk pendidikan dan penyelidikan saintifik. Kami amat percaya itu boleh dilakukan kerana banyak negara Islam di Timur Tengah kaya dengan hasil penjualan minyak dan gas.    
  2. Dalam usaha untuk menghalang minda muda dan berbakat di dunia Islam daripada dipikat oleh Barat, kerajaan di negara-negara Islam harus memulakan program “mengekalkan cerdik pandai” atau ‘brain retention’. Melalui program ini, pelajar cemerlang harus dikenal pasti di peringkat universiti dan diberikan biasiswa. Kerajaan perlu memastikan pelajar-pelajar tersebut, apabila menamatkan pelbagai pengkhususan mereka, diberikan pekerjaan dengan gaji yang baik dan memudahkan mereka dengan pusat penyelidikan yang baik untuk menjalankan “penyelidikan dan pembangunan” mereka. Mungkin dengan jaminan sedemikian, kerajaan di negara-negara Islam akan dapat menghalang pelajar mereka daripada melarikan diri dari tanah air mereka.
  3. Bagi mereka yang telah menetap di negara maju di Barat, kerajaan Islam harus menarik golongan profesional yang bekerja di sana untuk kembali ke tanahair dan menggunakan pengalaman yang diperoleh di negara mereka sendiri. Untuk itu berlaku, kerajaan Islam harus membuat program yang menguntungkan cerdik pandai atau ‘brain gain’. Melalui program ini, kerajaan harus membenarkan semua profesional dan saintis pulang bersama keluarga mereka. Sekiranya mereka mempunyai isteri dan anak-anak dari Barat, mereka harus diberi status PR terlebih dahulu dan kemudian diberi kewarganegaraan di negara domisil mereka. Tambahan pula, mereka harus dibenarkan pengecualian cukai untuk tujuan simpanan, kenderaan dan barangan isi rumah lain yang berharga dapat dipindahkan dari Barat ke tanah air mereka. Para profesional yang ingin kembali harus dijamin peluang pekerjaan dengan gaji yang baik dan setimpal.
Manusia sentiasa mencari keamanan

Isu Etika dalam Penghijrahan Cerdik Pandai 

Cendekiawan dan profesional Islam yang telah memilih untuk menetap di Barat dengan alasan yang kukuh perlu mematuhi beberapa prinsip etika. Sebagai orang Islam, mereka tidak seharusnya memberikan pengetahuan, kepakaran dan perkhidmatan mereka kepada syarikat yang menggajikan mereka di Barat untuk membantu menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran; senjata nuklear, biologi dan kimia. Senjata sedemikian boleh membawa maut dalam membunuh sejumlah besar orang dengan serta-merta.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa ketika perang, Barat secara tidak bertanggungjawabnya telah menggunakan senjata pemusnah seperti itu terhadap manusia. Satu kes yang diketengahkan di sini ialah pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Bom atom yang digugurkan telah membunuh antara 129,000-226,000 orang, terutamanya orang awam. Penggemar fakta sejarah akan mendapati bahawa semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua, kira-kira 60 juta orang mati dan mereka ini kebanyakannya ialah orang awam yang tidak berdaya. Bukan itu sahaja, kerosakan yang berlaku kepada infrastruktur dan alam sekitar adalah amat dahsyat sekali.

Perang penyebab kemusnahan

Sebaliknya, adalah wajar bagi profesional dan saintis Muslim untuk mencari ubat baru yang boleh mencegah penyakit yang membawa maut dan bagaimana untuk memanjangkan jangka hayat mereka yang menghidap kanser dan penyakit serius yang lain. Usaha murni sedemikian di pihak saintis Muslim untuk menyelamatkan umat manusia adalah sangat dialu-alukan di dalam Islam.

Satu lagi isu etika yang perlu diketengahkan di sini ialah tentang pelajar Islam yang sedang menuntut di universiti di Barat. Jika mereka menerima biasiswa dari negara mereka, maka mereka mempunyai kewajipan untuk kembali berkhidmat kepada rakyat di tanah air mereka atas alasan etika bahawa wang yang mereka terima datangnya daripada pembayar cukai di negara masing-masing. Jadi adalah tidak beretika di pihak pelajar tersebut jika memilih untuk tinggal di Barat sementara di negara mereka terdapat keperluan yang lebih besar untuk kepakaran mereka.

Penghijrahan Cerdik Pandai dari Barat ke Negara Dunia Ketiga 

Memandangkan Barat telah menjajah negara-negara di Timur dan Afrika pada masa lalu, ia mempunyai kewajipan moral untuk memperbetulkan kesalahannya. Sebagai pampasan kepada bekas tanah jajahannya, Barat seharusnya bukan sahaja memikirkan cara untuk membantu secara kewangan tetapi juga membantu dengan perpindahan teknologi. Di bawah program pemindahan teknologi, Barat harus menghantar sukarelawan yang terdiri daripada cendekiawan, saintis, biologi, ahli botani, alam sekitar dan sebagainya ke negara Dunia Ketiga dan negara-negara Islam.

Barat perlu menyumbang lebih kepada Afrika dan negara di Timur

Jika ini berlaku, tindakan sebegitu wajar dianggap sebagai satu tindakan yang terpuji di pihak Barat. Dari satu segi, dengan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka, pakar Barat dapat mengecilkan jurang ekonomi yang terdapat di Barat dan Timur. Bukan itu sahaja, penduduk di Timur akan mendapat manfaat dari segi akses kepada air minuman yang baik, menukar tanah tandus kepada tanah pertanian yang subur, dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, dan sebagainya.

Selain itu, negara Barat harus membawa pelajar muda dari negara bekas jajahan mereka dan melatih mereka untuk menjadi profesional dalam bidang yang mereka pilih. Setelah menjalani kehidupan dan menamatkan latihan mereka di Barat, para profesional dan saintis ini boleh kembali ke negara masing-masing untuk melaksanakan ilmu yang diperoleh di Barat di negara mereka sendiri. Jika ini berlaku, maka pada tahun-tahun akan datang kita akan dapat melihat perubahan besar dan kemakmuran berlaku di Timur dan Afrika.

Negara-negara Islam harus mempertingkat program ‘menguntungkan cerdik pandai’

Buat masa ini, fenomena penghijrahan cerdik pandai yang berlaku di kebanyakan negara Islam menguntungkan Barat. Jika kerajaan-kerajaan di negara-negara Islam gagal menangani isu-isu yang menyebabkan penghijrahan ini, kemungkinan besar negara mereka akan menjadi seperti sekarang untuk beberapa dekad yang akan datang. Adalah satu langkah bijak bagi pihak negara-negara Islam jika mereka boleh mengambil tindakan bersungguh-sungguh untuk menangani isu penghijrahan cerdik pandai ini. Perlaksanaan program “menguntungkan cerdik pandai” dan “mengekalkan cerdik pandai” pasti akan memberi manfaat kepada dunia Islam. ***

READ THE ENGLISH VERSION HERE: The Brain Drain Phenomenon in the Muslim World

Source: IIUM Today

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: