Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya serta sedaya upaya menjauhi semua larangan-Nya. Semoga di dunia kita beroleh kerahmatan dan di akhirat mendapat keampunan.
Dari mimbar yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah bertajuk: “Tunai Kewajipan, Raih Keredaan”.
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Sejarah melakarkan bahawa emas telah mempunyai hubungan dalam peradaban manusia sejak ribuan tahun yang lalu yang sangat bernilai. Emas adalah simbol kekayaan dan kemegahan harta yang berharga, juga digambarkan sebagai ganjaran kepada ahli-ahli syurga sepertimana yang dijanjikan Allah SWT melalui Surah Az-Zukhruf, ayat 71 yang dibacakan tadi, bermaksud : “Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala daripada emas, dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata, dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya.”
Di zaman Rasulullah SAW juga, emas dijadikan sebagai mata wang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Betapa tingginya nilai sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram kerana ia bersamaan dengan harga seekor kambing. Selain itu, emas juga dibentuk menjadi barang perhiasan bagi kaum wanita.
Oleh sebab keistimewaan emas sebagai lambang kekayaan dan mempunyai nilai tersendiri, maka Islam mewajibkan zakat ke atasnya.
Kewajipan ini betujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, membuktikan tanda kesyukuran dan keimanan kepada-Nya, seterusnya dapat mensucikan hati dengan sifat pemurah dan dalam masa yang sama mengikis sikap bakhil yang kadang kala merantai diri manusia.
Justeru, jika kita memiliki emas yang dijadikan sebagai harta simpanan atau pelaburan, manakala bagi wanita pula yang memiliki emas perhiasan, kita perlu sentiasa peka mengenai kewajipan mengeluarkan zakat emas dan tidak bermudah-mudah dengan tuntutan agama ini. Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah, ayat 34 yang bermaksud: “…Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Menurut hukum syarak, emas simpanan dan pelaburan wajib dizakatkan apabila cukup nisabnya iaitu bersamaan 85 gram serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau cukup haul setahun. Syarat ini turut terpakai ke atas emas perhiasan yang tidak dipakai dalam tempoh setahun. Emas perhiasan yang dipakai pula pada asasnya tidak tertakluk kepada kewajipan zakat sebagaimana harta kegunaan peribadi yang tidak diniagakan, tidak berkembang dan tidak menjana keuntungan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa zakat di Wilayah Persekutuan, mengambil pandangan Imam Nawawi daripada Mazhab Syafie yang menyatakan emas perhiasan dikenakan zakat jika melebihi kadar uruf pemakaian yang ditetapkan oleh pemerintah.
Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar uruf emas perhiasan ialah sebanyak 800 gram. Oleh itu, sebarang pemakaian perhiasan emas dalam tempoh setahun melebihi 800 gram wajib dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Emas juga turut digunakan dalam aktiviti pelaburan emas yang patuh syariah. Lazimnya ia dibahagikan kepada dua bentuk iaitu pelaburan dalam emas fizikal dan pelaburan dalam bentuk akaun simpanan emas (passbook). Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan dan diakadkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer, dan wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.
Begitulah juga bagi akaun simpanan emas di bank-bank tertentu. Pastikan pelaburan yang tuan-tuan lakukan melalui akaun simpanan emas ini juga adalah patuh syarak iaitu fizikal emas itu mesti wujud dan boleh dimiliki secara sempurna oleh pelabur. Perlu diingatkan bahawa akaun simpanan emas akan menjadi tidak patuh syariah jika tidak memenuhi syarat ini. Dalam situasi simpanan dan pelaburan emas yang tidak patuh syariah, zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan mengikut formula Zakat Wang Simpanan.
Begitu juga dengan Akaun Emas Maya yang diniagakan menerusi pelaburan secara bukan fizikal, hanya boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya, maka ia dianggap tidak patuh syariah. Justeru, zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok jika jumlahnya melebihi kadar nisab tahunan, sama seperti bayaran Zakat Wang Simpanan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) dengan kerjasama syarikat Habib Jewels telah melaksanakan Kempen Zakat Emas yang bermula pada 1 hingga 30 September ini.
Mengangkat tema ‘Permata Firdausi’, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai daripada Habib dan syiling wafer emas edisi terhad Habib untuk pembayar bertuah yang menunaikan zakat emas di PPZ-MAIWP sepanjang sebulan kempen berlangsung.
Beberapa siri Program Bual Bicara Santai bersama pelanggan Habib dan pembayar zakat PPZ-MAIWP turut diadakan bagi sesi perkongsian ilmu mengenai topik yang menarik. Sebagai nilai tambah perkhidmatan, PPZ-MAIWP turut menyediakan konsultasi kepada pelanggan Habib dalam taksiran dan bayaran zakat, pakej wakalah agihan zakat dan pada masa yang sama pembayar PPZ- MAIWP turut didedahkan dengan promosi semasa barangan kemas Habib.
PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) kepada pelanggan Habib yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kematian kepada pembayar, waris boleh menuntut wang khairat kematian sehingga RM3,000.
Justeru, berkunjunglah ke bilik pameran Habib dan kaunter PPZ-MAIWP yang berdekatan untuk mendapatkan perkhidmatan penilaian zakat emas secara percuma.
Oleh yang demikian, kita mengharapkan agar umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan menjadi seorang muslim yang bertanggungjawab menunaikan kewajipan membayar zakat emas demi memastikan lebih ramai asnaf yang dapat kita bela dan bantu serta meraih reda daripada Allah SWT.
Imam muslim meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorangpun pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya (iaitu berupa zakat), melainkan akan dihamparkan kepadanya hamparan dari api neraka, maka ia (hamparan itu) akan dipanggang di neraka Jahanam, kemudian digosokkan pada dahinya, bahagian belakangnya dan punggungnya. Setiap kali hamparan itu dingin, dikembalikan (dipanaskan semula di dalam neraka Jahanam untuk menyeksanya). Seksaan ini dilakukan pada hari kiamat, yang mana satu hari menyamai lima puluh ribu tahun, sehingga diputuskan (hukuman) di antara seluruh hamba. Kemudian dia akan melihat atau akan diperlihatkan jalannya, kemungkinan menuju syurga, dan kemungkinan menuju neraka.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, khatib menyimpulkan bicara kepada beberapa kesimpulan untuk renungan kita bersama:
Pertama: Tingkatkan ilmu pengetahuan berkaitan zakat emas agar kita dapat melaksanakan perintah Allah SWT melalui ibadah ini dengan sempurna.
Kedua: Ambillah peluang untuk turut serta dalam kempen ‘Permata Firdausi’ yang sedang dijalankan ini untuk kita lebih memahami mengenai zakat emas di samping mengambil peluang untuk membayar zakat.
Ketiga: Mengeluarkan zakat dengan ikhlas kerana Allah SWT merupakan lambang ketakwaan seorang hamba sejati, sebaliknya mengabaikan kewajipan tersebut pasti mengundang azab daripada Allah SWT.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah, ayat 35 yang bermaksud : “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
Tarikh Dibaca: 26 Safar 1444H/ 23 September 2022M
Disediakan oleh:Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply