Di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur terdapat sebuah restoran Arab yang bukan sahaja cantik dan selesa, malah menyediakan hidangan Yemen yang menarik dan berjenis-jenis. Selain menawarkan nasi Arab seperti Mandy dan Kabsa, Bedouin Arabian Cuisine juga menghidangkan hidangan istimewa Yemen seperti fahsa, saltah, shakshouka, bamia dan banyak lagi.

Fahsa ialah hidangan stew daging siat yang diadun dengan rempah ratus yang biasa dimasak di dalam periuk batu yang sangat panas. Saltah (Saltah Kambing RM28) juga serupa hidangan seperti fahsa tetapi sedikit berkuah. Shakshouka merupakan hidangan berasas telur yang direneh dengan sos tomato, bawang, cili bengal, dan herba yang lain. Bamia pula ialah hidangan stew berasaskan bendi, tomato dan kambing.
Semuanya sedap di makan dengan roti mulawwah (saiz kecil RM7, sederhana RM9, besar RM11) yang garing di luar lembut di dalam, dihidang panas-panas, amat menggamit selera. Selain roti mulawwah biasa, ada juga roti mulawwah bawang putih serta roti pita (RM1 sekeping).

Hidangan nasi yang ada di sini ialah Nasi Mandy (Mandy Ayam RM25.00 untuk suku ayam) dan Nasi Kabsa (RM24). Apa bezanya? Mandy dimasak dalam ketuhar tandoor, sedikit kekuningan kerana rempah kunyit di dalam resipinya. Manakala nasi kabsa berwarna keperangan kerana air rebusannya mengandungi tomato pes dan cili. Kabsa dimasak berlapis-lapis tetapi dalam periuk yang sama di atas dapur. Yang pasti, kedua-duanya lazat dan mengenyangkan. Keduanya datang dengan tambahan cili sahawiq dan sup maraq.
Di Bedouin Arabian Cuisine juga terdapat hidangan set untuk 4 orang bernilai RM160 dengan hidangan nasi mandy dan kabsa kambing dan ayam, sup, salad dan jeli. Selain itu, peminat mixed grilled dan kebab juga tidak akan hampa kerana terdapat pilihan yang menarik dengan udang, daging dan ikan.
Sementara menunggu hidangan utama sampai, bolehlah mencuba hidangan pembuka selera seperti falafel (bebola kacang kuda yang digoreng bulat garing), samosa (karipap sayur), tabbouleh (salad daun pasli), babaghanoush (pes terung bakar), hummus (pes kacang kuda), dan sebagainya.

Yang menarik dalam menu minuman di Bedouin Arabian Cuisine ialah teh pudina, teh adeni yang diperisa dengan kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, dan susu pekat manis, kopi turki dan kopi halia bedouin.
Bagi yang belum mencuba hidangan Arab Yemen, mymuslimin.com mencadangkan restoran ini.
Bedouin Arabian Cuisine
6, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Setiap hari 12 pm – 1030 pm
Leave a Reply