Jom Kenali Malaikat Israfil – Peniup Sangkakala

Dari Ibnu Abbas r.a., Nabi s.a.w bersabda: 

“Setelah Allah menciptakan langit dan bumi, maka Dia ciptakan sangkakala. Sangkakala itu mempunyai lubang dan diberikan Allah Ta’ala kepada Israfil a.s., sedangkan dia meletakkannya pada mulutnya; matanya melihat pada ‘Arsy, menunggu bila dia diperintahkan (untuk meniupkannya).”

Abu Hurairah r.a. pernah bertanya, “Apakah sangkakala itu Rasulullah?” Nabi s.a.w pun menjawab, “Sangkakala itu seperti tanduk besar (yang dijadikan) dari cahaya. Demi Tuhan, yang telah mengutus aku dengan benarnya sebagai seorang nabi, besarnya setiap lubang pada sangkakala itu seluas langit dan bumi. Dan sangkakala itu ditiupkan dengan tiga kali tiupan; tiupan yang mengejutkan, tiupkan yang mematikan dan tiupan yang membangkitkan.”

Tiupan Pertama Yang Mengejutkan

Allah Ta’ala menyuruh Israfil a.s. melakukan tiupan pertama, dia pun meniupnya dan terkejutlah semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, sebagaimana Firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Naml ayat 87 yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.”

Maksudnya, setiap makhluk yang ada di langit dan di bumi meminta tolong kerana takut (terkejut kerana tidak pernah menyangka akan datangnya Hari Kiamat), sehingga: “Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.” (Al-Hajj 22:2) 

Kanak-kanak pun menjadi beruban dan mereka terus sedemikian rupa selama waktu yang dikehendaki Allah Ta’ala. 

Tiupan Kedua Yang Mematikan

Kemudian, Allah Ta’ala memerintahkan Israfil a.s. meniupkan tiupan yang mematikan, maka dia pun meniupkannya, sehingga matilah segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi, sebagaimana Firman Allah Ta’ala dalam Surah Az-Zumar ayat 68 yang bermaksud: “Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).”  

Kecuali Jibril, Mikail, Israfil, Malaikat Maut dan lapan malaikat pemikul ‘Arsy.

Tiupan Ketiga Yang Membangkitkan

Kemudian, Allah berfirman kepada Israfil a.s. “Tiuplah sangkakala!” Maka, keluarlah roh bagaikan lebah, memenuhi ruang antara langit dan bumi, lalu mereka (roh) masuk ke dalam tubuh mereka masing-masing, sebagaimana difirmankan Allah Ta’ala dalam surah di atas. 

Lalu, makhluk itu iaitu jin dan manusia, selain malaikat, dibawa menuju Padang Mahsyar, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Naba’, ayat 17-18 yang bermaksud: “Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);”

“Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.” (Taha 20:108)

Yang dimaksudkan penyeru di sini adalah malaikat yang memanggil manusia untuk menghadap ke hadirat Allah. 

Berkata Ibnu Abbas r.a., sesungguhnya Israfil a.s. telah bertanya kepada Allah s.w.t. agar Allah memberikan kekuatan tujuh langit. Allah s.w.t. pun memberikan kekuatan itu dan ditambahkan dengan kekuatan tujuh bumi. Dan Israfil meminta pula kekuatan untuk menguasai angin, gunung, jin, manusia dan binatang buas. Maka, diberikan semua permintaannya itu. 

Pernah suatu ketika Malaikat Israfil a.s. menawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk menimpakan gunung kepada musuh Nabi dan kaum kafir Quraisy dan Yahudi, ketika Nabi s.a.w. banyak menerima ejekan, ancaman dan ugutan yang menjadikan Malaikat Israfil merasa geram. 

Namun kerana sifat kelembutan hati dan kemaafan Nabi s.a.w., tawaran Israfil itu ditolak Nabi dengan mengatakan “Innahum la ya’lamun” (sesungguhnya mereka itu belum atau tidak mengetahui)

Bacaan Lain: Jom Kenali Malaikat Mikail – Pengagih Rezeki Allah

Dipetik daripada: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT oleh Rachmat Ramadhana al-Banjari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: