Qabil & Habil – Kisah Cinta Yang Membawa Kepada Pembunuhan 

Allah SWT menceritakan di dalam surah Al-Maidah:

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;”

(Al-Maaidah 5:27) 

Persembahan korban itu dibuat supaya Allah SWT memilih siapakah yang dibenarkan berkahwin dengan wanita yang diinginkan dengan menerima korban salah satu daripada mereka.  

Adam AS mahukan kedua anak lelakinya menikahi dua wanita berbeza (dan bukan kembar masing-masing). Seorang daripada mereka (Qabil) mendambakan calon isteri seorang yang lain (Habil). Dia bertegas, “Tidak, aku mahukan dia (kembarnya sendiri).” 

Adam AS berkata, keputusan tersebut akan dibuat oleh Allah SWT; persembahkanlah sesuatu, dan persembahan korban yang diterima Allah, akan menjadi lelaki yang akan mengahwini kembar Qabil itu. 

Di zaman itu, Allah SWT menghantar api dari syurga untuk memakan apa yang dipersembahkan hamba-hamba-Nya. Allah SWT menerima korban dari seorang (Habil) dan tidak menerima korban seorang lagi (Qabil). Lantas, hati yang berapi-api dengan cinta yang penuh dosa tadi tidak dapat menerima keputusan Allah SWT tersebut.

Pembunuhan Pertama Dunia

Kita perlu faham bahawa pembunuhan pertama, punca utamanya ialah cinta berapi-api yang penuh dengan dosa. SubhanAllah. Pandangan penuh syahwat, nafsu yang tidak dikawal, mencari apa yang diharamkan Allah; menyebabkan bukan sahaja seorang itu berdosa, malah tergamak melakukan jenayah yang paling besar iaitu pembunuhan. 

Rasulullah SAW bersabda bahawa tiada manusia yang dibunuh kecuali sebahagian daripada dosa pembunuhan itu ditambahkan ke dalam rekod pembunuhan pertama di kalangan manusia.

Qabil telah membunuh saudaranya sendiri kerana menurutkan hawa nafsunya. 

Cinta Penuh Dosa 

Dalam kisah sedih ini terdapat pelajaran paling penting iaitu tentang cinta dan cinta yang penuh dosa. Cinta itu diredhai Allah. Cinta penuh dosa dirujuk ulama sebagai ishq; iaitu ianya terasa seperti cinta dan kelihatan seperti cinta, tetapi untuk mendapatkannya, kau perlu ingkar kepada Allah SWT.

Ketika kau berjumpa berdua tanpa pengetahuan keluargamu, ketika kau berjumpa tanpa orang melihat kamu, itulah cinta penuh dosa. Kerana, jika kau dilihat orang, ianya memalukan dan mengecewakan bagimu, dan mereka yang kau cintai. Ia terasa seperti cinta, tetapi diungkapkan atas sebab-sebab tertentu dan dalam cara yang mempergunakan dan bukannya menghargai. 

Berapa ramai orang yang suka ayam? Adakah kita mencintai ayam sehingga kita sanggup memotong lehernya? Dan memanggangnya? Dan membuat barbeku? Sebenarnya, adakah kita suka ayam itu atau apa yang ayam itu beri kepada kita? 

Oleh itu, apabila kita menggunakan perkataan cinta, pertimbangkanlah apa yang dimaksudkan dengan cinta. Adakah dirimu dilihat sebagai komoditi yang disayangi kerana apa yang kau berikan atau kerana dirimu sendiri? Jika seseorang melafazkan “Aku cinta padamu”, adakah mereka bermaksud “Aku cinta padamu” atau “Aku cinta benda yang aku berikan kepadamu”, atau “…apa yang aku dengar daripadamu”, atau “… apa yang aku dapat daripadamu?”

Inilah yang Allah SWT nyatakan kepada kita di dalam Al-Qur’an, di dalam Surah Ali Imran yang bermaksud:

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan….” 

(Ali Imran 3:14)

Hakikatnya, bukanlah lelaki itu menyayangimu, tetapi dia mencintai apa yang kau berikan kepadanya, begitu juga dengan perempuan. 

Itu bukanlah cinta yang dimaksudkan Al-Qur’an. Ini bukanlah cinta Rasulullah SAW. Ini bukanlah cinta yang kita maksudkan. 

Cinta Yang Diredhai

Cinta yang kita maksudkan ialah cinta yang penuh dengan pengorbanan dan pemberian, bukan cinta yang mengambil dan mempergunakan. Oleh itu, jika kau berada di dalam perhubungan — walaupun dengan anak-anak atau ibubapa kita sendiri – fikirkan cinta apa yang sedang kita berikan kepada anak-anak kita, adakah ianya memperguna atau memberi? Adakah aku hanya akan sayang anak-anak aku ketika dia mengikut kata? Sekiranya tidak, adakah aku akan mengabaikan dia? 

Cinta yang kau luahkan kepada pasanganmu — adakah kau sayangkan tuan badan, hatinya, jiwanya, dan kau komited kepada dia seperti Rasulullah SAW komited kepada insan yang Baginda cintai, atau kau hanya sayang kerana statusnya? 

Ramai orang salah faham tentang satu hadis Rasulullah SAW. Ianya hadis tentang perkahwinan — Pilih pasangan berdasarkan empat kriteria: Kecantikannya, hartanya, keturunannya, dan komitmen agamanya. Rasulullah bukan mengesyorkan turutan ini.

Tetapi, Rasulullah menyuruh kita mempertimbangkan faktor-faktor ini — faktor kecantikannya, adakah itu cukup bagimu atau adakah ianya keterlaluan bagi dirimu? SubhanAllah, kau mungkin kelihatan seperti Shrek, dan kau meminta untuk berkahwin dengan Cinderella. Kau tidak mempunyai pekerjaan, tetapi kau meminta untuk berkahwin dengan ahli kerabat. Kau bersedia untuk memberi dia kad untuk menaiki bas sedangkan keluarganya menyediakan dia sebuah kereta. 

Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa sebelum kita ingin mendirikan rumahtangga, kita perlu berfikir panjang! Imam Syafi’i berbicara tentang kapasiti keadilan di antara pasangan. Adakah sesuatu yang diukur di antara kamu berdua, ada yang saksama? Daripada segi kecantikan, umur, status, harta? Kau jangan mengahwini keluarga kaya kerana dia akan membuat kau kaya!

Seorang wanita datang berjumpa Rasulullah SAW, dan dia berkata “Ya Rasulullah, suami aku mengalami kesukaran kewangan. Kita mempunyai harta yang sama banyak, tetapi sekarang kita sedang kerugian dan aku ingin membantu suamiku. Bolehkah aku memberi dia zakat?” Rasulullah SAW menjawab, “Boleh”. Isteri bukanlah memberi kau nafkah, ia dikira zakat, ia dikira sedekah. Allahu akbar!

Jadi, apabila kau ingin berkahwin, kau ambil kira kecantikan dan kekayaannya. Persoalannya ialah bolehkan kau mengekalkannya (status isterimu)? Dalam syariah kita, dalam semua keempat mazhab, apabila suami tidak dapat memenuhi tahap qawwamah atau tidak dapat memenuhi apa yang dijanji ketika bernikah, isteri tidak perlu lagi tinggal di dalam rumah atau patuh arahan suami. Dan jika cerai diminta, cerai akan dijatuhkan. Kerana suami telah dilucuthak atas kecuaiannya.

Tetapi, jika isteri sanggup memberi suami sedekah supaya suami boleh kembali kepada isteri, di mana isteri memberikan hartanya supaya kau boleh kembali dan berbelanja untuk isteri, dengan cara zakat dan sedekah kerana Allah SWT. Jadi, sebelum berkahwin, fikirkan tentang empat perkara ini. 

Kepentingan Ilmu Dalam Islam

Ramai di antara kita yang terpisah daripada Al-Qur’an dan sains dunia semasa. Terdapat sains antropologi. Adanya sains sosiologi. Ada sains biologi, sains evolusi. Ada kimia. Ada masanya, begitu sukar untuk kita menghubungkan sains-sains ini dengan Al-Qur’an. Tetapi lihatlah ini — ini ialah kenyataan hebat dari Allah SWT.  

Apabila seorang anak Adam membunuh saudaranya, dia duduk dan termenung. Di waktu itu, tiada siapa yang pernah mati di kalangan anak Adam. Dia duduk dan berkata, “Apakah yang perlu aku lakukan?” Allah SWT kemudiannya menghantar seekor burung gagak untuk mengais tanah dengan paruhnya dan mencakar dengan kakinya, sehingga menjadi lubang, dan burung itu menimbus sesuatu di depan mata Qabil, lalu dia berkata, “Aku akan belajar untuk meniru cara burung gagak ini.”

Apabila kita melihat kembali sejarah manusia, kadang-kadang kita mengandaikan bahawa pengetahuan yang Allah SWT berikan kepada Adam AS diwarisi oleh semua anak-anaknya. Tidak. Anak-anaknya tidak mengetahui apa yang Adam AS tahu. 

Kita sebagai manusia diajar oleh Allah SWT untuk terus belajar dan kita harus berkembang dalam pembelajaran dan pengetahuan. Salah satu prinsip antropologi ialah manusia sering meniru haiwan. Bagaimana kita mengkebumikan orang mati? Allah SWT telah memberitahu kita ilmu itu. Itu bukanlah ilmu yang datang dari wahyu, di mana malaikat Jibril perlu hadir dan mengajar cara menanam mayat 6 kaki di bawah bumi. Tidak. 

Sebaliknya, Allah telah menghantar burung gagak, dan anak Adam melihat dan belajar, dan kemudiannya mengikut cara burung tersebut. 

SubhanAllah, itulah di antara ciri sains yang kita ada di dalam Al-Qur’an yang tidak terdapat di dalam naratif kitab-kitab lain. Tidak akan terjumpa di tempat lain di mana kita dapat melihat simetri di mana Allah memberikan kita bukti tentang perkara-perkara yang telah kita rungkai dalam kisah hidup kita hari ini.

Kematian mencetuskan kesedihan. Ada masanya, kita mencari cinta; tetapi melalui dosa, cinta itu tidak akan dapat ditemui. Ini menjadi pengajaran yang amat penting dalam kita menelusuri.

Realitinya, Allah SWT meminta kita mencari jalan yang suci, dan cara paling baik untuk memastikan cinta kekal dan cinta yang bukan mempergunakan tetapi cinta yang memberi dan diredhai Allah ialah cinta yang patuh syariah – jalan yang membawa kita ke sungai kehidupan dan ke tempat kejayaan. 

Diterjemah daripada: Love Stories from the Quran by Yahya Ibrahim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: