Lemah-Lembut Dalam Mencapai Matlamat

Hidup di zaman ini, masyarakat kita sering terdedah kepada nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan apa yang dianjurkan Islam. Karakter yang berjaya sering ditonjolkan mempunyai sifat tidak boleh kalah, tidak mengalah, tidak berkompromi, pantas bertindak, bekerja sepanjang masa, pandai berdebat dan tiada sifat lemah-lembut. Lemah-lembut dilihat sebagai satu kelemahan kepada seseorang. 

Sebaliknya, Islam lebih mementingkan kelembutan kerana kelembutan mencerminkan jiwa yang tenang dan seorang yang berhati-hati dalam membuat keputusan dan melayari kehidupan. 

Dalam karya Dr Aid al-Qarni “Don’t Be Sad”, beliau menulis tentang bagaimana kelembutan itu sebenarnya ialah cara untuk kita mencapai matlamat dengan baik.

Tulisan beliau yang diterjemahkan dibawah:

Bayangkan anda sedang memandu di sebatang jalan sempit yang mempunyai dinding di kedua-dua sisinya. Tiada cara lain untuk kereta anda melepasi halangan tersebut kecuali dengan memandu secara perlahan dan berhati-hati. Jika si pemandu memecut di dalam tempat yang sempit ini, besar kemungkinan kereta akan menghentam dinding kiri dan kanan yang akan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan. Walaupun jalan yang dilaluinya sama, keretanya pun sama, yang berbeza ialah cara pemanduannya. 

Sebatang tumbuhan kecil yang dijaga rapi boleh disiram dengan pelbagai cara. Jika anda menyiram air ke atasnya secara perlahan-lahan, pokok ini akan menyerap air tersebut dan mendapat manfaat daripadanya. Tetapi jika anda menuangkan air yang banyak sekali gus ke dalamnya, pokok tersebut akan tercabut. Kuantiti air yang digunakan sama, perbezaannya terletak pada cara penyiraman.

Mereka yang berhati-hati menjaga pakaian, berhati-hati ketika memakai dan menanggalkannya, boleh memastikan pakaian tersebut akan berada dalam keadaan yang baik untuk jangka masa yang lama. Sesiapa yang tidak menjaga pakaiannya, sekejap sahaja pakaian akan koyak dan lusuh.

Kita perlu menyerapkan kelembutan ke dalam hidup kita, berlemah lembut dengan diri sendiri, berlemah lembut dengan adik-beradik serta suami/isteri.

Keputusan ada di tangan kita, mahu berhati-hati atau mahu lari?

Orang Turki membina banyak jambatan kayu untuk menyeberangi sungai. Di setiap hujung jambatan dilakarkan “Kelembutan, Kelembutan.” Mereka yang merentasi sungai dengan tenang tidak akan jatuh ke dalam sungai, tidak seperti mereka yang sembrono memecut. 

Ditulis pada pintu masuk ke taman bunga ialah, “Berlembutlah” Siapa yang berlari di keliling kebun tidak akan dapat melihat keindahan bunga-bunganya, dan mungkin juga akan memusnah bunga-bunga tersebut. 

Ada pepatah yang mengatakan: Burung pipit tidak selembut si lebah.

Dengan kelembutan, kita akan menemui pelbagai keajaiban. Slow down and smell the roses.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak.” (HR Ahmad No: 6577)

Bunga-bunga tidak merasai kehadiran lebah kerana ia menyedut nektar darinya dengan tenang, lantas mencapai matlamat dengan kelembutan. Sebaliknya, apabila burung pipit mendarat ke atas sesuatu, ia akan mengumumkan kehadirannya kepada umum. 

Seorang orang soleh zaman dahulu pernah berkata: Bukti kefahaman seseorang tentang agama adalah jika dia lemah lembut ketika masuk, keluar, memakai pakaian, menanggalkan kasut, dan menaiki tunggangan.

Anda biasanya akan menyebabkan kemudaratan apabila anda tergesa-gesa dan kasar, kerana kebaikan akan menjumpai akarnya dalam kelembutan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tidaklah kelembutan itu ada pada sesuatu melainkan akan menghiasinya, dan tidaklah apabila kelembutan dicabut dari sesuatu melainkan akan membuatnya rosak.” [HR Muslim] 

Hati manusia tertarik kepada mereka yang mempunyai sifat kelembutan: 

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…” (Ali Imraan 3:159) 

Oleh itu, didiklah hati untuk bersikap lemah-lembut dengan orang sekeliling, lemah lembut dengan pergerakan, pertuturan, perbuatan, dan perhatikan perubahan yang akan dialami dalam kehidupan anda seharian. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: