Firman Allah dalam Surah Al-‘Alaq ayat 1 yang bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Setiap yang wujud di dunia ini, kewujudannya tertakluk kepada Allah SWT, Al-Khaliq, Tuhan Yang Maha Mencipta. Tanpa pencipta, nescaya semua makhluk yang ada tidak wujud.
Di samping itu, Allah SWT mencipta alat-alat yang diperlukan bagi manusia untuk hidup. Segala alat ini merupakan medium yang boleh menyebabkan manusia menjadi lebih bertakwa atau menjadi kufur.
Manusia merupakan ciptaan terbaik dan diberikan dengan pelbagai nikmat yang sesetengahnya tidak diberikan kepada makhluk lain, sebagai contohnya akal fikiran.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Al-Baqarah, 2: 30)
Ciptaan Allah SWT bermula dengan tiada. Kehebatan Allah SWT dalam mencipta tiada tolok bandingnya. Jika manusia mahu mencipta sesuatu perkara, semestinya ciptaan tersebut mempunyai unsur ‘tiruan’ dari sesuatu yang telah wujud.
Bagi Allah SWT, ciptaan-Nya tidak ada kaitan dengan unsur-unsur tiruan langsung.
Tidak ada manusia sebelum Allah SWT mencipta kita sebagai manusia.
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.” (Al-Baqarah, 2: 117)
Dalam bahasa Arab, kalimah abadi yang memberi makna ‘pereka cipta’, ialah pencipta yang mencipta sesuatu tanpa ada contoh sebelumnya.
Maka kita sebagai hamba-Nya perlu memerhatikan kehebatan Allah SWT, semoga melahirkan perasaan rendah diri kepada-Nya yang merupakan Al-Khaliq, Tuhan Yang Maha Mencipta.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply