SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan penuh rasa takut dan berharap hanya pada-Nya serta berusaha sedaya upaya untuk melakukan ketaatan dan menghindarkan diri dari terjebak di dalam perkara-perkara maksiat dan dosa. Mudah-mudahan kita semua akan selamat di bawah naungan dan kasih sayang Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan Hari Malaysia pada hari ini, khutbah akan membicarakan tajuk “Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih”. Sebelum itu, khatib ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mengimarahkan masjid, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar, memelihara hubungan silaturrahim serta teruslah bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT dalam menempuh fitnah dunia yang semakin mencabar.
SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kepelbagaian masyarakat yang ada di negara ini merupakan suatu anugerah dan sunnatullah yang menunjukkan kebijaksanaan Allah SWT. Dalam kepelbagaian latar belakang masyarakat ini pastinya wujud perbezaan dari segi agama, pandangan, ideologi dan sebagainya namun ia bukanlah sesuatu yang menghalang kita untuk terus hidup harmoni dan saling menghormati seperti sebuah keluarga.
Prinsip asas Rukun Negara telah menghubungjalinkan kepelbagaian yang ada ini dengan suatu ikatan yang sangat kuat. Kekuatannya pula bergantung kepada kita yang berterusan menjaga dan mempertahankan jalinannya dari dirobek oleh sebarang anasir. Dengan sebab kuatnya kita berganding tangan mempertahankan kedaulatan negara inilah, maka sehingga ke hari ini, kita dapat mengecapi nikmat keamanan yang sangat mahal ini.
SIDANG JEMAAH YANG DIMULIAKAN ALLAH,
Hari ini bersamaan 16 September merupakan antara hari yang sangat istimewa dalam sejarah negara kita ini yang mana bergabungnya Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Pada hari ini jugalah nama “Malaysia” diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Amalan hidup saling muafakat yang tidak berpecah belah.

Hasil penggabungan ini telah membebaskan Sabah dan Sarawak dari cengkaman komunis yang sangat kejam dan menjadikan seluruh Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebuah negara yang merdeka. Seluruh masyarakat telah sama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam suasana ramah, mesra dan harmoni.
Justeru, memang inilah hakikat penciptaan manusia yang pelbagai sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Sehingga ke hari ini, kita telah sama-sama berusaha mempertahankan tanah air ini sebaik mungkin. Sungguhpun adakalanya kita diuji dari sudut ekonomi, bencana alam, perbezaan ideologi, pasangsurut cuaca politik, namun kematangan seluruh rakyat Malaysia di semenanjung, Sabah dan Sarawak menghadapi segalanya perlu dipuji dan dihargai.
Kita juga dapat melihat kesatuan seluruh rakyat Malaysia yang mempertahankan negara apabila ada pihak luar yang cuba ‘mengusik’ ketenteraman dan kesejahteraan yang ada di negara ini.
Sebagai contoh, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. Peristiwa ini juga telah mengorbankan beberapa nyawa dari anggota keselamatan negara. Dalam peristiwa ini menunjukkan bahawa seluruh rakyat bersatu hati, dan memberi sokongan serta mendoakan kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan.
SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI SEKALIAN,
Nikmat kesatuan ini wajib disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguhsungguh. Kekalkanlah kerukunan dan amalan hidup bermuafakat supaya anak cucu kita nanti dapat mewarisi sebuah negara yang kekal harmoni dan sejahtera. Jatuh dan bangun kita mesti bersama dengan masing-masing saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain. Kita mesti menjaga kedaulatan negara dengan menghormati Perlembagaan Negara serta undang-undang dan peraturannya.
Segala perselisihan dan perbezaan yang timbul mesti diatasi dengan kebijaksanaan dan perdamaian. Perselisihan yang berpanjangan hanya akan merugikan bangsa dan negara tercinta ini. Sekiranya berlaku sebarang perselisihan, maka perlunya ada pihak yang bertindak menjadi pendamai dan bukannya batu api yang melaga-lagakan lebih-lebih lagi yang melibatkan sesama umat Islam.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Daripada Abu Darda RA beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah jika aku khabarkan kepada kamu suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?” para sahabat berkata, “Sudah tentu, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)”. (Sunan Abu Daud)
SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,
Tanah air yang merdeka ini juga pasti akan lebih berkat dan makmur jika kita sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Teruslah berbuat baik sesama manusia walaupun remeh pada pandangan kita. Tidaklah elok bagi kita untuk merendahkan suatu kebaikan meskipun ia kecil, ringan, atau sedikit. Semua kebaikan yang kita terima hendaklah kita hargai dan syukuri.
Rasulullah SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA maksudnya: Dari Abu Dzar RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda: “Sungguh, janganlah kamu memandang rendah suatu kebaikan pun, meski kamu sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang berseri-seri”. (Hadis riwayat Imam Muslim)
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menekankan beberapa intipati sebagai panduan dan peringatan kita bersama:
Pertama: Kesepaduan dan kesatuan masyarakat di negara ini dihubungjalinkan oleh Rukun Negara dan sikap toleransi tinggi yang dipertahankan sejak dahulu lagi dan akhirnya membentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka dan harmoni.
Kedua: Setiap perselisihan mesti dihadapi dengan kebijaksanaan dan perdamaian.
Ketiga: Hidup kita biarlah sentiasa saling bermuafakat dan saling membantu seperti ungkapan “serumpun bak serai, sesusun bak sirih” supaya ia dapat mengekalkan kerukunan dan keharmonian negara seterusnya masyarakat dapat hidup dalam suasana yang ramah dan mesra.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”
Tarikh Dibaca: 9 September 2022M l 12 Safar 1444H
Disediakan oleh : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a Reply