Awas, Kubur Menunggu

Menurut Imam Syafi’i, “Kubur adalah sebuah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkan jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada Al-Haq yang tidak berbelah bagi.

Melihat Kubur

Adakah kita pernah melihat tanah perkuburan? 

Adakah kita pernah melihat gelapnya kubur? 

Adakah kita pernah melihat sempit dan dalamnya liang lahad? 

Adakah kita pernah membayangkan ngeri dan dahsyatnya alam kubur? ‘

Adakah kita sedar, kubur dipersiapkan untuk kita dan untuk orang selain daripada kita? Bukankah silih berganti? Kita melihat rakan-rakan, orang tercinta, dan keluarga dekat diusung dari dunia fana ini ke tanah perkuburan?

Dari buaian dunia yang terang-benderang ke kegelapan liang lahad. Daripada keceriaan bermain dengan keluarga dan anak-anak kepada kekerasan tanah dan ulat-ulat. Daripada kenikmatan makanan dan minuman kepada timbunan debu dan tanah. Daripada pergaulan bersama-sama keluarga kepada hidup bersendirian yang mengerikan. 

Di dalam kubur, liang yang sangat sempit, tidak ada perbezaan antara pelayan dan majikan, kaya dan miskin. Semuanya sama. Nikmat kemewahan dan kelazatan dunia pasti berakhir dengan kematian. Seluruh umat manusia sependapat, kematian tidak mengenal umur, waktu ataupun sakit. Manusia perlu selalu berwaspada dan terus bersiap-siap.

Kengerian Kubur

Daripada Hani’ Maula Uthman, beliau berkata. “Jikalau Uthman r.a. berdiri di samping tanah perkuburan, beliau menangis sehingga janggut beliau basah. Maka dikatakan kepada beliau. ‘Jikalau kamu mengingati syurga dan neraka tidak menangis, mengapa kamu menangis kerana ini?’.”

Maka beliau menjawab, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: “Perkuburan adalah awal kehidupan akhirat. Jikalau seseorang selamat daripadanya, maka selepas itu menjadi lebih mudah. Dan jikalau dia tidak selamat daripadanya, maka selepas itu lebih mengerikan.’.”

Saidina Uthman r.a. berkata dalam hadis yang dinyatakan oleh Imam Ahmad dan At-Tirmidzi. Nabi Muhammad SAW berkata, “Aku tidak melihat suatu pemandangan melainkan perkuburan itu lebih mengerikan.”

Pada suatu hari, Umar bin Abdul Aziz menasihati para sahabatnya. Antaranya beliau berkata, “Jikalau kamu melalui tanah perkuburan, panggillah mereka jikalau kamu sanggup memanggil. Lihat, betapa sempitnya rumah-rumah mereka. Tanyakan orang-orang kaya daripada mereka, adakah masih tersisa kekayaan mereka? Tanyakan pula kepada orang miskin antara mereka, adakah masih tersisa kemiskinan mereka? Tanyakan tentang lisan-lisan yang dengan dengannya mereka berbincang, sepasang mata yang dengannya mereka melihat indahnya permandangan. Tanyakan pula tentang kulit-kulit lembut dan wajah-wajah yang cantik jelita, juga tubuh-tubuh yang halus mulus, apa yang diperbuat oleh ulat-ulat di sebalik kafan-kafan mereka?”

Lisan-lisan itu sudah hancur. Wajah-wajah yang cantik jelita itu sudah dirobek-robek oleh ulat. Anggota badan mereka terpisah-pisah berserakan. Lalu, di mana pelayan-pelayan mereka yang setia? Di mana tompokan harta dan sederetan pangkat mereka? Di mana rumah-rumah gedung mereka yang banyak dan menjulang tinggi? Di mana kebun-kebun mereka yang rendang dan subur? Di mana pakaian-pakaian mereka yang indah dan mahal? Di mana kenderaan-kenderaan mewah kesukaaan mereka? Di mana kolam renang peribadi mereka? Bukankah mereka kini berada di tempat yang sangat sunyi?

Bukankah siang dan malam pada mereka sama sahaja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan? Mereka sudah terputus dengan amal mereka. Mereka berpisah dengan orang-orang yang mereka cintai, harta, dan seluruh keluarganya. Oleh itu, wahai orang yang tidak lama akan tinggal di dalam kubur, mengapa kamu terpedaya dengan dunia? 

“Renungkan orang-orang yang sudah pergi meninggalkan kita. Sungguh, mereka begitu berharap untuk dapat kembali ke dunia supaya mereka dapat menghimpun amal dengan sebanyak-banyaknya. Tetapi, itu semua tidak mungkin terjadi kerana mereka sudah pun dikuburkan.”

Yazid Ar-Riqasyi berkata kepada dirinya sendiri, “Celaka kamu, wahai Yazid. Siapa yang akan mendirikan solat untuk kamu selepas kamu mati? Siapa yang akan berpuasa untuk kamu selepas kamu mati? Siapa yang akan meminta maaf untuk kamu selepas kamu mati?”

Lalu beliau berkata, “Wahai manusia, mengapa kamu tidak menangis dan meratap kepada diri kamu atas sisa hidup kamu. Sesiapa yang akhirnya mati, kubur sebagai rumah tempat tinggalnya, tanah sebagai tilamnya, dan ulat-ulat menemani dirinya, serta dalam keadaan demikian dia menunggu hari kiamat yang begitu mengerikan. Bagaimanakah keadaan seperti ini?” Lalu, beliau menangis.

Abdul Haq Al-Isybily berkata, “Orang yang masuk ke tanah perkuburan perlu membayangkan bahawa dirinya sudah mati. Sudah menyusul orang-orang yang ada di dalam kubur sebelumnya dan bahawa dia memerlukan amal seperti yang diperlukan oleh mereka.”

Fitnah Kubur

“Wahai anak Adam, apa yang sudah kamu siapkan untuk malam pertama kamu nanti di tanah perkuburan? Tidakkah kamu tahu, ia adalah malam yang begitu mengerikan. Malam yang kerananya para ulama dan orang-orang soleh menangis.”

Oleh kerana mahu sentiasa mempersiapkan malam itu, diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Apabila mendapati hatinya keras, beliau masuk ke dalam liang kubur itu. Beliau menganggap dirinya sudah mati.

Lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia sambil membaca ayat dalam Surah Al-Mukminun, ayat 99-100 yang bermaksud:  “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

Kemudian beliau sendiri menjawab, “Kini kamu sudah dikembalikan ke dunia, wahai Rabi’.” Oleh itu, didapati pada hari-hari seterusnya beliau sentiasa dalam keadaan ibadah dan takwa kepada Allah SWT. 

Wahai saudaraku, tidakkah kamu menangis atas kematian dan sakratul maut yang akan menjemput kamu? 

Wahai saudaraku, tidakkah kamu menangis atas tanah perkuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? 

Wahai saudaraku, tidakkah kamu menangis kerana takut kepada api neraka pada hari kiamat nanti? 

Wahai saudaraku, tidakkah kamu menangis kerana takut hausnya pada hari penyesalan?

Dipetik dari 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: