Di bawah pemerintahan Al-Ma’mun bin Harun ar-Rasyid, sekelompok Mu’tazilah telah menyesatkannya dengan meyakini bahawa Al-Qur’an adalah makhluk yang Allah Ta’ala cipta, sedangkan Al-Qur’an itu ialah firman Allah SWT dan bukan makhluk-Nya.
Apabila ajaran sesat tersebut diterima dan diperakui oleh pemerintah, Khalifah Al-Ma’mun telah memerintahkan semua manusia dan ulama untuk menerima ajaran sesat tersebut. Jika tidak, mereka akan diseksa sehingga banyak ulama dan masyarakat menerimanya kerana terpaksa, kecuali Imam Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ yang telah menolak dengan tegas ajaran yang salah ini, dan berusaha untuk memperbetulkannya.
Akibat penolakan Imam Ahmad itu, Khalifah Al-Ma’mun menjadi sangat marah, dan telah memenjarakan Imam Ahmad dan mengikat anggotanya dengan rantai. Walaupun dipenjara, Imam Ahmad masih tetap dengan pendiriannya sehingga Al-Ma’mun memutuskan untuk membunuh Imam Ahmad. Tetapi sebelum itu, beliau telah dipanggil untuk bertemu dengan Khalifah.
Mengetahui bahawa Al-Ma’mun bin Harun ar-Rasyid ingin menemuinya, Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berdoa kepada Allah SWT agar pertemuan itu tidak terjadi dan doa beliau dimakbulkan. Ketika Imam Ahmad sedang dalam perjalanan untuk bertemu, Khalifah Al-Ma’mun meninggal dunia.
Setelah itu Imam Ahmad dikembalikan ke Baghdad untuk terus dipenjara dan diseksa selama 28 bulan. Namun, Imam Ahmad tetap bersabar. Berkat kesabaran beliau dan dengan Izin Allah, masyarakat sedar bahawa Al-Qur’an itu bukanlah makhluk.
Ketika Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berdepan dengan masa-masa sukar, kata-kata daripada dua insan yang ditemuinya memberi dia ketenangan jiwa.
Pertama, beliau bertemu seorang lelaki yang dipenjara kerana minum arak dan lelaki itu telah berkata kepada Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:
Oh Ahmad, bertabahlah, kerana kau akan disebat kerana kebenaran yang kau sampaikan. Aku telah disebat banyak kali kerana minum arak, dan aku pun bersabar.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” (Ar-Ruum 30:60)
“..kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisaa’ 4:104)
Seorang Arab padang pasir pula bersuara ketika melihat Imam Ahmad dirantai dan dibawa ke penjara: “Oh Ahmad, bersabarlah, kerana sesungguhnya, jika ini tempatnya di mana kau akan dibunuh, inilah juga tempatnya di mana kau akan memasuki syurga.”
“Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.” (At-Taubah 9:21)
Oleh itu, sebagai seorang Islam, sampaikanlah perkara benar dalam apa jua keadaan dan percayalah dengan janji Allah SWT bahawa segala kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan setimpal di akhirat kelak sedangkan mereka yang mengingkari Allah SWT juga akan dibalas dengan hukuman berat yang setimpal di sana nanti.
Jangan memilih untuk tidak bercakap benar hanya kerana takut dengan akibatnya di dunia, kerana Allah SWT menjanjikan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang jujur, soleh dan bertaqwa kepada-Nya.
Sumber: Don’t Be Sad oleh Dr A’id Al-Qarni
Leave a Reply