Teks Khutbah Jumaat: Dunia Tanpa Sempadan 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Khatib menyeru kepada seluruh kaum muslimin, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak. 

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Dunia Tanpa Sempadan”

Sebelum itu, marilah kita bersyukur kepada Allah SWT atas pertolongan-Nya, kehidupan kita semakin hari semakin baik setelah melalui fasa pandemik COVID-19 dan norma baharu dengan SOP yang ketat. 

Hari ini, kita telah mula kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Mimbar mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah Wilayah Persekutuan tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa hari ini.  

Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau masih digalakkan. Manakala individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka.

Marilah kita semua berusaha untuk mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama-sama ahli keluarga agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan yang berpanjangan kepada kita. 

Sidang Jemaah yang berbahagia, 

Dunia kita semakin kecil. Dunia masa kini menyaksikan kepesatan pembangunan dan kemajuan dalam teknologi dan maklumat sehingga menjadikan kehidupan kita hari ini sarat dengan maklumat yang tiada sempadan. Semua perkara dan urusan hanya di hujung jari sahaja. 

Islam tidak menghalang umatnya untuk mencapai kemajuan malah sentiasa menyeru umatnya berusaha untuk mencipta kemajuan dalam setiap perkara selagi tidak melanggar batasan syariat. 

Namun, realiti hari ini menunjukkan kecanggihan teknologi sering disalah gunakan untuk tujuan terutama hiburan, permainan, penipuan, pergaulan bebas tanpa batasan dan pelbagai lagi perkara negatif. Pesanan Allah SWT menerusi firman-Nya di dalam surah al-An‘am, ayat 32 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

(Al-An‘am: 32)

Ayat ini memberikan peringatan kepada kita supaya sentiasa berwaspada dengan pelbagai godaan kehidupan dunia termasuklah kelekaan akibat terlalu asyik dengan dunia maya yang bagaikan tiada sempadan dan sekatan. Kebanyakan kita amat mudah terleka dan akhirnya tertipu dan terpedaya dengannya. 

Ingatlah setiap yang kita lakukan di atas dunia ini semuanya mempunyai kesan bagi kehidupan di akhirat kelak. 

Namun sebaliknya, beruntunglah jika kita menjadikan teknologi dunia maya sebagai jambatan mengumpul sebanyak mungkin pahala dan jariah melalui sebaran dakwah dan ilmu pengetahuan. 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Penggunaan media sosial tanpa kawalan sangat mudah memberi kesan dan pengaruh terhadap anak-anak dalam institusi kekeluargaan sama ada positif atau negatif. 

Fenomena ‘Dunia Tanpa Sempadan’ yang menyaksikan perkongsian kebebasan berlaku dengan begitu pesat. 

Lihatlah, pelbagai info luar yang menyajikan rantaian gejala-gejala yang bertentangan dengan syariat, dan melewati adab Islam bahkan melampaui batas seperti homoseksual, lesbian, gay, transeksual, black metal, hedonisme dan sebagainya. Unsur-unsur tersebut sarat dan padat dimuatkan di media-media sosial, animasi, filem, lagu dan lain-lain. Apa yang paling kita takuti segala unsur negatif tersebut akan diterima sebagai norma biasa dalam kehidupan kita.

Kita harus sedar bahawa, anak-anak kita masih lagi mentah dan memerlukan bimbingan yang betul untuk membentuk identiti muslim yang sebenar. 

Bertindaklah dengan mengawal dan memantau penggunaan aplikasi-aplikasi media sosial dalam kalangan mereka untuk mengelakkan berlaku kecelaruan identiti, keruntuhan akhlak dan moral serta kerapuhan pegangan akidah mereka. 

Allah SWT berfirman menerusi surah menerusi surah al-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Al-Tahrim: 6)

Antara tindakan yang perlu kita lakukan ialah dengan mengaktifkan sistem tapisan atau filter carian di laman sesawang dan mengaktifkan sistem Restricted Mode di aplikasi youtube untuk menyekat carian video-video yang tidak senonoh dan tidak bermoral. 

Di telefon pintar juga, kita boleh memasang aplikasi-aplikasi Parental Control supaya segala aktiviti anak anak di telefon pintar dapat kita pantau dan kawal. 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Sebagaimana yang disebutkan tadi, dunia tanpa sempadan turut menyaksikan berlakunya lambakan info di media sosial. Kadang kala info-info tersebut bersifat separuh benar atau mungkin juga tidak benar sama sekali. 

Namun, kebejatan teknologi maklumat menyebabkan ianya tidak sempat ditapis atau disemak dengan sebaik-baiknya. Disebabkan itu, berlakulah penyebaran berita-berita palsu, ancaman-ancaman akidah, salah faham, fitnah dan sebagainya. 

Kesannya, kita mudah cenderung berprasangka buruk kepada orang lain, banyak berselisih pendapat biarpun pada perkara kecil, sanggup menghina sesama kita dan hilang adab sebagai seorang muslim yang baik.  

Kita suka untuk menjadi orang pertama yang membawa berita sedangkan Islam mengajar kita untuk mengamalkan tabayyun atau semak kebenaran sesuatu info itu terlebih dahulu. Islam juga tidak menyuruh kita menyebarkan sesuatu berita biarpun ianya benar demi menjaga maruah sesama kita. 

Justeru, khatib menyeru seluruh kaum muslimin untuk sama sama memainkan peranan memastikan tidak ada lagi dalam kalangan kita yang menjadi penyebar sesuatu berita bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan fitnah. 

Marilah kita tingkatkan lagi kempen hentikan fitnah di media-media sosial sebagaimana yang diusahakan oleh kerajaan. Kempen ini juga mesti dimainkan oleh pihak pentadbiran masjid dan Jawatankuasa Kariah dengan menampal poster dan menayangkan di paparan skrin televisyen LED yang ada di masjid dan surau masing-masing.  

Kempen hentikan fitnah di media sosial oleh Jakim

Khatib amat yakin dan percaya, jika semua pengguna media sosial tidak membuat komentar-komentar negatif serta tidak menyebarkan info-info yang meragukan, pasti masyarakat kita dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni tanpa prasangka buruk sesama kita. 

Renungkan hadis riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” 

Marilah kita kembali mengamalkan adab dan akhlak Islam yang sempurna. Walaupun dengan hanya menyampaikan salam, namun faedahnya hubungan kita sesama Islam semakin erat, kasih sayang semakin bertaut, sikap hormat-menghormati menjadi budaya, perkongsian ilmu menjadi amalan dan terbentuklah sebuah masyarakat Islam yang menjadi contoh serta tauladan yang baik. 

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, kamu tidak beriman sehinggalah kamu saling mengasihi sesama kamu. Mahukah kamu jika aku tunjukkan kepada kamu mengenai sesuatu amalan, jika kamu melakukannya kamu akan saling mengasihi? Sebarkanlah salam di antara kamu.” 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Mengakhiri khutbah, hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama : 

Pertama : Islam sentiasa menyeru umatnya mencapai kemajuan dalam setiap perkara selagi tidak melampaui batasan syariat. 

Kedua : Bertindaklah dengan mengawal dan memantau penggunaan aplikasi-aplikasi media sosial dalam kalangan anak-anak untuk mengelakkan berlaku kecelaruan identiti, keruntuhan akhlak dan moral serta kerapuhan pegangan akidah mereka.

Ketiga : Amalkan adab dan akhlak Islam ketika berinteraksi di dunia maya tanpa sempadan dan menjayakan kempen hentikan fitnah di media sosial. 

Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

(Al-Mukminun: 1-3)

Tarikh Dibaca: 3 Rabiulawal 1444H/ 30 September 2022M 

Disediakan oleh:Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: