‘Ibadurrahman ialah hamba Allah yang hidup dengan ketaatan kepada-Nya, Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Surah Al-Furqan ayat 63-77 telah menyenaraikan 12 sifat seorang ‘Ibadurrahman, iaitu sifat-sifat contoh seorang mukmin yang dituntut oleh Islam.
Terjemahan Surah al-Furqan 25: 63-77 yang bermaksud:
(Al-Furqan 25:63) – “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”
(Al-Furqan 25:64) “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,“
(Al-Furqan 25:65) “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan,“
((Al-Furqan 25:66) “Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk”;
(Al-Furqan 25:67) “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
(Al-Furqan 25:68) “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;”
(Al-Furqan 25:69) “Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,-“
(Al-Furqan 25:70) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Furqan 25:71) “Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;”
(Al-Furqan 25:72) “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”
(Al-Furqan 25:73) “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.”
(Al-Furqan 25:74) “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Al-Furqan 25:75) “Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,”
(Al-Furqan 25:76) “Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.”
(Al-Furqan 25:77) “Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): “Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu”.
Sifat-sifat ‘Ibadurrahman yang boleh disenaraikan daripada ayat-ayat suci Al-Qur’an di atas ialah:
- Hidup di dunia ini dengan penuh kelembutan dan bersopan santun apabila berdepan dan bergaul dengan masyarakat.
- Walaupun berhadapan dengan orang yang kurang adab, ‘Ibadurrahman masih penuh dengan sopan santun supaya pertelingkahan dan permusuhan dapat dielakkan.
- ‘Ibadurrahman ialah seorang hamba yang tekun mengerjakan ibadat dan menghidupkan qiamualail, bersujud dan berdiri menghadap Ilahi tatkala ramai orang sedang diulit mimpi.
- ‘Ibadurrahman ialah seorang yang tekun berdoa kepada Allah agar diampunkan dosanya, dijauhkan daripada dia neraka Jahannam dan ditempatkan dia ke dalam syurga Allah SWT.
- ‘Ibadurrahman yakin dengan janji Allah SWT tentang hari pembalasan dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan ganjaran terbaik dan menjauhi balasan buruk yang dijanjikan Allah SWT.
- ‘Ibadurrahman ialah seorang yang sederhana dalam membelanjakan hartanya. Beliau bukalah seorang yang kedekut dan dia juga tidak boros dan sembrono menguruskan hartanya kerana beliau menghargai dan mensyukur setiap pemberian-Nya.
- ‘Ibadurrahman ialah seorang yang teguh imannya, kukuh mempercayai keesaan Allah SWT.
- ‘Ibadurrahman sentiasa bertaqwa dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang ditegah Allah SWT tanpa ada keraguan.
- ‘Ibadurrahman sentiasa menjauhkan diri daripada perkara yang tidak Allah sukai, perkara sia-sia dan perkara yang boleh memudharatkan.
- ‘Ibadurrahman sentiasa merendah diri dan terbuka kepada muhasabah dan memperbetulkan diri sendiri apabila diberi peringatan.
- ‘Ibadurrahman ialah seorang yang tidak mementingkan diri, sentiasa hidup berkeluarga dan berusaha untuk mencapai kegemilangan di dunia dan akhirat bagi diri dan keluarganya.
- ‘Ibadurrahman ialah manusia yang sentiasa sabar menghadapi ujian Allah SWT di dalam kehidupannya.
Balasan Allah SWT kepada ‘Ibadurrahman ini ialah penghormatan di dalam syurga, dan diberi hartanah paling bernilai di dunia abadi iaitu mahligai di syurga dan akan kekal di dalamnya sebagai penghuni syurga Allah SWT untuk selama-lamanya.
Dan mereka yang tidak mengingati Allah SWT dengan tekun mengerjakan ibadat, berdoa dan berzikir kepada-Nya, malahan sentiasa lalai ketika di dunia, akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT di hari pembalasan.
Sesungguhnya pilihan berada di tangan kita. Adakah kita akan menzalimi diri kita sendiri? Renungkan.
Leave a Reply