Orang Malaysia dengan cendol memang tidak boleh dipisahkan. Cendol merupakan hidangan pencuci mulut yang menggabungkan ais kisar, cendol atau jeli daun pandan yang diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula Melaka. Dan terkini, cendol telah dipelbagaikan dengan macam-macam bahan tambahan untuk menambah rasa.
Ketika matahari berada tegak atas kepala, mymuslimin.com telah mencuba Cendol Durian Borhan yang terletak di tepi jalan di Kuala Selangor. Dalam suasana panas lit-lit Malaysia, cendol yang sejuk lagi lazat ini memang menyamankan.

Melihat keluasan kawasan restoran ini kami sudah boleh mengagak yang tempat ini popular kerana ruang makannya yang agak luas, tentu sekali untuk menyambut bilangan pelanggan yang ramai.
Kami mencuba cendol ekskusif di sini iaitu Cendol Durian D24 ulas yang berharga RM16. Mereka ada juga menawarkan pes durian yang harganya separuh sahaja (RM8), tetapi untuk mendapatkan impak maksimum makan cendol durian di sini, kami telah memesan yang terbaik. Alhamdulillah, cendol durian D24 tidak mengecewakan.
Bahan di dalam cendol hanyalah cendol, kacang merah rebus, dan gula merah, tetapi semuanya diadun sempurna dengan ais kisar dan santan kelapa, tiada yang terlebih rasa. Ditambah dengan dua ulas durian asli D24, kami tersenyum sebentar menikmati kelazatannya.
Selain cendol durian, kami juga mencuba cendol jagung yang berharga RM4 sahaja. Memang sedap rasanya kerana mereka tidak kedekut dengan jagung. Jagung disudu cukup banyak untuk dikenali sebagai cendol jagung.

Selain dua ini, cendol lain seperti cendol pulut, labu, keladi, aiskrim dan kombinasi ramuan ini juga ditawarkan dengan harga sekitar RM4-RM8 mengikut bahan dan saiz yang dipilih.
Jika ingin membawa keluarga makan di sini, Cendol Durian Borhan juga ada menawarkan hidangan mi, nasi, kuetiau, rojakdengan harga di bawah RM10 sepinggan.
Cendol Durian Borhan
Batu 2 Jalan Tg Karang, Jln Klang – Teluk Intan, Kuala Selangor, Selangor
Buka: 10 pagi – 7 petang
Tutup: Jumaat
Leave a Reply