Oleh: mymuslimin.com
Manusia melakukan 3 kesilapan ini setiap hari tanpa sedar.
1. Membuang Masa
Tidak percaya? Catatlah setiap aktiviti harian kita dan cuba kaji apa yang kita lakukan hari-hari, dan nilai apakah yang dilaburkan untuk dunia dan apakah yang dilaburkan untuk akhirat, dan berapa lamakah yang kita leburkan dengan membuang masa? Rata-rata ramai yang gagal memanfaatkan masa.
Seorang Islam itu sibuk sebaik sahaja dia membuka mata di pagi hari dengan mengingati Allah SWT, beramal ibadat dari Subuh sehingga ke Isya’ di tambah lagi dengan bermunajat kepada-Nya dengan Qiamullail, di samping menunaikan tanggungjawab kepada keluarga, pejabat dan masyarakat.
Yang sedihnya, hiburan sebenarnya mengambil sebahagian besar daripada masa kita di masa ini. Berapa ramai yang menghabiskan berjam-jam lamanya menonton siri popular, tidak kiralah Korea, Amerika atau buatan Malaysia sekalipun, modus operandinya sama sahaja. Semuanya berjaya membuang masa kita dengan hiburan, syaitan menang besar.
Drama, lawak jenaka, program nyanyian, program realiti, semuanya mengambil masa manusia dengan banyaknya. Di akhirnya, ramai yang puas hati, ramai yang tidak kering gusi, tetapi bagaimana dengan dosa pahala untuk dibawa berjumpa Ilahi?

Media sosial juga begitu mengasyikkan dengan berjuta-juta netizen yang berlegar-legar di pelbagai saluran seperti YouTube, Facebook, TikTok, Instagram dan sebagainya setiap masa, menunggu timbulnya isu-isu panas untuk diterjah dan dikecam sepenuh hati.
Digital Business Lab di dalam artikelnya “Social Media Penetration in Malaysia [Research]” melaporkan bahawa 75% rakyat Malaysia menggunakan Internet dengan kerap untuk membaca berita dan mengikuti perkembangan semasa dan 72% menggunakannya untuk berhubung dengan kawan melalui media sosial.
Kajian daripada Sortlist yang dilaporkan oleh The Edge Markets pula mendedahkan bahawa rata-rata rakyat Malaysia menggunakan 9 jam dan 18 minit sehari untuk melayari Internet, bersamaan dengan 141 hari setahun (38.6%). Rakyat Malaysia juga meluangkan 3 jam seminit sehari di media sosial, bersamaan dengan 46 hari setahun (12.6%). Manakala, untuk app tertentu, seorang pengguna menghabiskan 11 hari 14 jam di YouTube berbanding di TikTok, 6 hari 16 jam, dalam setahun.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-’Asr yang bermaksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-‘Asr 103:1-3)
2. Bercakap tentang perkara yang tidak ada kena mengena dengan kehidupannya.
Bayangkan satu kejadian yang berlaku di Kuantan, melibatkan beberapa orang dan perkara itu telah tular di Internet. Perhatikan berapa ramai manusia dari Johor sehingga ke Sabah yang akan membincangkannya di platform media sosial, di kedai kopi, di rumah sendiri, walaupun tanpa mengetahui hujung pangkal kejadian tersebut, di samping tiada hubungan atau kaitan dengan pelaku-pelaku yang terlibat.
Sebahagian akan menyokong, sebahagian lagi membantah, ada juga yang menjadi pendamai dan berdakwah di dalam ruangan komen. Namun, yang pasti, semuanya terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah ini.

Kejadian nilai-menilai di media sosial juga sudah menjadi makanan harian rakyat Malaysia. Mereka yang digelar ‘terkenal’ di media sosial akan sentiasa mencipta konten jelek untuk mendapatkan perhatian netizen dan netizen yang menunggu konten sebegini akan galak menilai, tak cukup jari mengarang komen.
Kitaran ini berterusan sepanjang tahun, tanpa menyedari bahawa ini adalah kesilapan yang akan membawa mudharat kepada diri kita kelak.
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318)
3. Sibuk dengan benda-benda remeh yang tidak berfaedah.
Mendengar khabar angin, ramalan, dan bergosip adalah tiga contoh yang biasa. Dengan mempunyai sifat ini akan menyebabkan paranoia, kebimbangan dan kurang tujuan dalam hidup.
Seorang penyanyi meludahkan gula-gula di atas pentas ketika membuat persembahan, netizen sibuk sepanjang dua tiga hari mengupas isu ini dan mengecam artis tersebut tanpa henti dari tengahari ke petang membawa ke dini hari.
Apa sahaja yang dipaparkan di media sosial perlu dibahaskan, dibincang, dikecam, dikomen, dikupas kerana masing-masing ada platform yang membolehkan mereka menilai dan meluah perasaan. Percuma dan terbuka kepada semua!
Syaitan menang lagi tanpa kita sedari. Tidak cukup dengan media sosial, disambung pula ketika berjumpa, berborak tentang isu hangat semasa.
Ini adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh ramai orang Islam. Seorang Islam itu adalah mereka yang sering mengucapkan salam kepada saudara seIslamnya yang bererti kita tidak ada niat untuk menyakiti saudara kita dalam apa bentuk dan format sekali pun. Wai’ma dengan mulut, perbuatan atau komen kita di alam maya.
Praktikkan Cara Hidup Islam
Daripada kita menyibukkan diri dengan melakukan tiga kesilapan ini, latihlah diri untuk hidup dengan cara Islam. Islam itu ialah cara hidup sederhana yang lebih cenderung kepada ilmu, lebih menyarankan umatnya berdiam diri, melatih diri dengan sabar, istiqomah dalam melakukan amalan-amalan wajib yang difardhukan oleh Allah SWT, memperbanyakkan amalan-amalan sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW, berzikir di masa lapang, membantu orang-orang yang memerlukan.
Orang Islam itu perlu sentiasa sedar bahawa dunia ini hanyalah persinggahan dan semua perbuatan kita di sini akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Rujuklah Al-Qur’an dan Hadis, mantapkan jati diri kita dengan berpegang teguh dengan ayat-ayat Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Carilah ilmu-ilmu yang bermanfaat yang dapat membantu kita dekat kepada Allah SWT, Pencipta kita.
Biarlah seluruh dunia ini sarat dengan berita viral dan kegilaannya, orang mukmin itu perlu sentiasa stabil jiwa dan stabil tingkahlaku, dengan niat mendapatkan redha Allah SWT dan pengakhiran yang baik. InsyaAllah.
“Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya).” (Ali Imran 3:148)
“Maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (Taha 20:123)
Sumber:
Don’t be Sad by Dr A’id al-Qarni