Allah SWT mengutus malaikat ini untuk meniupkan roh ke dalam janin manusia sewaktu berada dalam perut ibunya. Setelah malaikat melakukan proses meniupkan roh, malaikat juga diperintahkan Allah untuk mencatat empat kalimah, ketetapan yang telah ditulis oleh Allah SWT di Loh Mahfuz:
- Rezeki orang itu,
- Ajal kematiannya,
- Amal perbuatan,
- Celaka atau bahagianya.
Dalam perkara ini, Rasulullah SAW telah memberi pelajaran, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diceritakan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, katanya:
Rasulullah SAW memberitahu kepada kita dan Nabi adalah orang yang benar kata-katanya serta dapat dipercayai, sabdanya:
“Sesungguhnya seseorang itu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari (berasal air mani); kemudian bertukar menjadi segumpal darah beku, itu pun selama empat puluh hari; seterusnya proses menjadi segumpal (segenggam) daging juga selama empat puluh hari. Kemudian Allah Ta’ala mengutus seorang malaikat, maka ia pun meniupkan roh di dalam tubuhnya. Malaikat ini juga diperintahkan Allah untuk mencatat empat kalimat, iaitu mengenai rezeki orang itu, ajal kematiannya, amal perbuatannya, dan celaka atau bahagianya.”
“Maka demi Zat yang tidak ada yang disembah selain Dia, sesungguhnya seseorang dari kamu semua itu maka ada yang melakukan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dia dengan syurga itu kecuali hanya sehasta, tetapi lebih didahului oleh catatan (ketentuan), lalu dia pun melakukan amalan ahli neraka, maka akhirnya dia masuklah ke dalam api neraka itu. Sesungguhnya ada pula seseorang dari kamu semua itu, maka melakukan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada jarak antara dia dengan neraka itu kecuali hanya sehasta, tetapi lebih didahului oleh catatan (ketentuan), lalu dia pun melakukan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.” [HR Bukhari dan Muslim]
Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Allah SWT menugaskan seorang malaikat di dalam rahim. Malaikat itu berkata, ‘Wahai Rabb nuthfah, wahai Rabb segumpal darah, wahai Rabb segumpal daging,’ Jika Allah ingin menjadikan mahkluk, dia berkata, ‘Wahai Rabb, adakah lelaki atau perempuan? Adakah sengsara atau bahagia? Apa rezekinya? Apa ajalnya? Itu semua dituliskan di dalam perut ibunya.”
Telah diriwayatkan bahawa tulisan itu ditulis di antara kedua mata janin. Sedangkan, dalam sanad al-Bazzar dari Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika Allah SWT ingin menciptakan jiwa (manusia), Malaikat Penjaga Rahim berkata, ‘Wahai Rabb, adakah lelaki atau perempuan?’ Dikatakan, ‘Kemudian Allah mengeluarkan perintah kepadanya, dan ia (malaikat) berkata, ‘Wahai Rabb, adakah sengsara atau bahagia?’ Allah kembali mengeluarkan perintah kepadanya. Kemudian dituliskan di antara kedua matanya apa yang sesuai sehingga sampai pada bencana yang akan menimpanya.”
Sumber: Biografi Malaikat – Mendapat kesempurnaan Iman, Interaksi dan Persahabatan Dengan Para Malaikat Allah SWT, Rachmat Ramadhana al-Banjari
Leave a Reply