Bahaya Keseronokan Hidup Ke Atas Akhlak (Bahagian II) – Almarhum Dr. Yusof Al-Qaradhawi

Kadang-kadang manusia boleh memiliki dunia tetapi dunia tidak merelakan dirinya dimiliki. Kadang-kadang tangannya penuh dengan dunia tetapi ia tidak berupaya memenuhi hatinya. Ini kerana insan Mukmin hidup di dunia ini dengan jiwa seorang pengembara, seolah-olah ia dagang atau seolah-olah ia musafir. 

Sesiapa yang hidup di dunia dengan perasaan ini maka ia tidak perlu bimbang sekiranya ia memiliki berpikul-pikul emas dan perak. Sesungguhnya dia hidup di dunia dengan hati ahli akhirat yang sedang berjalan, kakinya di atas bumi sedangkan hatinya berhubung dengan langit. 

Hanya insan mukmin sahaja yang yakin bahawa dunia tidak ada nilai walau sebesar sayap nyamuk pun di sisi Allah. Ini adalah jambatan penghubung menuju kehidupan yang abadi. 

Seorang mukmin yakin bahawa dua rakaat yang khusyu’ lebih baik dari dunia dan seluruh isinya. Berjuang pada waktu pagi dan petang pada jalan Allah lebih baik dari dunia dan isinya dan bekas tapak kaki insan dalam syurga lebih baik dari dunia dengan segala isinya. 

Cukuplah buat insan mukmin mengetahui bahawa para nabi, rasul-rasul dan wali-wali Allah telah hidup di dunia dalam keadaan terseksa dan tertindas dan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh rasul-Nya yang terdiri daripada orang kafir, pembohong, muhid kebanyakan mereka hidup dalam suasana senang dan mewah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan kalau tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran) nescaya Kami menjadikan bagi orang yang kufur ingkar kepada Tuhan yang Maha Pemurah bumbung rumah mereka dari perak juga, dan pintu-pintu rumah dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berteleku di atasnya serta berbagai-bagai bahan perhiasan. Dan ingatlah segala apa yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia dan kesenangan di akhirat di sisi Tuhanmu adalah khas bagi orang yang bertaqwa.”

(Al-Zukhruf: 33-35)

Ini bukan bererti bahawa insan Mukmin tidak perlu berusaha ketika hidup dan mengharamkan dirinya daripada menikmati kebaikannya atau meninggalkan roda kehidupan dipandu oleh orang kafir. Tidak sekali-kali, sesungguhnya insan mukmin diperintahkan supaya membangunkan dunia, memaju dan mempertingkatkannya. 

Mukmin diperintah supaya berjalan di pelusuk bumi, makan dari rezeki-rezeki Allah di dalamnya, menikmati segala yang baik dan lazat serta menggunakannya untuk menyebarkan risalah dan akidah Allah. Mukmin hendaklah menjadi tuan di dunia, bukan menjadi hamba. 

Memandangkan remeh kebendaan dunia dan mengelakkan diri dari tuntutan syahwat dunia tidak bererti mengharamkan rezeki-rezeki yang baik, tidak menggunakannya atau membantutkan perkembangannya. Akan tetapi bermaksud menjadikan akhirat sebagai matlamat insan mukmin.

Insan mukmin bukan orang yang ingin mengaut keuntungan dunia dan ingin mendapat faedah dengan segera lalu menjadi orang yang disifatkan oleh Al-Qur’an yang maksudnya:

“Orang yang melampau serta mengutamakan kehidupan dunia semata-mata.”

(Al-Naziaat: 337-338)

Allah telah menceritakan kepada Rasulullah tentang manusia seperti ini di dalam firman-Nya: 

“Maka janganlah engkau wahai Muhammad hiraukan orang yang berpaling dari ajaran Kami dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata. Itulah sahaja tujuan terakhir ilmu pengetahuan mereka.”

(Al-Najm: 29-20)

Insan Mukmin yang mahukan akhirat dan berusaha ke arahnya hendaklah menjadikan dunia sebagai alat, tidak sebagai tujuan, menjadikannya tempat singgah bagi perjalanan bukan sebagai tempat tinggal.

Sesungguhnya orang yang tidak yakin sepenuhnya terhadap akhirat, agak susah hendak memberhentikan dirinya dari syahwat dunia dan mengalih perhatian dari kegilaan dan keseronokannya kerana ia tidak rela untuk menjual keseronokan yang ada di hadapan matanya untuk membeli kelazatan akhirat yang diraguinya. 

Maka tidak hairanlah jika kita mendengar penyair seperti Omar Al-Khayyam menyanyikan dalam syairnya: 

Kata mereka, tahan jangan minum anak anggur

Ia mewarisi api neraka jahim

Namun keseronokanku meminumnya satu jam

Serupa di mataku nilainya syurga Naiim

Di mana teman samar malam, di mana si cantik jelita

Risau menghiris hatiku yang luka

Tiga citaku terkasih

Arak, muzik dan wajah jelita. 

Omar Al-Khayyam

Orang yang berkata sedemikian kerana keraguannya mengatasi keyakinannya. Sekiranya dia benar-benar yakin, kepada akhirat, nescaya arak, muzik, wajah yang jelita dan seluruh isi menjadi remeh jika dibandingkan dengan balasan dan keredhaan Allah. 

Sesungguhnya iman adalah satu kekuatan yang bertenaga, lebih kuat dari keinginan nafsu syahwat, lebih kuat daripada pengaruh tradisi dan lebih kuat dari segala pengaruh. 

Bahaya Keseronokan Hidup Ke Atas Akhlak (Bahagian I) – Almarhum Dr Yusof Al-Qaradhawi

Sumber: Kemanisan Iman – Dr. Yusof Al-Qaradhawi

One thought on “Bahaya Keseronokan Hidup Ke Atas Akhlak (Bahagian II) – Almarhum Dr. Yusof Al-Qaradhawi

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: