Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Saya menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Tunaikanlah segala suruhan Allah SWT dan tinggalkanlah larangan-Nya. Semoga Allah SWT meredai hidup kita, bahagia di dunia dan di akhirat.
Hadirin yang dirahmati sekalian,
Sesuatu yang membangkitkan kemarahan umat Islam hari ini adalah dengan sikap beberapa orang dalam masyarakat kita yang tidak peduli dengan kesucian agama Islam dan kemuliaan Baginda Nabi Muhammad SAW. Tersebar baru-baru ini bagaimana agama Islam dipersenda dengan jenaka dan komedi. Muncul pula orang Islam yang sanggup menghina Nabi terakhir, makhluk termulia, Nabi Muhammad SAW.
Tidak lama dahulu, kecoh di dunia dengan sikap Charlie Hebdo di Perancis yang bersikap kurang ajar melukis kartun menghina Nabi Muhammad SAW sehingga kejadian penembakan yang menggemparkan dunia.
Dengan mukaddimah itu, mimbar hari ini akan memperkatakan tentang “Jangan Hina Islam dan Nabi Muhammad SAW!”
Hadirin Jumaat yang dihormati sekalian,
Apabila ada seseorang yang dengan terang-terang menjadikan agama sebagai komedi dengan mengolok-olok ajaran Islam, merendahkan al-Quran seolah-olah tidak ada harga baginya walaupun seorang Muslim, menganggap remeh dengan hukum-hakam Islam, secara terang-terang menghina agama Islam dengan berbagai kalimah penghinaan dan mencaci agama yang suci ini, maka ia jelas termasuk dalam jenayah penghinaan agama Islam.
Termasuklah dalam kategori ini perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW, iaitu Nabi terakhir, Nabi umat Islam, makhluk termulia di sisi Allah SWT. Ucapan seperti menyamakan Baginda SAW dengan perumpamaan atau kata-kata yang jelek dan negatif adalah jelas sebagai penghinaan terhadap Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.
Perbuatan jenayah ini juga adalah menyakiti umat Islam di seluruh negeri atau negara bahkan dunia!
Muslimin yang dirahmati Allah swt,
Allah SWT telah memberi kepada manusia peringatan tentang larangan menghina Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 12 yang bermaksud: “Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua- ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).” Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa jelas perbuatan menghina agama itu amat dilarang sama sekali. Bahkan akibat menghina agama itu orang tersebut diancam oleh Allah SWT untuk diperangi.
Hadirin sidang Jumaat sekalian,
Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 61 yang bermaksud: “Orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Apakah ada yang masih tidak takut akan azab Allah SWT yang perih ini?
Islam bukan sahaja melarang umatnya menghina agama sendiri, bahkan menghina agama lain juga amatlah dilarang. Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”
Hadirin sekalian,
Perbuatan menjadikan agama Islam dan Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW sebagai bahan jenaka, komedi dan bahan olok-olok yang mempersendakan juga termasuk dalam larangan dan perlu dipandang serius oleh semua umat Islam. Bahkan termasuk juga perbuatan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan membuatkan seolah-olah ia bukan Kalam Allah yang mulia merupakan satu jenayah juga.
Firman Allah SWT melalui Surah al-Taubat, ayat 65 yang bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Ayat ini jelas menunjukkan larangan mempersenda agama yang mulia ini.
Perbuatan berkomedi dengan hukum hakam Islam, ayat-ayat al- Quran yang dihafaz, serta meremehkan perintah Allah SWT adalah jelas perbuatan itu benar-benar menghina agama. Bahkan al-Imam al-Qadi Iyyadh, seorang ulama besar pada kurun ke-6 Hijrah menukilkan melalui Kitab al-Shifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa: “Apa-apa bentuk ucapan atau perbuatan yang terdapat cacian, merendahkan, atau mengaibkan kesucian diri Baginda Nabi Muhammad SAW atau nasabnya, agamanya, sifatnya, atau apa-apa yang berkaitan dengannya, maka perbuatan itu dapat menyebabkan pelakunya gugur iman.”
Maka berhati-hatilah dengan kata- kata dan perbuatan kita wahai umat Islam!

Hadirin sekalian,
Justru, perbuatan durjana ini adalah termasuk dalam jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor tahun 1995, Seksyen 10 tentang menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, menyatakan sebagai berikut: “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:-
(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau
(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
Seksyen 9 pula menyatakan: “Mana-mana orang yang, dengan kata- katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat AI-Quran atau Hadis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
Oleh itu, perlulah kita berhati-hati dengan segala ucapan atau kalam kita agar tidak mengeluarkan apa-apa gurauan yang tidak menjaga sensitiviti agama.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Berdasarkan hukum syarak dan perundangan di Negeri Selangor ini, khatib ingin menegaskan kepada segenap rakyat Selangor, agar senantiasa menghormati hukum syarak, keputusan fatwa dan undang- undang yang diwartakan di negeri ini. Mimbar juga mengingatkan kepada segenap hadirin yang dimuliakan, agar senantiasa bertindak mengikut undang-undang.
Hadirin yang dimuliakan,
Mengakhiri khutbah ini, marilah kita sama-sama hayati tausiah dan mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman. Antaranya:
1. Hukum menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk niat, perbuatan dan perkataan ini dihukumkan murtad dan kafir. Pelakunya hendaklah bertaubat dan mengishtiharkan taubatnya.
2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa menghina Islam akan dibalas azab neraka selama-lamanya.
3. Umat Islam hendaklah bersyukur di atas kurniaan nikmat yang paling besar iaitu Islam dan iman.
“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Al-Ahzab : 57).
Tarikh Dibaca: 2 September 2022M l 5 Safar 1444H
Disediakan oleh : Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Selangor
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
Leave a Reply