Perkara yang paling merbahaya ke atas akhlak manusia ialah keseronokan dan tipu daya dunia berbentuk perempuan, anak-anak, emas dan perak, kuda tunggangan yang istimewa, binatang ternakan dan tanam-tanaman.
Terlalu kasihkan dunia adalah punca segala dosa, berlumba-lumba merebutnya adalah sebab segala bencana. Kerana keseronokan dunia, abang sanggup menjual adiknya. Kerana keseronokan dunia, anak sanggup membunuh bapanya. Kerana keseronokan dunia, manusia berlaku khianat, pecah amanah, melanggar perjanjian dan kerananya juga manusia menafikan hak kepunyaan orang lain dan melupakan kewajipan.
Kerana keseronokan dunia, manusia sanggup menceroboh manusia lain. Mereka hidup seperti binatang buas di hutan atau ikan-ikan di laut, yang kuat membunuh yang lemah dan yang besar membaham yang kecil. Kerana syahwat dan tarikan dunia, peniaga menipu dalam jualan, meringankan timbangan, dan pembesar yang berkuasa bersikap diktator dan takbur.
Kerana keseronokan dunia para hakim berlaku zalim serta menerima rasuah manakala orang-orang kaya berlaku kejam dan membazir. Manakala orang-orang susah dan lemah terpaksa bersifat munafik dan bertambah sesat.
Kerana dunia, orang alim menyembunyikan kebenaran yang diketahuinya dan memberi fatwa apa yang diyakininya sebagai batil. Kerana dunia para wartawan menyebarkan berita bohong dan palsu serta menyembunyikan kebenaran sedangkan ia lebih nyata dari cahaya pagi.
Untuk kepentingan dunia penyair mencemuh setiap orang yang sabar dan cerdik, menimang tinggi setiap orang mabuk dan pengacau. Untuk kepentingan dubia pertumpahan darah dihalalkan, yang haram dicemari, kesucian agama, kehormatan, tanah air, maruah dan segala bentuk kemuliaan manusiawi dijual.
Semuanya ini kerana dunia, kerana keseronokan dunia dan kerana syahwat dunia. Semuanya dilakukan demi kerana perempuan, arak, rumah, sekeping tanah, jawatan kecil atau besar, duit sedikit atau banyak, ingin mendekatkan diri dengan pemimpin, yang terkenal di kalangan manusia atau lain-lain kepentingan perut, syahwat seks dan gilakan kemasyhuran atau harta benda serta kerana menurut nafsu ingin berkuasa dan memerintah.
Benar, cintakan hidup itu sebahagian daripada tabiat insan.
Kalau tidak kerananya bumi tidak membangun sepenuhnya dan kehidupan tidak akan subur. Maka bukanlah sesuatu yang menafikan hikmah penciptaan jika manusia dihiasi dengan kehendak-kehendak syahwat.
Akan tetapi, yang menjadi bahaya ialah apabila manusia menghabiskan seluruh masanya untuk mencintai dunia dan bercita-cita hidup lama di dalamnya. Hidup yang singkat ini menjadi keinginannya dan cita-citanya yang utama.
Inilah sikap orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah dan tidak beriman dengan hari akhirat tetapi mereka yang beriman dengan hari akhirat tetapi mereka terlalu sibuk dan lupa kepadanya. Kerana ini, Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya berdoa kepada Allah dengan berkata: “Ya Allah, janganlah jadikan dunia ini tumpuan ingatan kami dan matlamat pengetahuan kami!”
Cinta Akhirat
Sesungguhnya mesti ada cinta and cita-cita lain yang lebih kuat dari cinta dan bercita-cita hidup di dunia, iaitu tidak lain dan tidak bukan, itulah cintakan akhirat, bercita-cita untuk menemui Allah, tamak dengan pahala dan keredhaan-Nya serta takut kepada hisab di akhirat dan azab di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya kasih sayang, cita-cita, tamak kepada pahala dan takutkan Allah adalah benteng penyelamat dari malapetaka cinta dunia, tamak dan menumpukan usaha kepadanya. Sesungguhnya, ia adalah kunci keamanan dari bahaya tenggelam dan hanyut dalam syahwat dunia.
Demikianlah peranan iman yang menggilap hati tuannya dengan keyakinan terhadap akhirat dan mengharapkan ganjaran yang ada di sisi Allah. Oleh itu, dalam Al-Qur’an Allah berulang-ulang menyifatkan orang yang berbuat baik dan bertaqwa dengan sifat yakin kepada akhirat. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan dengan hari akhirat mereka beriman.”
(Al-Baqarah: 4, Al-Naml: 3, Luqman: 4)
Lawan daripada itu ialah keadaan orang yang zalim dan penjenayah. Firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka itu tidak mengharapkan hari hisab dan mereka membohongi ayat-ayat Kami dengan sekehendaknya.”
(Al-Naba’: 27-28)
Salah satu dari pemandangan di akhirat yang diceritakan kepada kita oleh Al-Qur’an ialah tentang orang Mukmin dalam syurga yang berdialog dengan penjenayah-penjenayah dalam neraka. Mereka bertanya yang maksudnya:
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar? Orang itu menjawab: “Kami tidak mengerjakan sembahyang dan kami tidak pernah memberi makanan kepada orang miskin dan kami ikut sama memperkatakan perkara-perkara yang salah dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.”
(Al-Muddaththir: 42-46)
Firman-Nya yang bermaksud:
“Ia bercakap besar di atas muka bumi bersama-sama tentera-tenteranya tanpa hak dan mereka menyangka bahawa mereka tidak kembali kepada Kami (tidak mati).”
(Al-Qasas: 39)
Jika mereka menyangka bahawa mereka akan kembali dan diserahkan kepada Tuhan, tentulah mereka tidak tergamak melakukan jenayah yang dahsyat, penyembelihan yang mengerikan dan kezaliman yang melampau.
Sesungguhnya insan Mukmin yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ialah orang yang mengatasi tuntutan syahwat dunia dan menolak keinginan-keinginannya, tidak menghiraukan kebendaan dan mengatakan kepadanya dengan apa yang telah dikatakan oleh Ali bin Abi Talib RA yang maksudnya: “Pergi dariku hai si kuning (duit dirham), hai si putih (duit dinar). Pikatlah orang lain dariku, kepada aku engkau datang dan kepadaku engkau rindu, aku sudah cerai engkau dengan talak tiga, tidak ada rujuk lagi!”
Malah dia berkata seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW ketika Umar masuk kepadanya melihat baginda duduk di atas tikar yang sudah koyak tepinya, kata Umar: “Elok jika tuan mengambil tempat duduk lebih baik dari ini.” Sabdanya: “Saya siapa dan dunia apa? Saya dan dunia hanyalah penunggang yang berjalan di hari panas, ia berlindung di bawah pohon dan kemudian dia bangun meninggalkannya.”
Hanya iman yang memberikan insan Mukmin matlamat yang lebih besar, mengajaknya ke arah nilai-nilai yang lebih tinggi dan lebih kekal dari syahwatnya. Hanya iman sahaja yang memberi tuannya kekuatan untuk melawan pujukan dan fitnah dunia.
Bahaya Keseronokan Hidup Ke Atas Akhlak (Bahagian I) – Almarhum Dr Yusof Al-Qaradhawi
Sumber: Kemanisan Iman – Dr. Yusof Al-Qaradhawi