Sesungguhnya manusia takut kepada banyak benda dan bermacam perkara.
Tetapi insan mukmin menutup semua pintu ketakutan. Dia tidak lagi takut melainkan kepada Allah SWT. Dia takut kepada Allah kalau dia terlajak dari batas sempadan-Nya atau melakukan pencerobohan terhadap makhluk-Nya.
Adapun manusia, dia tidak takut kepada mereka kerana mereka tidak mempunyai apa pun yang boleh membahayakannya, memberi faedah, menghidup, memati dan menghimpunkan semula selepas mati.
Nabi Ibrahim AS, bapa segala nabi, menyeru kepada mengesakan Allah SWT dan meruntuhkan berhala. Kaumnya menakut-nakutkannya dengan tuhan-tuhan mereka yang diseru oleh Nabi Ibrahim AS supaya meruntuhkannya.
Nabi Ibrahim AS bersabda seperti yang direkodkan dalam Al-Qur’an yang bermakna: “Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?” (Al-An’aam 6:81)
Allah SWT telah meneruskan ayat ini dengan menyatakan keputusan seorang hakim terhadap dua pihak tersebut. Firman-Nya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-An’aam 6:82)
Nabi Muhammad SAW telah mentafsirkan perkataan zalim sebagai syirik. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Luqman 31:13)
Baginda menerangkan kepada kita bahawa iman dan tauhid adalah sebesar-besar faktor yang boleh memberi keamanan dan ketenteraman. Sebaliknya mengingkari Allah SWT, meragui-Nya atau menyekutukan-Nya merupakan sebesar-besar faktor yang membawa kepada ketakutan, kegelisahan, kegerunan.
Sungguh benar Allah telah berfirman: “Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.” (Ali Imran 3:151)
Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr. Yusof Al-Qaradhawi
Leave a Reply