Oleh: Zaid Mohamad
Apabila ada masalah dalam keluarga, soalan pertama yang diajukan kebanyakan ibu bapa ialah, “Siapa yang buat ni?” Ia kemudiannya diikuti dengan siri kata-kata kasar dan tingkahlaku yang tidak rasional.
Apabila keadaan tidak menyebelahi mereka, ramai ibu bapa akan “menyalahkan” dan mula mencari “pesalah”. Setelah “pesalah” dikenal pasti, mereka akan beralih ke fasa “memarahi”.
Walau bagaimanapun, dari sudut pandangan “pesalah”, tiada pengajaran yang boleh dipelajari.
Apabila ibu bapa marah, anak-anak menjadi takut. Mereka akhirnya belajar untuk menutup kesilapan mereka kerana takut dihukum. Mereka mungkin berbohong untuk menutup jejak mereka. Apa yang lebih teruk, mereka juga mungkin akan menyalahkan orang lain untuk melepaskan diri. Jelasnya, ini ialah senario yang merugikan ibu bapa dan juga anak-anak.
Mujurlah kita boleh memperbaiki keadaan ini dengan mewujudkan budaya kebertanggungjawaban di rumah.
James Lehman, pencipta program The Total Transformation Child Behavior, menggelar ini sebagai “budaya kebertanggungjawaban”.
Secara asasnya ia bermaksud begini: setiap orang di dalam keluarga bertanggungjawab untuk tindakan dan tingkah laku mereka sendiri. Setiap orang bertanggungjawab mengikut peraturan dan jangkaan yang ditetapkan oleh ibu bapa. Setiap orang bertanggungjawab ke atas cara mereka bertindak balas terhadap situasi yang menekan atau mengecewakan.
Walau bagaimanapun, ramai orang tidak mahu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka, termasuklah kanak-kanak. Ini berlaku terutamanya jika mereka merasakan bahawa mereka tidak dilayan secara adil. Dan mereka mula melihat pilihan untuk menyalahkan orang lain itu sebagai pilihan yang lebih baik.
Tanggungjawab dan Kebertanggungjawaban
Terdapat banyak cara untuk memupuk budaya kebertanggungjawaban ini di rumah.
Tetapi, pertama sekali, ibu bapa perlu melihat tingkah laku mereka sendiri apabila mereka berasa tertekan. Adakah kita terlalu cepat menilai orang lain? Adakah kita mudah marah pada perkara yang remeh? Adakah kita lalai dengan kata-kata kita ketika kita sedang marah? Semua ini dan banyak lagi berkemungkinan mewujudkan “budaya ketakutan” di dalam keluarga.
Keduanya, seluruh keluarga mesti memahami konsep (dan proses) kebertanggungjawaban dan tanggungjawab. Bayangkan kita sedang bekerja dan tugas kita ialah memastikan tiada produk yang rosak dihantar kepada pelanggan. Namun, disebabkan kecuaian kita, pelanggan memulangkan produk yang rosak tersebut.
Ya, kita boleh memberi banyak sebab mengapa ianya terjadi, tetapi pelanggan tentu sekali tidak berminat untuk mengambil berat tentang alasan kita.
Jika ianya berlaku kerap, kita mungkin akan kehilangan pekerjaan. Apa yang patut kita lakukan sebaliknya adalah mengambil sepenuh tanggungjawab. Mohon maaf kepada pelanggan dan perbaiki proses semakan. Apabila ianya dilakukan dengan betul, insiden itu mungkin boleh menyebabkan peningkatan kesetiaan pelanggan.
Semangat yang sama boleh diperkenalkan di rumah. Apabila anak kita membuat kesilapan, galakkan dia untuk mengambil tanggungjawab dan bertanggungjawaban ke atas perbuatannya. Elakkan perasaan ingin menyalahkan atau memarahi, terutamanya jika kesilapan itu tidak disengajakan.
Anak-anak kita akhirnya akan menghormati dan mendengar nasihat kita lebih daripada sebelumnya. Begitulah kuasa kebertanggungjawaban. Kemudiannya kita boleh mewujudkan rumah yang harmoni di mana anak-anak kita akan membesar menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab.
Sumber: http://www.ZaidMohamad.com
Leave a Reply