Asmaul Husna ke-11 ialah Al-Mutakabbir yang bererti Yang Mengagungkan Diri atau menyombongkan diri. Dialah Tuhan yang Maha Agung, bahkan Dia turut menyombongkan diri-Nya. Sesungguhnya layaklah bagi Tuhan itu bersifat membesarkan diri atau menyombongkan diri.
Tetapi sifat ini tidak boleh ditiru dan dilakukan oleh makhluk, kerana makhluk adalah bersifat lemah. Haram bagi hamba-Nya yang lemah ini memiliki sikap takbur dan menyombongkan diri. Orang yang sombong tidak mungkin bersedia menerima teguran atau nasihat.
Allah SWT yang bernama Al-Mutakabbir itu secara mutlak memiliki sifat takbur. Dia tidak boleh tegur dan tidak memerlukan teguran. Takbur itu adalah ciri-ciri ketuhanan yang menjadi keagungan atau kebanggaan Tuhan. Dialah Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, namun Dia juga Al-Mutakabbir. Apabila Allah SWT memasukkan hamba-Nya ke dalam neraka maka usahlah merayu dan merintih. Ingatlah bahawa manusia itu berada di antara kasih sayang Allah SWT dan kesombongan-Nya.
Apakah yang boleh diambil oleh manusia daripada nama Allah SWT yang Al-Mutakabbir itu? Seorang sahabat bernama Habbah bin ‘Aradhi ketika dia dikepung oleh tentera musyrikin Mekah, dan dia merasakan kematiannya hampir tiba, lalu dia berkata, “Aku tidak peduli engkau hidup membunuh aku, sama ada engkau hendak tumbangkan aku ke kanan atau tumbangkan aku ke kiri, asalkan aku gugur dan mati kerana Allah SWT.” Demikian gambaran jiwa yang besar keimanan kepada Tuhan yang bersifat Al-Mutakabbir.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply