10 Perkara Yang Suami Perlukan (Tetapi Tidak Tahu Cara Meminta)

Oleh: mymuslimin.com

Diam dan tiada rungutan tidak bermakna suami berpuashati dengan semua perkara. Diam itu adalah sifat semulajadi yang ada pada kebanyakan orang lelaki tetapi di dalam lubuk hatinya yang dalam, ada perkara yang dia inginkan surinya memahami dan memberi. Namun, diri sendiri itu tidak tahu bagaimana cara untuk meminta. Dalam banyak hal, orang lelaki tidak cerewet tetapi ini tidak bermakna mereka tidak memerlukan perhatian dan tumpuan daripada wanita kesayangannya.

Mymuslimin.com menyenaraikan 10 perkara yang suami perlukan tetapi tidak tahu cara untuk meminta. 

1. Suami Ingin Dihormati 

Rata-rata para isteri menghormati suami tetapi ada perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh tetapi jangan sesekali dilakukan kerana ini akan mencalarkan jiwa lelaki.

Jangan jadikan suami bahan gurauan ketika bersama teman-teman dan keluarga. Walaupun dia tersenyum atau ketawa, hatinya terluka kerana dia tidak dihormati oleh isterinya sendiri. 

“Kalau I buat nasi ayam ni memang dia suka, baju size L pun dah tak muat dah sekarang.” “Alah, dia kat rumah bukan buat apa pun, tengok tv je.” Mungkin isteri tak berniat apa, tetapi bagi suami, isteri telah memalukan dia.

Jangan bersikap kasar dan meninggi suara terhadap suami. Jangan persoalkan keputusan dan memperlekehkan suami di hadapan orang lain kerana jenaka yang menyindir sangat menyakitkan hati lelaki terutamanya apabila ianya datang dari seorang isteri yang disayangi. 

2. Kenali Bahasa Cintanya

Dr Gary Chapman, setelah bertugas bertahun-tahun sebagai kaunselor perhubungan, telah mengenalpasti 5 bahasa cinta yang didambakan pasangan. Bahasa cinta seseorang mungkin berlainan daripada apa yang diinginkan pasanganya, oleh itu kenali pasti bahasa cinta suami anda. 

  1. Masa Berkualiti: Bahasa cinta ini menggemari masa bersama. Walau buat apa-apa sahaja, di mana sahaja, dia mahukan surinya ada dekat dan bersama dia, atau secara ringkasnya “suka berkepit”. Walaupun isteri mungkin tidak berapa menggemari aktiviti tersebut, kehadirannya di sisi suami membuktikan bahawa dia cinta. Jika suami gemar menonton bola, isteri duduklah di sisi daripada menghilang diri dan tidak ambil peduli. 
  2. Menawarkan Khidmat: Bahasa cinta ini menggemari apabila isteri menawarkan sesuatu khidmat yang tidak disangka-sangka. Contohnya seperti ini, suami menempuh kesesakan lalulintas yang teruk sehingga minyak dalam tangki kereta hampir kering dan badan penat berada di jalanraya selama berjam-jam. Selesai mandi, isteri datang dan menyapu minyak dan memicit kakinya yang lenguh tadi dengan kasih sayang. Esoknya, isteri ke pasar dan penuhkan minyak dalam tangki kereta tanpa disuruh. Semua khidmat ini dihargai suami yang sukakan bahasa cinta begini. 
  3. Sentuhan Fizikal: Bahasa cinta seterusnya ialah suka disentuh. Apabila ada sentuhan fizikal, suami akan rasa dicintai. Sapu belakangnya, usap rambutnya, berikan urutan, pegang tangan dan sebagainya. Sentuhan fizikal ini bukanlah seksual tetapi ia menambah keintiman dan dia mahukan isteri yang memulakan sentuhan. 
  4. Memberi hadiah: Bahasa cinta keempat ialah sukakan hadiah. Tidak perlu barang yang mahal tetapi sesuatu yang dia suka seperti buku, peralatan yang dia gemari, makanan, coklat, manisan, keropok dan sebagainya. Dengan memberi hadiah-hadiah kecil sebegini, dia rasa dihargai dan disayangi kerana isteri sering mengingati suami dan kesukaan suaminya. 
  5. Kata-Kata Pujian: Bahasa cinta yang kelima ialah berikan kata-kata semangat dan pujian. Tolonglah perasan perkara yang suami telah lakukan dan pujilah dia. Dia mahu isteri menghargai ikhtiar dan usaha yang telah dia lakukan dalam satu-satu perkara. Sebagai tanda cinta, pujian perlu dizahirkan kerana suami ingin dengar yang isteri ambil tahu dan menghargai dia. 

Dengan mengenali bahasa cinta suami, kita lebih tahu perbuatan dan kelakuan yang memberi impak positif dalam perhubungan. 

3. Jadilah Penyokong Nombor Satu! 

Sokongan isteri ialah sangat penting dalam kejayaan dan kesejahteraan seorang suami. Isteri yang sering buat ‘dunno’ akan menjadikan suami terasa tidak dihargai dan dihormati. Suami sedar bahawa diri dia tidaklah sesempurna mana, tetapi jika isteri terus memberi dorongan dan sokongan dalam saat bahagia dan saat sukar kehidupannya, dia tahu yang dia disayangi, dan ini amat penting bagi seorang lelaki. 

4. Jadikan Rumah Tempat Yang Selamat

Jangan sesekali membandingkan suami dengan orang lain, lebih-lebih lagi suami orang! Hancur luluh hati suami sebenarnya walaupun mungkin di luar, wajahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Walaupun isteri tidak berniat untuk menyakitkan hati suami, bercakap tentang kejayaan lelaki lain tidak membantu. “Bang, suami dia itu beli rumah besar untuk wife dia, bestnya.” Ayat itu hanya memberitahu tetapi tidak digemari oleh lelaki. 

Sebaiknya simpan sahaja butiran itu dan fikirkan perkara baik yang telah suami lakukan dan lafazkan terima kasih dan pujian, insyaAllah suami akan berusaha menjadi seseorang yang lebih baik untuk keluarganya. 

5. Suami Anda Hanya Manusia Biasa

Jangan mengharapkan kesempurnaan daripada suami kerana suami adalah manusia biasa. Di satu seminar, seorang isteri berkata, dia meletakkan Rasulullah SAW sebagai kayu pengukur suaminya dan suaminya begitu jauh dari piawaian. Suami mana yang boleh sesempurna Rasulullah? 

Orang lain belikan isteri gelang emas, kita pun nak juga walaupun kita tahu suami kita bergelut untuk memenuhi. Jadi, terimalah suami kita dengan kekurangannya dan sayangilah dia seadanya.

Namun, ini tidak bererti tiada ruang untuk suami kita maju dan memperbaiki dirinya. Cuma, janganlah meminta semua perkara sempurna. 

6. Beri Keutamaan Kepada Keintiman

Antara tujuan perkahwinan ialah menghalalkan hubungan asmara antara lelaki dan wanita, dan perkahwinan itu terus bahagia dengan adanya hubungan asmara. Dalam Islam, seorang isteri wajib mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Bersetubuh merupakan hak bersama di antara isteri dan suami dan ia perlu dibincang dan disepakati secara bersama dengan baik.

Menurut hukum, haram seorang isteri menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Namun, kedua pasangan perlulah menjaga adab-adab dan hukum-hakam yang perlu diraikan supaya tidak berlaku sebarang kezaliman. Baca di sini

Perhubungan asmara menyemarakkan perhubungan suami isteri, dan jangan dibiarkan suami tanpa keintiman kerana ini akan memudharatkan perhubungan.

7. Isteri Menjaga Diri 

Suami menghargai isteri yang menjaga dirinya dengan baik dari segi fizikal, emosi dan ibadah. Ini tidak membawa maksud perlu bersolek tebal dan bergaya kerana ingin menjadi ‘cantik’ seperti orang lain.

Yang dimaksudkan di sini ialah isteri menjaga dirinya supaya sihat, ceria dan jadi diri sendiri yang terbaik untuk suami.

Isteri yang murung, memurungkan suasana rumah. Isteri yang sering marah-marah juga tidak membawa sakinah dalam keluarga. Jadilah isteri yang sihat dari segi mental dan fizikal supaya isteri membawa kebahagiaan ke dalam perhubungan dan rumahtangga.

8. Jangan Mengongkong Keterlaluan 

Biarkanlah suami meluangkan masa dengan kawan-kawannya sekali-sekala tanpa ada gangguan dari isteri. Jangan memalukan suami di depan kawan-kawan dengan ‘menjemput’ dia pulang atau sering telefon dan Whatsapp menyuruh dia balik ke rumah.

Kadang-kadang suami ingin berborak dengan rakan-rakan masjid atau meluangkan masa dengan kawan-kawan di mamak atau di restoran sekejap. Biarkanlah. Kalau suami menghabiskan masa di luar terlalu kerap, tentu sahaja boleh dibawa berbincang tetapi kalau sekali sekala, minta faham lah ye. 

9. Doakan Kesejahteraan Suami

Setiap orang memerlukan doa dan jika doa itu datangnya daripada orang yang kita sayang, ianya lebih bermakna. Suami mengharapkan isteri sering berdoa untuk dia kerana tanpa doa isteri, dia ingin mengharapkan siapa lagi?

10. Suami Ingin Faham Bagaimana Untuk Lebih Mencintaimu

Lelaki ini kadang-kadang blur. Dia lebih suka isteri memberitahu apa yang dia suka berbanding suami meneka dan tersasar jauh. Lelaki sebenarnya ingin melakukan perkara yang sepatutnya, tetapi banyak masa, mereka tidak tahu apa itu ‘sepatutnya’. Dengan isteri memberitahu suami, ini seperti menunjukkan jalan kepada orang yang sedang bergelut dengan kerabunan.

Jika isteri kepenatan, beritahulah. Jika nak makan sesuatu, beritahulah. Jika tidak suka sesuatu, berbincanglah.

Semuanya akan lebih tenang dan baik dengan komunikasi yang aman dan jelas. InsyaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: