8 Cara Untuk Cemerlang Di Tempat Kerja

Oleh: mymuslimin.com

Tempat kerja di mana saja ia berada, samada di pejabat atau di samudera raya, merupakan tempat kita mencari rezeki yang halal untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Walaupun setiap bulan kita dibayar oleh majikan untuk tugasan yang telah dilaksanakan, ini tidak bermakna yang kita tidak boleh memberi lebih dan menawarkan diri kita yang terbaik untuk syarikat atau organisasi. 

Mymuslimin.com menyenaraikan 8 cara untuk menjadi cemerlang di tempat kerja. 

1. Mulakan Hari Dengan Sikap Yang Baik 

Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (HR at-Tabrani dan al-Bazzar)

Ramai di Malaysia ini yang memulakan hari dengan sarapan di mamak atau di kedai kopi berdekatan. Jangan mulakan hari anda dengan berborak buruk tentang majikan kerana ini akan menukar tenaga positif anda kepada negatif sebelum anda melangkah masuk ke pejabat lagi. Elakkan memikir isu yang tidak berkaitan diri atau tugasan anda seperti melayani gosip-gosip pejabat, dan mempertikaikan keputusan pengurusan hanya kerana anda mendengarnya walaupun anda tiada butiran lanjut tentang isu tersebut. 

Cara yang lebih baik untuk memulakan hari ialah dengan memikirkan perkara-perkara positif atau penambahbaikan yang anda boleh lakukan pada hari ini supaya anda boleh cemerlang dalam tugasan. Apabila anda masuk tempat kerja dengan senyuman dan sikap yang baik, ramai yang akan terkesan secara positif dengan kehadiran anda dan menjadikan persekitaran ‘pejabat’ lebih menyeronokkan. 

2. Terimalah Teguran Cara Baik 

Sikap suka melenting apabila ditegur ini biasa. Seandainya tidak melenting di hadapan ketua, dia akan melenting di belakang ketua, dan paling kurang, akan melenting apabila bersendirian. Yang penting, melenting. Hakikatnya, bukan mudah untuk sesiapa pun untuk menerima teguran. 

Orang Islam itu perlu terbuka menerima nasihat. Abu Hurairah ra.pernah menyatakan yang bererti: “Seorang mukmin itu cermin bagi saudaranya. Jika dia lihat ada kekurangan, maka dia memperbaikinya.” (Adabul Mufrad – Bukhari). Umar ra. juga pernah menyatakan yang bererti: “Semoga Allah merahmati orang yang menunjuki kita kekurangan-kekurangan kita.” (Adabuddin wad Dunya).

Lantas, latihlah diri untuk memikirkan kenapa teguran itu sampai kepada kita. Adakah teguran yang kita terima itu tiada sekelumit pun benarnya atau kita sahaja yang tidak boleh terima? Insan yang matang ialah seorang yang tenang dan mampu menerima kritikan yang baik, dan berusaha untuk memperbetulkannya. Namun, seandainya kritikan itu tidak adil, senaraikan sebab-sebabnya dan mintalah untuk berjumpa dengan ketua untuk membincangkan tentang isu tersebut. 

3. Motivasi Kendiri 

Kedengaran agak sukar, bukan? Sebenarnya tidaklah sesukar mana kerana setiap perubahan yang kita lakukan itu bermula dengan keinginan dalam diri untuk melakukan perubahan. Jadi, jika kita terus meyakinkan diri untuk melakukan penambahbaikan dengan sendiri, kita telah memotivasi diri tanpa perlu ada campurtangan daripada ketua. 

Motivasi kendiri menambah nilai yang baik kepada diri kita kerana kita sendiri adalah pemangkin kepada perubahan baik yang berterusan.  

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d 13:11

4. Belajar Daripada Kesilapan

Jangan sombong dan sering percaya bahawa diri kita adalah benar. Manusia itu memang sifatnya sentiasa melakukan kesilapan dan manusia yang berjaya ialah mereka yang belajar daripada kesilapannya.

Dari Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” [HR Muslim No. 2998] Sebaliknya, orang mukmin perlu belajar daripada kesilapan masing-masing.  

Cuba bayangkan jika Orville Wright dan Wilbur Wright yang mencipta kapal terbang tidak belajar daripada kesilapan mereka, bagaimana pula dengan doktor atau jurutera yang ditugaskan membedah manusia dan membuat bangunan tinggi dan lebuhraya?  

Memperbaiki kesilapan itu sifat cemerlang yang perlu dipupuk dalam diri dan diaplikasikan di tempat kerja dan juga kehidupan peribadi.  

5. Perbaiki Kemahiran Berkomunikasi 

“Dia lah yang telah menciptakan manusia; Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.” (Ar-Rahman 55: 3-4

Alhamdulillah, manusia itu dicipta dengan kebolehan berkomunikasi.

Mulakan dengan mendengar dengan baik dan memahami apa yang didengari. Kemudian ambil masa untuk proses butiran yang diperolehi, dan berikan jawapan setelah proses memikir terjadi. Banyak kesilapan komunikasi berlaku apabila sebelah pihak tidak mendengar untuk memahami tetapi membalas untuk menang ketika berbicara. 

Jika anda seorang ketua, pastikan setiap kali anda berkomunikasi, mesejnya sampai kepada kakitangan. Bertanyalah sama ada mereka jelas dengan arahan anda atau sebaliknya.

Jika anda seorang kakitangan, bertanyalah jika ada kekeliruan. Kemahiran berkomunikasi yang baik begitu bernilai dalam kerjaya kerana ianya memudahkan pelbagai urusan dan mengelak daripada konfrontasi dan salah faham yang merumitkan suasana. 

6. Jangan Takut Bertanya

Hidup ini bukan macam aplikasi Waze di mana kita hanya perlu menaip destinasi dan diberi laluan-laluan yang perlu diikuti secara automatik. Bertanyalah ketika keliru, bertanyalah ketika tidak yakin, bertanyalah jika tidak faham.

Enggan bertanya akan membuat seseorang itu membuat keputusan sendiri yang mungkin tersasar dan berisiko mudharat.

Kemahiran bertanya juga ialah kemahiran komunikasi yang penting ketika bekerja. Di antaranya ialah bertanyalah dengan beradab, bertanya dalam suasana sesuai, bertanya dengan ayat-ayat yang sesuai dan sebagainya.

Elakkan bertanya untuk memalukan atau memenangkan kita, bertanyalah untuk menjawab persoalan dan menguraikan kekeliruan.

7. Mudah Suai Diri

Mantra orang muda zaman ini ialah, “Biarkan aku menjadi diriku sendiri.” Namun, sikap ini tidak boleh dipraktik secara total di dalam pejabat kerana ternyata kita bukan sendiri dan pejabatlah bukan ruang peribadi.

Belajarlah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, berkompromi, bersangka baik dengan orang lain, berfikir untuk menyelesaikan masalah dan memudahkan urusan semua yang terlibat. 

8. Jadilah Rakan Sepasukan Yang Membantu

Apabila kita bertugas secara berpasukan, elakkan daripada sentiasa nak mengikut “kepala sendiri”. Sikap mementingkan diri sendiri tidak akan menghasilkan pasukan yang kuat, dan tanpa pasukan yang kuat, syarikat akan menghadapi masalah untuk melaksanakan objektif yang telah ditetapkan. 

Firman Allah yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu“. (Ali-Imran, 3: 103) Hikmah ayat ini boleh kita praktikkan dalam kerjaya dan tugasan berkumpulan. 

Sifat tegas dan berkeyakinan itu amat dialu-alukan dalam kerjaya tetapi apabila kita bekerja sebagai satu pasukan, kenali kekuatan kita dan bagaimana kita boleh menawarkan kekuatan tersebut tanpa merendah atau menyusahkan rakan sepasukan kita. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: