Oleh Alif Imran Bin Ahmad
Pendidikan universiti percuma akan memberi manfaat kepada masyarakat, bukan hanya kepada para pelajar. Ia akan menghasilkan tenaga kerja yang lebih berpendidikan dan produktif. Pada masa yang sama, peningkatan bilangan graduan dan penyelidik juga membayangkan peningkatan dalam inovasi dan produktiviti. Kos untuk menyertai universiti telah meningkat lebih cepat daripada kadar inflasi yang menjadikannya satu masalah kepada para pelajar.
Apabila bercerita tentang kemasukan ke universiti, berjuta pelajar menghadapi kekangan kewangan. Kemampuan untuk mendapatkan pendidikan universiti, dan krisis semasa hutang pelajar, adalah perkara penting yang perlu diambil kira. Terdapat pelbagai sebab mengapa pendidikan universiti harus percuma, kerana pendidikan itu sendiri ialah perkara penting dalam kehidupan.
Kewujudan pendidikan universiti percuma sangat bermanfaat kepada pelajar. Terdapat negara yang telah melaksanakan sistem ini. Mereka mengenakan cukai tambahan untuk membiayai pendidikan universiti dan dengan itu, memberikannya secara percuma. Ini memberi manfaat kepada para pelajar tetapi juga akan menambah beban cukai kepada masyarakat.
Selain itu, universiti juga boleh mencari jalan untuk menjimatkan perbelanjaan agar dapat menyediakan pendidikan percuma. Pinjaman pelajaran selalunya merupakan salah satu transaksi kewangan besar pertama yang dihadapi oleh pelajar. Membayar tepat pada masanya menunjukkan bahawa seseorang itu memahami cara mengurus kewangan dengan baik, iaitu kemahiran yang biasa digunakan semasa membeli kereta atau rumah.

Keperluan untuk menguruskan kewangan bayaran universiti tidak akan wujud jika pelajar tidak perlu membayarnya sejak mula.
Sebab mudah untuk menjadikan pendidikan universiti percuma adalah untuk menggalakkan kesaksamaan. Ramai pelajar pintar daripada isi rumah berpendapatan rendah mungkin tidak mampu membayar kos pengajian universiti dan ini adalah tidak adil. Kita telah melihat contoh pelajar pintar yang tidak dapat memasuki universiti kerana mereka miskin, tetapi individu yang kaya mampu melakukannya kerana ibu bapa mereka cukup kaya untuk membayar tuisyen mereka.
Ini adalah tidak adil kepada pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah yang mampu untuk hidup tetapi tidak mampu membayar yuran pendidikan tinggi. Jika pendidikan universiti adalah percuma, semua pelajar akan dapat menikmatinya, dan penerimaan akan berdasarkan merit dan bukannya pendapatan. Ramai pelajar membuat pinjaman yang disediakan oleh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk membiayai pendidikan dan kehidupan universiti.

Walau bagaimanapun, mereka akan dibebani dengan pinjaman ini pada masa hadapan kerana mereka mesti membayar balik apabila mereka mula bekerja. Jika kerajaan tidak mengubah sistem kewangan akademik ini, kitarannya tidak akan berhenti untuk pelajar.
Selain itu, akan ada pelajar yang tercicir kerana tidak mampu membayar untuk kesemua empat tahun tuisyen pengajian. Menawarkan pendidikan universiti percuma akan menghapuskan alasan untuk tidak menamatkan pengajian. Ini juga akan membantu untuk meningkatkan kadar tamat pengajian kolej kerana ia mengurangkan jumlah pelajar yang berasa terdorong untuk menukar ke status sambilan atau memberhentikan pendidikan mereka atas alasan kewangan.
Graduan yang berhutang akan mempunyai pendapatan yang lebih rendah pada tahun-tahun akhir kehidupan bekerja mereka. Meminjam wang untuk tujuan membayar tuisyen kolej adalah berisiko. Pelajar yang berhutang mungkin tidak mendapat pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman mereka selepas mereka tamat pengajian atau, lebih teruk lagi, mungkin gagal lulus sama sekali bagi pelajar yang tidak dapat membayar kolej tanpa meminjam. Risikonya adalah rekod kewangan yang buruk dan penalti. Mereka juga mungkin mengalami kesan pendidikan yang tidak memberangsangkan, yang akan memberi impak ke atas kuasa pendapatan dan kemudiannya kemampuan untuk mengumpul kekayaan.
Di Amerika Syarikat, pendidikan tinggi bukan sahaja dianggap sebagai satu manfaat kepada diri, tetapi juga sebagai satu cara untuk memperoleh jaminan keselamatan ekonomi dan sebagai tuil utama kepada mobiliti ekonomi. Memeriksa pinjaman pelajaran melalui lensa ini menyerlahkan akibat jangka panjang, tidak menentu, dan kadangkala tersembunyi akibat pergantungan kepada pinjaman pelajaran, meningkatkan kepentingan untuk mempertimbangkan cara alternatif bagi pembiayaan pendidikan tinggi.

Akibat buruk daripada pinjaman pelajaran berterusan walaupun selepas tamatnya pengajian kerana graduan yang mempunyai hutang ini tidak mempunyai pertumbuhan gaji yang lebih cepat pada tahun-tahun berikutnya dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk melangsaikan pembayaran balik hutang mereka.
Menamatkan pengajian tanpa hutang, sebaliknya, boleh meningkatkan kebolehan mereka untuk memperoleh pendapatan, menyimpan dan berbelanja. Ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Permintaan meningkat seiring dengan perbelanjaan pengguna. Lebih banyak permintaan untuk produk dan perkhidmatan bermakna lebih ramai orang akan menyertai pasaran buruh atau akan terdapat lebih banyak peluang pekerjaan. Natijahnya, lingkaran ekonomi yang murni akan muncul.
Tambahan pula, pelajar yang takut untuk berhutang selalunya memilih untuk tidak memasuki universiti langsung. Jika hutang bukan masalah, generasi muda akan lebih bermotivasi untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Kolej dan universiti boleh mengambil beberapa langkah tertentu. Ini bermula dengan mengiktiraf dan mendepani masalah ini, serta melibatkan seluruh komuniti universiti—lembaga tadbir urus, fakulti, kakitangan, pentadbir dan pelajar—dalam mengkaji, menangani dan menyelesaikan masalah tersebut.

Usaha yang diselaraskan ini meningkatkan kesedaran tentang kepentingan masalah serta komitmen institusi untuk menanganinya. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu proses tanpa kesukaran dan kelemahan. Sesetengah mungkin bimbang bahawa perdebatan tentang kos ini akan menarik perhatian bukan sahaja para pelajar dan ibu bapa mereka, tetapi juga bakal pelajar yang akan mempengaruhi bilangan pendaftaran.
Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa pendidikan universiti percuma adalah sangat penting bagi negara ini kerana ia dapat menggalakkan akses yang sama kepada pendidikan dan mengurangkan hutang pelajar.
Justeru kerajaan harus memberi lebih perhatian kepada isu caj pendidikan universiti bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.***
READ THE ENGLISH VERSION HERE: Should University Education be Free?
Sumber: IIUM Today
Leave a Reply